Cinta Sunni-Syiah: Mungkinkan akan Bersatu?
“Apakah bukti kau mengatakan Syiah sebagai sesat dan terkeluar daripada Islam?” Melissa mencabar Aisyah.
“Lisa, perkara ini sudah ada dalam hadis Nabi. Sabdanya, ‘Akan muncul di akhir zaman suatu kaum yang dinamakan Rafidhah. Mereka menolak Islam tetapi mendakwa sebagai Islam. Perangilah mereka kerana sesungguhnya mereka adalah golongan Musyrikin.’
“Tapi, Nabi menyebut Rafidhah, bukannya Syiah,” jawab Melissa.
“Imam Ahmad bin Hanbal menjelaskan bahawa Rafidhah adalah golongan yang memaki Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar. Siapa lagi dalam dunia ini yang memaki Sahabat Nabi jika bukan Syiah?”
“Aku tidak pernah mendengar Rafidh memaki Sahabat Nabi. Sepanjang aku kenal dia, tidak pernah dia mengatakan sesuatu yang kesat terhadap Sahabat Nabi.” Melissa membela Rafidh, lelaki yang semakin tempat di hatinya.
“Kau jangan lupa. Orang Syiah suka bertaqiyah. Di depan kita, pijak semut pun tak mati. Tapi, di belakang kita, maki hamun sudah menjadi makanan ruji, Lisa.”
Melissa terdiam. Siapa yang harus dia percaya sekarang? Rafidh yang dicintainya atau Aisyah teman baiknya. Melihatkan sikap Melissa yang tiada apa-apa jawapan, Aisyah bersuara, “Aku minta maaf jika kata-kata aku tadi membuatkan kau terasa. Biarlah jika kau hendak membenci aku sekalipun disebabkan aku memburuk-burukkan Rafidh. Tapi, hanya Allah yang tahu apa yang ada dalam hatiku. Kita sudah kenal lama. Baik buruk aku, semua kau sudah tahu. Aku tidak mahu nasib yang telah menimpa kakak aku akan menimpa kau nanti.”
“Kakak kau? Mengapa dengan dia?”
“Setelah dua puluh tahun berkahwin, barulah kakak aku tahu bahawa suaminya seorang Syiah. Dia sudah beberapa kali melakukan mut‘ah dengan orang lain. Kini mereka sudah bercerai. Malangnya, anak-anak mereka mengikut suami dia. Kes tuntutan anak masih belum selesai. Sudah tiga tahun berlarutan. Apa akan jadi dengan anak-anaknya nanti? Cubalah kau fikirkan perkara ini. Sunnah dan Syiah tidak akan bersatu untuk selama-lamanya. Biar atas nama cinta sekalipun. Cinta datang sekejap sahaja. Cinta boleh bertukar rupa. Hari ini cinta, esok derita. Patutkah kau korbankan akidah yang suci demi cinta seorang lelaki?”
___________________________
Ini merupakan sebahagian manuskrip “Cinta Tapi Benci” yang sedang saya tulis. Jemput komen dan share di Facebook