Versi Cerpen: “Budak Komik”
Nama aku, Nuar. Aku seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Aku sangat menggilai komik-komik dari luar negara. Aku sangat kagum dengan kehebatan superhero dalam komik-komik yang aku baca. Selain itu, aku dikurniakan bakat melukis. Namun, aku tidak tahu cara untuk memanfaatkan bakatku itu.
”Wah, cantiknya lukisan kau, Nuar. Tapi, yang peliknya, mengapa kau ambil aliran Sains? Bukankah lagi bagus jika kau ambil aliran Sastera dan Seni, boleh juga kau kembangkan bakat kau itu.” Itulah antara soalan yang sering aku dengar.
Sememangnya aku meminati aliran Sastera dan Seni dan aku juga bercita-cita untuk menjadi seorang kartunis. Namun, ibu dan ayahku tidak bersetuju. Mereka mahu aku menjadi seorang pekerja profesional. Aku dipaksa untuk mengambil aliran Sains.
Disebabkan itu, aku sering gagal menumpukan perhatian di sekolah dengan baik. Kerja rumah pun aku malas hendak siapkan. Sahabatku sering menegur, ”Nuar, kau sudah siapkan kerja rumah Matematik? Aku tengok kau asyik habiskan masa dengan komik sahaja.”
”Belum siap lagilah. Aku betul-betul terlupa. Kau sudah siapkah? Boleh aku tengok?” Itulah kerja aku, meniru orang sahaja!
Kegilaanku terhadap kartun telah menyebabkan aku dimarahi oleh ibu dan ayah. Pada masa yang sama, aku gagal memberikan tumpuan kepada pelajaran. Aku memberi alasan tidak minat belajar. Duit belanja yang diberikan oleh ibu dan ayahku ke sekolah aku gunakan untuk membeli komik. Aku sanggup ikat perut untuk membeli komik.
”Ayah beri duit belanja untuk makan, bukan untuk beli komik! Mulai esok, ayah tidak akan beri duit belanja kepada Nuar lagi. Setiap hari, Nuar akan bawa bekal dari rumah, faham?”
Hukuman yang dikenakan oleh ayah membuatkan hobi aku terbantut. Aku mula risau memikirkan jika terlepas untuk mendapatkan keluaran terbaru komik-komik kesukaan aku itu. Malah, aku juga mungkin gagal untuk memiliki poster-poster terbaru yang diselitkan dalam komik pada sesetengah keluaran. Aku buntu.
Duit belanja yang ayah beri cukup-cukup untuk tambang bas sahaja. Aku tidak boleh beli komik lagi. Aku semakin runsing. Aku tidak boleh duduk diam tanpa mengetahui kesinambungan cerita bersiri komik-komik yang aku langgani. Lalu, aku mencari jalan untuk mendapatkan duit sendiri menggunakan koleksi komik yang tersimpan pada aku. Hampir seratus buah semuanya.
”Kepada sesiapa yang berminat untuk membaca komik, anda boleh dapatkannya daripada saya. Setiap komik yang dibaca akan dikenakan bayaran lima puluh sen sahaja. Termurah di pasaran!”
Mulai hari itu, aku menjalankan aktiviti menyewa komik kepada rakan-rakan. Hasil pendapatan sewaan komik itu, aku gunakan untuk membeli komik baharu. Malang tidak berbau. Hampir separuh komik yang dipinjam, gagal dipulangkan.
”Maaflah, pengawas sudah rampas komik kau sewaktu mereka buat spotcheck.” Itulah alasan yang aku dengar.
”I’m sorry. Aku tidak tahu siapa yang curi komik kau. Alih-alih, sudah tidak ada pada aku.” Alasan lain yang membuatkan aku ponas.
Aku kecewa. Kekecewaanku bertambah lagi apabila mendapati poster superhero di dalam kamarku telah dikoyak oleh ayah. Aku benar-benar kecewa.
”Nuar, sudah banyak kali ayah dan ibu pesan. Jangan tampal gambar-gambar ini di dalam rumah. Nanti, malaikat rahmat tidak masuk!”
Panas sungguh hari itu. Sudahlah komik dikebas orang, poster pula kena koyak. Setelah selesai mandi, aku masuk semula ke dalam bilik. Lengkap berpakaian, aku mengisi beg dengan beberapa helai pakaian lain. Aku nekad untuk keluar dari rumah. Aku akan bermalam di mana-mana sahaja untuk menenangkan hati yang kacau bilau.
”Assalamualaikum, adik. Boleh abang bercakap sekejap. Syukurlah, Allah telah temukan kita pada petang ini. Nama abang, Zackry.” Tidak sangka pula, petang itu aku dipertemukan dengan sekumpulan pemuda.
”Sebenarnya, adik, semua makhluk atas dunia ini akan binasa. Tidak ada sesuatu pun yang tinggal. Selepas kita mati, kita semua akan dibangkitkan semula pada alam yang lain. Pada alam itulah kita akan mendapat pembalasan bergantung kepada amalan kita di atas dunia. Jika di dunia kita beriman dan melakukan amal-amal soleh, kita akan masuk ke dalam Syurga, dengan izin Allah. Abang berbesar hati untuk menjemput adik ke masjid pada waktu Maghrib nanti kerana kita akan adakan majlis tazkirah. Ada banyak perkara lagi kita boleh muzakarahkan. Insya-Allah, boleh?”
”Insya-Allah,” jawabku lesu atas ajakan tersebut.
Allah Maha Hebat. Allah Maha Berkuasa. Allah Maha Pengasih. Aku gagahkan diri untuk ke masjid pada malam itu. Di masjid itu, aku bertemu dengan Zackry dan sahabat-sahabatnya. Zackry seorang pemuda yang soleh. Dia bekerja sebagai seorang pereka grafik. Zackry banyak mengajar aku ilmu akhirat. Aku bersyukur, Allah telah memberikan aku hidayah. Aku bertukar daripada seorang penggemar komik superhero menjadi seorang kartunis komik dakwah. Peluang yang terhidang di depan mata, aku capainya dengan segera. Aku menghantar karya-karyaku ke majalah sekolah. Aku juga menyertai pertandingan mencipta komik tarbiah anjuran sebuah syarikat penerbitan.
”Ya Allah Yang Maha Pemurah. Kau berkatilah rezekiku. Amin.”
Aku berusaha untuk berbaik-baik semula dengan ibu dan ayah. Aku berusaha menambat hari mereka dengan azam untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Aku mahu buktikan kepada mereka bahawa aku seorang anak yang soleh. Alhamdulillah, segala usaha aku berhasil.
”Selang beberapa minggu kemudian, aku menerima sepucuk surat. Surat yang begitu bermakna buat diriku.”
Aku telah mendapat tempat pertama! Dalam peperiksaan dan juga dalam pertandingan komik tarbiah. Kemudiannya, syarikat penerbitan tersebut telah menawarkan aku sebagai ilustrator sambilan. Aku terus mengorak langkah secara aktif menulis dan melukis komik tarbiah untuk pasaran terbuka.
Segala puji bagi Allah. Aku menyedari betapa besar dan hebatnya kuasa Allah. Dia yang mengatur perjalanan hidupku. Inilah medan perjuanganku. Aku berazam untuk berjuang bersungguh-sungguh. Insya-Allah!
