Ultraman Menyerang KLCC

PADA MALAM ITU, Bandar Raya Kuala Lumpur menjadi huru-hara. Para penghuni berlari ke sana dan ke sini. Kenderaan saling berlanggaran. Bangunan pencakar langit runtuh satu per satu. Bumi bergegar sekuat-kuat gegaran.
          “Lari! Lari!” Terdengar jeritan manusia di sana sini.
          Nuar bangun daripada tidur lalu keluar dari rumahnya. Dia terkejut melihat seekor raksasa sebesar Menara Berkembar Petronas sedang mengamuk di KLCC. Dia menenyeh-nenyeh matanya kerana masih tidak percaya bahawa raksasa sudah sampai ke Kuala Lumpur.
“Adakah raksasa ini sudah bosan menyerang Jepun? Mengapa dia membuat onar di sini pula?” kata Nuar perlahan.
“Ini tidak boleh jadi … aku perlu memberitahu Ultraman!”
Nuar lantas menekan butang pada jam tangannya. Melalui jam tangan itu, dia dapat memberitahu Ultraman bahawa raksasa sedang menyerang Kuala Lumpur.
“Ultraman, sila datang segera! Kuala Lumpur dalam bahaya!”
Dalam beberapa minit kemudian, kelibat Ultraman muncul menerusi ruang angkasa. Pertempuran hebat berlaku antara Ultraman dan raksasa itu. Mereka berdua saling api-mengapi. Malangnya, api itu menyemarakkan lagi kebakaran yang sedang menjilat bangunan-bangunan di seluruh Kuala Lumpur. Seluruh bangunan menjadi seperti arang.
Raksasa itu telah memijak-mijak badan Ultraman sekuat hati. Ultraman menjadi semakin tidak bermaya. Lampu merah di dadanya berkelip-kelip.
Tidak lama selepas itu, datang pula ibu dan ayah Ultraman untuk membantu. Dengan sekali percikan api sahaja, akhirnya raksasa itu pun mati dan terus lesap tanpa meninggalkan kesan. Ibu dan ayah Ultraman pun membawa Ultraman pulang ke planet mereka. Sebelum berangkat pulang, Nuar sempat melambai-lambai ke arah Ultraman dan Ultraman pun membalas lambaian itu.
Di suatu sudut yang lain, beberapa orang ahli bomba sedang membersihkan kesan-kesan kemusnahan akibat pertempuran sebentar tadi.
“Tidak guna punya raksasa! Suka hati sahaja buat onar di sini. Sekarang, kita juga yang kena padamkan kebakaran ini,” rungut salah seorang ahli bomba tersebut.
Ultraman pun sama. Tahu fire sahaja. Selepas itu terus balik.” Seorang rakan sekerja yang lain pula turut merungut.
Dengan tidak semena-mena, terdengar satu suara memanggil nama Nuar.
“Nuar, kamu buat apa di luar rumah malam-malam buta ini? Mari masuk!” Nuar menoleh ke belakang. Rupa-rupanya panggilan itu datang daripada ibunya. Nuar memandang kembali ke hadapan. Ultraman sudah hilang. Bandar Kuala Lumpur menjadi seperti sedia kala seolah-olah tidak pernah mengalami kemusnahan
Nuar menenyeh-nenyeh matanya sekali lagi. “Astaghfirullahalazim … aku mengigau rupanya!”
_________________________________________
Sedutan dari novel “Budak Komik” Dapatkannya di pasaran sekarang!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge