Pelangi Setelah Hujan

Hari itu ialah hari yang pedih bagiku. Tidak pernah aku merasai hari yang sangat pedih sebegitu. Awan yang berarak menutupi matahari tidak mampu meredupkan hatiku. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa juga tidak mampu menyamankan kalbu yang kepanasan. Alunan lagu-lagu yang selalu aku dengar juga tidak mampu menghiburkan laraku.
            “Mulai hari ini kita putus!” terngiang-ngiang ayat itu di telingaku. Segala pujuk dan rujuk sudah tiada maknanya lagi ibarat mencurah air di daun keladi.
            Aku terasa ingin memecut laju di atas motosikalku itu. Aku bagaikan tidak peduli lagi tentang keselamatan di jalan raya. Mujurlah aku teringat bahawa aku orang Islam. Allah pasti murka jikalau aku menghabiskan nyawaku dengan cara itu.
            “Astaghfirullahalazim”, aku segera beristighfar apabila menyedari diriku semakin hilang pertimbangan.
            Aku tidak tahu ke mana aku hendak melarikan diri ketika itu. Aku tidak tahu di mana lagi aku hendak bersembunyi. Aku malu pada seluruh isi alam. Insan yang aku bangga-banggakan telah menghiris hati yang selama ini dia berada di dalamnya.
            “Doktor mana yang boleh merawat kesakitan seperti ini? Hospital mana yang boleh membuat pembedahan mencantumkan hati yang berkecai?” hati kecilku semakin mengarut-ngarut tatkala itu.
            “Ya Allah, ampunkanlah dosaku. Keluarkan aku dari belenggu ini,” selalu aku berdoa sebegitu setiap kali aku mengingati Allah.
            Selepas solat Asar, aku berkurung di dalam bilik. Aku cuba membuka tingkap untuk melihat sama ada rakan-rakanku telah turun untuk bermain futsal. Aku terasa sungguh bosan ketika itu. Tiada lagi aku dengar bunyi panggilan atau sistem pesanan ringkas daripada telefon bimbitku.
Dalam beberapa minit kemudian, kedengaran suara rakan-rakan dari bawah seolah-olah sedang menyeru namaku. Aku menyelak jendela dan membuka tingkap sekali lagi.
            “Jom kita main bola!” suara Fauzan kedengaran dari bawah. Aku memberi isyarat untuk turun.
            Permainanku petang itu tidak seperti biasa. Aku lebih suka menyepak bola kuat-kuat tetapi semuanya terkena palang gol. Futsal yang menjadi kegemaranku itu juga tidak mampu menyelesaikan masalah dalaman yang aku alami tatkala itu.
            Setelah setengah jam bermain, aku melihat-lihat pada matahari yang semakin terbenam dan hari yang semakin senja. Aku bersegera ingin naik ke rumah. Mereka yang sedang bermain bersamaku kehairanan kerana aku mahu naik terlalu awal.
            “Kenapa awal sangat naik? Mainlah dulu, awal lagi ni?” tanya salah seorang di antara mereka.
            “Aku nak ke masjid,” jawabku sambil beralih dari situ.
            “Sejak bila pula dia rajin ke masjid ni?,” kedengaran sayup-sayup suara itu dari belakangku. Aku tidak mempedulikannya dan terus saja naik ke rumah. Memang benar aku tidak rajin ke masjid kecuali untuk solat Jumaat.
            Setelah mandi dan memakai baju melayu hijau yang dipadankan dengan kain pelekat merah, aku bersegera ke masjid. Ketika aku sampai di tangga masjid, aku lihat dari luar ada satu kelompok manusia sedang duduk rapat-rapat sambil mendengar sesuatu yang disampaikan oleh seseorang. Aku tidak menghiraukan mereka dan terus melihat takwim di sebelah mimbar.
            “Sudah masuk waktu Maghrib tetapi kenapa tiada orang azan?” bisik hati kecilku.
            “Insyaallah tuan-tuan, selepas solat Maghrib nanti ada satu lagi majlis yang lebih besar dan lebih penting. Harap semua ambil bahagian,” seseorang yang sedang bercakap tadi berkata dan disambut oleh mereka yang sedang duduk dengan lafaz, “insya-Allah.”
            Ketika hadirin yang lain sedang mengambil wuduk, aku segera membuka suis pembesar suara dan mencapai mikrofon. Oleh sebab waktu Maghrib sudah masuk beberapa minit yang lepas, aku segera mengalunkan azan. Itulah azan yang pertama aku laungkan semenjak aku meninggalkan surau di kampung untuk menyambung pengajian di universiti.
            Selepas semua tetamu Allah selesai bersolat sunat qobliah, aku terus iqamat dan menyerahkan mikrofon kepada tuan imam. Selesai solat dan berdoa, seorang daripada ahli jemaah bangun ke hadapan dan membuat pengumuman, “tuan-tuan yang dirahmati Allah sekalian, sesungguhnya Allah s.w.t. telah meletakkan kejayaan manusia dan jin dalam agama. Atas maksud itu, selepas solat sunat baghdiah Maghrib nanti akan diadakan satu majlis fikir atas iman dan amal. Insyaallah harap semua ambil bahagian.”
            Aku tidak berapa faham dengan pengumuman tersebut kerana itulah pertama kali aku mendengar orang bercakap sedemikian. Selesai solat sunat, sekelompok ahli jemaah bergerak ke hadapan manakala seorang lelaki sedang duduk di atas kerusi di hadapan para hadirin. Lagak gaya lelaki itu persis seorang ustaz, kemas berjubah, berserban dan bertongkat.
            Aku terus menghampiri jemaah dan aku duduk betul-betul di bahagian sebelah kiri depan lelaki itu. Tatkala aku sedang kusyuk mendengar bicaranya, aku tertarik pada satu ungkapan;
            “Tuan-tuan yang dirahmati Allah, apabila Allah s.w.t. ingin meningkatkan martabat seseorang maka Dia akan memberi seseorang itu ujian. Allah mungkin mengujinya dengan perpisahan atau kehilangan sesuatu yang disayanginya sama ada harta benda atau seseorang yang dikasihi. Jikalau seseorang itu bersabar dengan ujian-ujian tersebut maka pasti hidayat dan rahmat akan turun kepadanya.”
            Terasa ayat-ayat itu menyusup masuk ke ruang dadaku lantas menyejukkan hatiku seketika ibarat air sejuk yang melalui tekak tatkala kehausan. Dia meneruskan lagi tazkirahnya. “Para Sahabat Rasulullah s.a.w. telah melakukan pengorbanan demi pengorbanan untuk mengembangkan hidayat ke seluruh alam. Mereka telah tinggalkan harta benda, rumah-rumah, kebun-kebun dan hanya pergi sehelai sepinggang ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah.”
            Dia meneruskan lagi kisah-kisah para Sahabat sehingga aku begitu tertarik mendengarnya. Aku rasa itulah pertama kali aku mendengar tentang kisah pengorbanan para Sahabat Nabi s.a.w. semasa menyebarkan dakwah yang jarang-jarang didengar melalui radio, televisyen, buku, majalah atau kuliah di universiti.
            Sebelum mengakhiri tazkirahnya, dia bertanya, “siapakah di antara tuan-tuan sekalian yang sedia untuk belajar menyambung risalah Nabi s.a.w. dan para Sahabat radiallahuanhum?”. Aku lihat semua hadirin bangun dan memberikan nama kecuali aku yang masih terpinga-pinga.
            “Tuan nama siapa?” seorang lelaki yang sedang mencatit nama bertanya kepadaku.
            Aku menjawab ringkas lantas dia mencatitkan namaku di dalam buku yang dipegangnya. Semenjak hari itu, hatiku kian terpaut di masjid. Betapa hebatnya perancangan Allah. Semudah itu diputarnya hatiku. Aku mula mengenali betapa manisnya mencintai Allah, Rasulullah dan para Sahabat berbanding cinta kepada manusia yang tidak pernah kekal lama.
Aku tidak tahu mengapa Allah menghilangkan aku matahari dan menurunkan hujan yang lebat, rupa-rupanya Allah berkehendak menghadiahkan aku pelangi yang indah.
_______________________________________
Cerpen di atas adalah sebahagian daripada coretan dalam novel “Budak U” – boleh dapatkannya di Popular, MPH atau keda-kedai buku berhampiran. Terbitan GISB.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge