Biografi Penulis

Nama penuh saya Mohd Khairi bin Tajudin. Saya dilahirkan pada 2 September 1983 di Hospital Besar Alor Setar, Kedah. Saya mula bersekolah tadika di Tabika KEMAS Kg. Baru, Changlun. Kemudian, masuk sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun juga. Selepas UPSR, masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun (Changlun lagi!). Hanya selepas PMR, barulah saya diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar (45 minit dari Changlun!) Selepas SPM, terus masuk UiTM Kampus Arau, ambil bidang Diploma Kejuruteraan Mekanikal. Saya belum memiliki cita-cita pada waktu itu. Tidak tahu arah tuju. Ambil Kejuruteraan Mekanikal kerana di sekolah dulu belajar jurusan Sains Teknologi. Itu sahaja alasan saya yang paling munasabah. Tidak minat pun untuk menjadi jurutera atau juruteknik.

Selepas habis Diploma, saya bekerja di kantin PLKN, UUM. Sepanjang tempoh itu, saya mengutip pengalaman pahit manis sebagai seorang ‘abang kantin’. Sebelum Subuh sudah bangun, pukul 12 tengah malam baru habis kerja. Budak-budak makan enam kali sehari. Bayangkan, berapa banyak gelas dan ‘tray’ yang saya kena basuh. Letihnya.

Selepas penat bekerja, barulah saya tahu nikmatnya belajar di universiti. Saya sambung semula pengajian peringkat ijazah di UiTM Shah Alam tapi bertukar kursus kepada HOTCAT (Pengurusan Perkhidmatan Makanan). Saya membawa cita-cita, selepas habis belajar nanti, saya mahu memiliki perniagaan makanan sendiri. Saya hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Sehingga kini, saya belum lagi merealisasikan cita-cita itu. Cuma saya mengutip lagi pengalaman bekerja sambilan di sebuah restoran makanan Barat. Dave’s Deli nama restoran itu. Sekarang, sudah tutup dan digantikan dengan nama baru.

Selepas tamat belajar, saya terus bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan Streamyx. Pendek cerita, saya ialah operator yang menjawab panggilan telefon daripada pengguna Streamyx yang mengalami masalah internet. Selama tujuh bulan saya bekerja di situ. Selepas itu, saya mengembara ke bumi orang selama empat bulan. Melihat dunia yang luas dan mengutip pengalaman yang lebih banyak.

Pulang dari perantauan, saya mula menternak kambing. Pada waktu itu, saya mula berfikir untuk bekerja sendiri dan memanfaatkan sepenuhnya kawasan rumah yang terbiar dengan semak-samun. Namun begitu, rezeki daripada kambing tidak begitu mengujakan. Saya terpaksa jual semua kambing itu dan mula menternak ayam pula. Pendapatan daripada penternakan ayam agak menggalakkan. Sambutannya baik tetapi saya dan para penternak seluruh Malaysia terpaksa menghadapi wabak hawar alias sampar yang meragut nyawa unggas-unggas dari Johor sampai ke Perlis. Saya terkedu seketika.

Sewaktu saya mahu bangkit daripada peristiwa hawar itu, saya dihubungi oleh seorang kawan yang telah lama saya kenal sewaktu di UiTM iaitu Azlan. Azlan mempelawa saya untuk menulis buku. Dia cakap, dia suka baca blog saya berkenaan penternakan ayam (shawnagrofarm.wordpress.com) dan dia yakin, saya boleh menulis buku berkaitan dengannya. Pada masa yang sama, dia juga mempelawa saya menghubungi editor di Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB) untuk menghantar sinopsis. Pada waktu itu, saya rasakan bahawa saya sudah nampak ke mana hala tuju saya selepas ini!

Pada bulan Mac 2011, saya menghadiri kursus penulisan novel Islami yang dikendalikan oleh Tuan Haji Zakaria Sungib, seorang editor senior di GISB. Habis kursus, saya terus hantar sinopsis kepada editor perolehan, Tuan Amir Abdul Hamid. Setelah sinopsis dinilai, saya diberi tempoh tiga bulan untuk menyiapkan manuskrip itu. Saya tidak membuang masa. Dalam masa tidak lebih daripada 20 hari, saya menyiapkan manuskrip pertama yang pada mulanya diberi nama GOL! Ia ialah sebuah novel berkenaan perjuangan anak-anak murid sekolah agama rakyat (SAR) memburu kejuaraan bola sepak tujuh sebelah. Saya mendapat idea itu berdasarkan pengalaman saya bekerja di SAR.

Maka, dalam masa tiga bulan selepas itu, terbitlah Tariq United yang menggantikan judul asalnya atas nasihat penyunting, Cik Liana Omar yang sangat berpengalaman. Selepas itu, saya terus mengorak langkah menulis novel seterusnya iaitu Budak Komik dan Budak U dan kemudian, Back to Campus.

Bermula tahun 2015, saya mengorak langkah menerbitkan buku sendiri. Buku pertama saya yang diterbitkan sendiri ialah Route to IPB dan Mujaddid dari India. Sekarang, di bawah rumah penerbitan saya sendiri iaitu KTR Press, saya telah menulis dan menerbitkan tidak kurang daripada 20 buah judul.

Di samping menulis dan menerbit, saya juga mengendalikan bengkel “Tulis, Terbit & Jual Buku Sendiri” yang bergerak ke seluruh negara di tempat-tempat terpilih. Setakat 2018, tidak kurang daripada 25 buah bengkel telah saya kendalikan.

Jika anda mahu belajar menulis dan menerbit buku dengan saya, jemputlah hadir ke bengkel saya.

Khairy Tajudin,
KTR Press 

019-4702839