Jangan Berperang Sebelum Berdakwah
Diriwayatkan oleh Abdul Razaq dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. tidak akan memerangi sesuatu kaum sebelum mendakwahi mereka kepada Islam.
(Riwayat Hakim, Ahmad, Abu Ya’la, Thabarani, Ibnu An-Najjar dan Al-Baihaqi – hadis sahih)
Perintah Rasulullah s.a.w. kepada jemaah dakwah supaya melembutkan hati-hati manusia dan mendakwahi mereka
Diriwayatkan oleh Ibnu Mandah dan Ibnu Asakir dari Abdul Rahman bin A’idz r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w. akan memberangkatkan sesuatu rombongan, baginda akan bersabda kepada mereka, “Lembutkanlah kalbu-kalbu manusia dan janganlah kalian menyerang mereka sehingga kalian mendakwahi mereka kepada Islam. Tidak ada penghuni rumah tanah liat atau pun penghuni khemah yang kalian datangkan kepada aku dalam keadaan Muslim melainkan hal itu lebih aku sukai daripada kalian mendatangkan kepada aku wanita mereka dan anaknya sedangkan para lelakinya kalian bunuh.”
(Daripada kitab Kanzul Ummal, Al-Isabah dan At-Tirmidzi)
Perintah Rasulullah s.a.w. kepada amir sariyah supaya berdakwah
Sariyah ialah jemaah yang diutus oleh Rasulullah s.a.w. untuk berdakwah tetapi baginda s.a.w. tidak menyertainya. Jika jemaah itu disertai oleh Rasulullah maka ia dinamakan ghuzwah.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud, Muslim, Ibnu Majah dan Al Baihaqi daripada Buraidah r.a. meriwayatkan bahawa : Apabila Rasulullah s.a.w. mengutus seorang amir sariyah atau pasukan, baginda akan berwasiat kepadanya agar bertakwa kepada Allah terutama dirinya sendiri dan berlaku baik terhadap orang Islam yang ada bersama-samanya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila kalian bertemu dengan musuh daripada golongan musyrikin maka serulah mereka kepada 3 perkara. Jika mereka menerima salah satunya maka terimalah dan janganlah memerangi mereka.
Pertama, serulah mereka kepada agama Islam. Jika mereka menerimanya, maka terimalah mereka dan jangan memerangi mereka. Kemudian, suruhlah mereka berpindah dari tempat tinggal mereka ke tempat orang Muhajirin. Jika mereka menolak dan memilih untuk tinggal di tempat mereka makan katakanlah bahawa mereka akan menjadi Arab Badwi Muslim yang lain di mana hukum Allah akan dilaksanakan kepada mereka sebagaimana dilaksanakan kepada orang Islam yang lainnya. Cuma, mereka tidak mempunyai hak atau bahagian dalam harta rampasan perang kecuali mereka bersama-sama berjuang dengan orang Islam yang lain.
Jika mereka menolak maka serulah untuk membayar jizyah. Jika mereka bersetuju maka terimalah jizyah mereka dan jangan memerangi mereka.
Jika mereka menolak semua tawaran itu maka perangilah mereka dan mintalah pertolongan daripada Allah … .
(Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, Ahmad, Asy Syafie, Ad Darimi, Ath Thahawi, Ibnu Hibban, Ibnu Al-Jarud, Ibnu Abu Syaibah dan lain-lain seperti yang tersebut dalam kitab Kanzul Ummal. At Tirmidzi mengatakan hadis Buraidah ini adalah hadis hasan sahih)
Huraian
Generasi mutaakhir ini tidak memahami makna jihad yang sebenar-benarnya. Kebanyakannya memahami bahawa jihad adalah peperangan antara orang Islam dan orang kafir. Di dalam hadis di atas jelas menunjukkan bahawa jihad cara nabi itu terbahagi kepada tiga bahagian:
- Dakwah selama tiga hari. Para sahabat akan berdakwah kepada orang kafir, “Masuklah kalian ke dalam Islam nescaya kalian selamat”. Jika mereka menerima dakwah itu maka mereka diminta berpindah ke tempat orang Islam untuk mempelajari ilmu-ilmu agama. Dakwah ini dipanggil dakwah secara ringkas (ad dakwatul qawliyah al ijmaliyah)
- Jizyah. Jizyah bukan semata-mata cukai atau pajak. Sebenarnya ada hikmah yag lebih luas di sebalik perintah tersebut. Orang kafir yang tidak mahu memeluk Islam dikenakan bayaran jizyah dan mereka tinggal di kalangan penduduk Islam dengan status kafir zimmi. Mereka juga harus tunduk kepada hukum-hukum Islam sebagaimana orang yang beriman. Hak-hak mereka juga akan dilindungi. Hikmahnya ialah apabila mereka hidup di bawah naungan Islam, mereka dapat melihat akhlak umat Islam yang mulia lantas tergerak hati untuk memeluk Islam dengan izin Allah. Peringkat ini dinamakan dakwah amali (ad dakwatul amaliyah at tafsiliyah) iaitu menyaksikan amalan-amalan murni umat Islam dan terkesan dengannya .
- Qital iaitu peperangan. Peperangan terpaksa dilakukan jika orang kafir tersebut menolak tawaran pertama dan kedua. Mereka terpaksa dibunuh kerana menjadi penghalang sampainya dakwah kepada kaum mereka yang lain. Namun begitu, terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh umat Islam jika memerangi orang kafir. Antaranya ialah:
- Jangan membunuh anak-anak, wanita dan orang tua yang uzur.
- Jangan membakar rumah peribadatan mereka.
- Jangan menghancurkan tanaman mereka.
- Jangan menghancurkan tempat tinggal mereka.
- Jangan mencincang orang yang telah mati.
Maksud utama sesuatu jihad itu dilancarkan adalah semata-mata untuk menyelamatkan aqidah setiap manusia di atas muka bumi ini daripada belenggu kekufuran, bukannya untuk membunuh orang kafir seperti yang digembar-gemburkan oleh orientalis. Atas maksud itu, Rasulullah terlebih dahulu berpesan kepada jemaah supaya bertakwa kepada Allah, maknanya mentaati setiap perintah Allah dan meninggalkan setiap larangan-Nya. Dakwah yang haq tidak boleh mencampur-adukkan kepentingan lain selain daripada Allah. Apatah lagi mencampurkan perkara-perkara maksiat di dalamnya.
Sewaktu berperang sekalipun Allah masih mewajibkan solat yang boleh dilakukan dengan cara yang diajar iaitu Solat Khauf. Solat itu pula dilakukan secara berjemaah. Dalam perang pun masih lagi ditekankan solat berjemaah! Lemahnya iman umat Islam hari ini, tidak ada apa-apa keperluan penting pun masih malas ke masjid dan lebih selesa solat di rumah sahaja. Bagaimana Islam hendak menang sedangkan kita sendiri tidak bersatu melalui solat berjemaah?
Seterusnya, Rasulullah s.a.w. mewasiatkan kepada kita untuk berlaku baik terhadap saudara-saudara seagama dengan kita. Maknanya, kena saling memuliakan antara satu sama lain. Janganlah disebabkan perbezaan pendapat atau ideologi, kita saling bercakaran. Amat menyedihkan gejala perpecahan yang berlaku kepada umat Islam hari ini. Perkara yang kecil dibesar-besarkan. Perkara yang penting diremeh-remehkan pula. Lebih menyedihkan, sanggup mengkafirkan saudara seagama hanya kerana perbezaan ideologi dan perjuangan. Astaghfirullahalazim.
Umat Islam bercakar-cakaran sedangkan musuh Islam sedang mentertawakan kita. Menang sorak kampung tergadai. Selagi umat Islam tidak bersatu hati dan berjuang dengan ideologi sendiri, jangan haraplah Islam akan kembali menguasai bumi ini.
Pesanan seterusnya, Rasulullah menyuruh kita berdakwah dahulu sebelum menyerang. Cuba tanya diri kita, adakah kita sudah menjalankan dakwah seperti yang diperintah oleh nabi?