Kisah Umar Abdul Aziz dan Petani Yang Buta Huruf
Suatu ketika, Umar Abdul Aziz berjalan melewati sebuah kampung. Di situ, beliau telah disapa oleh seorang petani. Petani tersebut menyuruh Umar Abdul Aziz membacakannya sepucuk surat kerana petani tersebut tidak reti membaca.
Umar Abdul Aziz memberitahu, “Maaf. Saya tidak pandai membaca.”
“Tetapi tuan memakai serban. Takkanlah tuan tidak pandai membaca?” soal petani itu.
Lantas, Umar Abdul Aziz menanggalkan serbannya dan meletakkan serbannya di atas kepala petani tadi sambil berkata, ”Sekarang, bacalah sendiri.”
“Saya tidak boleh membaca,” kata petani itu.
“Tapi, tuan memakai serban!”
Kisah di atas sering dialami oleh beberapa orang sahabat kita di zaman moden ini. Orang awam menyangka, apabila seseorang itu berserban dan berjubah, terlebih dulu mereka akan menyuruhnya menjadi imam. Padahal, sahabat kita itu baru sahaja belajar-belajar untuk mengamalkan sunnah Nabi. Baru sahaja belajar-belajar membaca Al-Quran. Baru sahaja pulang daripada khuruj mengislahkan diri.
Seringkali juga orang awam menyindir, “Hai, syeikh! Bila hang pergi haji? Lawa jubah dan serban tu!”
Saya juga pernah disuruh oleh seorang tuan rumah yang menganjurkan majlis tahlil arwah supaya mengemudikan majlis tersebut. Lalu, saya menjawabnya, “Maaf, pak cik. Saya tidak biasa mengemudikan tahlil. Pak cik suruhlah orang lain.”
Jika diminta menjadi imam di masjid, itu perkara biasa. Mujurlah saya belajar ilmu fardu ’ain dan hukum tajwid ketika beruzlah. Boleh juga jadi imam bidan terjun sekiranya pegawai masjid tidak datang. Jadi, siapa kata keluar di jalan Allah untuk mengislahkan diri sebagai bid’ah dan sesat? Jika sesat, mungkin saya dan sahaba-sahabat saya semakin jauh dengan masjid. Tapi, semakin lama keluar, semakin Allah beri kekuatan untuk bersolat jemaah di masjid. Sesatkah begitu?
“Korang, harap janggut saja panjang … jubah saja labuh … serban saja tebal tapi ilmu, kosong!” Agak panas mendengar ayat ini tapi saya sering menasihati diri sendiri dan sahabat-sahabat agar sentiasa bersabar kerana apabila kita bersabar, Allah suka … Allah akan beri IMAN!
Saya andaikan diri saya ibarat embrio yang disenyawakan di dalam cengkerang telur. Setiap hari, saya akan menggunakan protein yang tersedia dalam telur itu untuk membina sel dan membesar menjadi anak ayam. Saya terpaksa hidup dalam cengkerang telur itu sehingga cukup tempoh pengeraman. Apabila saya sudah cukup kuat, saya akan menggunakan paruh untuk menebuk lubang pada cengkerang itu.
Namun, saya tidak boleh memecahkan cengkerang telur itu sebelum masanya. Jika saya tidak bersabar duduk dalam cengkerang itu dan mahu cepat-cepat keluar, kemungkinan saya akan mati lebih awal. Cengkerang itulah segala jenis ujian yang menyelimuti saya. Semakin kuat ujian, semakin tebal cengkerang dan semakin kuat embrio. Cengkerang yang lembik tidak mampu melindungi embrio.
Setiap manusia itu diuji. Ujian-ujian itulah yang membentuk keperibadian dan jati diri. Saya menjalani kehidupan yang sempit di dalam cengkerang itu hanya berbekalkan protein iman dan taqwa. Maka, apabila telah cukup masanya, saya akan keluar menjadi anak ayam yang sempurna. Lalu, saya membesar menjadi pejantan sabung yang gagah perkasa!
Alhamdulillah. Pabila dlm jamaah kenalah patuh pada kepimpinan yg mengajak dekat pada Allah. Jangan putus harap pada Allah. Jika berulang membuat dosa, jgn jemu untuk taubat lagi dan lagi..
Betul ke Umar Abdul Aziz tidak pandai membaca? Setahu saya, beliau merupakan alim ulama. Bahkan seluruh alim ulama pada zaman beliau berguru dengannya. Sejak dari kecil beliau didedahkan dengan ilmu bahkan dihantar khas oleh bapanya untuk menuntut ilmu dengan pak ciknya Sahal bin Abdullah bin Umar bin al-Khattab.