Allah Bersama-sama Kita

“Susahlah berdakwah cara nabi ni, ustaz. Kena jumpa orang, kena cakap dengan orang. Nanti orang marah kita. Saya pun bukan baik sangat. Jika saya beri nasihat guna Facebook atau blog saja boleh tak?” soal seorang remaja yang baru belajar mendekati masjid.

“Tuan, kita buat dakwah kerana Allah. Bukan untuk orang lain tetapi untuk diri kita sendiri. Tidak salah menggunakan apa-apa saluran untuk mengajak orang kepada kebaikan tetapi kesannya kepada diri kita tidak sama. Lagipun, berdakwah secara bersemuka lebih hampir kepada sunnah nabi,” jawab ustaz muda itu.
“Jika betul-betul kita yakin bahawa dakwah ini adalah perintah Allah, mengapa kita perlu takut untuk bercakap depan orang? Tidak yakinkah kita bahawa Allah bersama-sama dengan kita?” jelas ustaz muda itu lagi.
“Bukan tidak yakin tetapi takut. Semua orang tahu saya dulu budak jahat. Kaki ponteng sekolah. Kaki curi kasut masjid dan macam-macam lagilah. Adakah mereka mahu dengar cakap saya?” soal remaja itu lagi.
“Tuan, kita berdakwah untuk membetulkan diri kita dan bukan untuk memaksa orang mendengar cakap kita. Semakin banyak kita mengajak orang lain kepada kebaikan, sebenarnya diri kita sendiri yang akan terdorong kepada kebaikan tersebut. Terpulanglah sama ada orang lain mahu mendengar atau tidak. Apa yang penting, Allah Maha Mendengar.”
“Jika kita fikir dakwah ini untuk membetulkan orang lain mesti kita akan rasa berat, bukan? Kita akan fikir mengenai pandangan orang terhadap kita. Kita akan rasa marah jika orang tidak bersetuju dengan apa yang kita cakap. Lama-lama kita tinggalkan dakwah itu kerana tidak ada orang yang mahu mendengar cakap kita. Siapa yang akan rugi? Kita rugi, orang lain pun rugi,” sambung ustaz itu lagi.
“Mengapa kita tidak berdakwah kepada orang kafir? Boleh meramaikan umat Islam.” Remaja itu terus bertanya.
“Berdakwah kepada orang Islam pun tuan sudah takut-takut, bagaimana hendak berdakwah kepada orang kafir?” jawab ustaz sambil tersenyum memandang remaja itu. “Lihatlah bagaimana orang Islam pada hari ini. Cara hidup mereka tidak banyak beza dengan orang kafir. Tidak bersolat. Tidak menutup aurat. Tidak berakhlak. Bergaul bebas lelaki dan perempuan. Tuan rasa, apa pandangan orang kafir terhadap orang Islam pada hari ini?
“Entahlah, ustaz. Saya rasa mereka pun takut-takut hendak masuk Islam. Orang Islam tidak menunjukkan akhlak yang baik dengan mereka,” jawab remaja itu.
“Bagus. Tuan sendiri sudah menjawab soalan yang tuan tanya tadi. Mengapa kita tidak mampu berdakwah kepada orang kafir adalah kerana sebab-sebab tadilah. Tugas kita sekarang ialah buat dakwah kepada orang Islam. Apabila semua orang Islam mampu mengamalkan agama dengan sempurna, tidak mustahil orang kafir akan terkesan dan berminat untuk memeluk Islam. Insya-Allah.” Ustaz itu menjelaskan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge