Ibrahim bin Adham: Raja Yang Meninggalkan Istana
IBRAHIM BIN ADHAM: RAJA YANG MENINGGALKAN ISTANA
Ibrahim bin Adham atau Abu Ishak Ibrahim bin Adham dilahirkan daripada keluarga bangsawan Arab yang kaya raya. Dia terkenal sebagai seorang raja Balkh yang sangat luas wilayah kekuasaannya. Ke mana saja pergi, dia akan diiringi dengan empat puluh bilah pedang emas dan empat batang tongkat kebesaran emas diusung di depan dan belakangnya. Namanya berada dalam tinta sejarah sebagai seorang yang bertukar daripada menjadi seorang raja yang masyhur kepada ahli sufi yang terkenal.
Pada suatu malam, ketika Ibrahim tertidur di dalam bilik istananya, langit-langit di biliknya bergerak seolah-olah ada seseorang yang sedang berjalan di atas atap. Ibrahim terjaga dan berseru, “Siapakah itu?”
Terdengar satu suara menyahut, “Saya adalah seorang sahabatmu. Untaku hilang, aku sedang mencarinya di atas atap ini.”
Ibrahim menengkingnya, “Bodoh, tidak ada orang mencari unta di atas atap!”
Jawab suara itu, “Wahai manusia yang lalai, adakah engkau hendak mencari Allah dengan berpakaian sutera dan tidur di alas tilam emas?”
Kata-kata tersebut meninggalkan kesan di hatinya. Dia menjadi gelisah dan tidak dapat tidur sehingga ke pagi. Pada keesokan hari, dia tidak dapat meneruskan aktiviti hariannya seperti biasa. Dirinya gelisah dan sering termenung. Para menteri, pembesar istana dan rakyat yang hadir merasa hairan melihat perubahan yang terjadi kepada raja mereka.
Kemudian, masuklah seorang lelaki berwajah menakutkan ke dalam istana lalu berdiri di depan Ibrahim. Ibrahim bertanya, “Apakah yang engkau inginkan daripada aku?”
Jawab lelaki itu, “Aku baru sahaja sampai, bagilah aku rehat dulu.”
Balas Ibrahim, “Ini bukan tempat persinggahan kafilah. Ini istanaku. Engkau seperti orang gila saja!”
Tanya lelaki itu, “Siapa pemilik sebenar istana ini sebelum engkau?”
tanya lelaki itu.
“Ayahku!”
“Sebelum ayahmu?”
“Datukku!”
“Sebelum dia?”
“Datuk kepada datuk-datukku!”
“Ke manakah mereka sekarang ini?“
“Mereka telah meninggalkan dunia ini.”
“Jika demikian, tidakkah istana ini hanyalah sebuah persinggahan yang diduduki oleh seseorang, kemudian ditinggalkannya dan diganti oleh yang lain pula?”
Ibrahim tersentak mendengar kata-kata lelaki itu. Dia tidak mampu menjawab apa-apa. Dalam sekelip mata, lelaki itu terus hilang.
Kegelisahan Ibrahim bertambah-tambah sejak peristiwa semalam. Ada dua perkara pelik telah berlaku pada dirinya. Hatinya semakin resah sehingga memaksa dirinya keluar dari istana!
Ibrahim lantas memerintah pengawalnya, “Persiapkan kudaku yang terbaik! Aku hendak pergi berburu. Ya, Allah! Bilakah semua ini akan berakhir?”
Kemudian, dia memacu kudanya dengan laju di tengah padang pasir sambil diiringi oleh para pengawalnya. Disebabkan terlalu laju, akhirnya kudanya terpisah daripada kuda-kuda lain sehingga tersesat. Ketika dia mencari jalan keluar, dia ternampak seekor rusa. Timbul pula keghairahan di hatinya untuk memburu rusa itu.
Rusa itu seakan-akan memahami niat Ibrahim lalu rusa itu bersuara, “Wahai manusia yang lalai, aku disuruh oleh Allah untuk memburumu. Engkau tidak akan dapat menangkapku. Bertaubatlah, adakah engkau diciptakan-Nya semata-mata untuk ini?”
Sekali lagi Ibrahim tersentak dengan soalan tersebut. Dia tidak pernah terfikir mengenai tujuan hidup manusia yang sebenar. Apakah tujuan manusia hidup di dunia ini?
Ibrahim menangis kerana menyesal sehingga seluruh pakaian dan kudanya dibasahi air matanya. Dalam keharuan yang teramat, dia bertaubat dengan sepenuh hati kepada Allah. Dia turun meninggalkan kudanya lalu berjalan kaki walaupun di bawah terikan matahari. Setelah penat berjalan, akhirnya dia bertemu dengan seorang pengembala kambing yang sedang mengembala. Tanpa disangka, Ibrahim mahu menukarkan bajunya yang bersulam emas dan bertatah batu permata dengan pakaian dan topi pengembala yang diperbuat daripada kulit dan bulu kambing.
Jemput share,
***
Dapatkan buku yang menghimpunkan 20 Kisah Para Wali Allah yang masyhur di langit dan bumi.
RM 20 termasuk pos. Sila Whatsapp 019-4702839