Dunia Akhirat Fifty-Fifty

 Aku mahu berjaya di dunia dan juga di akhirat. Aku tidak faham maksud berjaya di dunia dan di akhirat. Adakah aku perlu membahagikan antara keduanya 50-50?
Jika begitu, maknanya dalam sehari, perlukah aku beribadat untuk akhirat selama 12 jam dan berusaha untuk dunia selama 12 jam juga?
Suatu hari, aku menyuarakan soalan itu kepada ustaz yang sedang mengajar Pendidikan Islam di kelas aku. “Ustaz, apakah yang dimaksudkan dengan kata-kata, ‘Berusahalah untuk dunia kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi. Berusahalah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati pada esok hari’?”
Semua pelajar yang lain memandang aku seolah-olah mereka semua sudah tahu maksud kata-kata itu. Seorang rakan aku, Shidie menyampuk, “Apalah kau, itu pun tidak tahu. Maknanya, kena bagi sama ratalah. Kena buat kedua-duanya.”
“Diamlah! Aku bukan tanya kau pun. Aku tanya ustaz!”
Ustaz tersenyum dan kemudian dia menjawab. “Bayangkan kamu diberikan kerja khusus oleh dua orang cikgu. Seorang cikgu mahu kamu menyiapkan kerja kursus itu secepat mungkin dan hantar pada esok hari. Seorang lagi cikgu memberikan kamu masa sehingga hujung tahun. Agak-agak kamu, kerja khusus yang mana akan kamu siapkan dulu? Kerja khusus yang pertama atau yang kedua?”
“Pertama!” Kami menjawabnya beramai-ramai.
“Mengapa kamu perlu siapkan kerja yang pertama dulu?” Ustaz menyoal.
“Sebab cikgu hendak ambil esok. Jika tidak siap nanti cikgu marah!” jawab salah seorang pelajar dalam kelas aku yang paling kuat suaranya, Saifudin.
“Habis, kerja khusus yang satu lagi, bila kamu hendak buat?” Ustaz menyoal lagi.
“Bila-bila pun boleh. Cikgu suruh hantar hujung tahun.” Seorang pelajar yang lain, Shatirah, pula menjawab.
“Erm, pandai pun. Jadi, kita hendaklah mengutamakan akhirat dahulu kerana kita akan mati pada esok hari. Urusan dunia boleh ditangguhkan kerana kita masih ada masa seribu tahun lagi. Bukankah begitu?” Ustaz mula menjelaskan maksud yang sebenar.
“Tapi, tidak adillah begitu, ustaz. Bukankah kita perlu adil ke atas kedua-duanya?”
“Sebelum bercakap mengenai keadilan, ustaz rasa lebih baik kamu faham dahulu apa maksud urusan dunia dan urusan akhirat. Maksud urusan akhirat ialah apa-apa yang berkaitan dengan perintah Allah dan Rasul. Contohnya, solat, puasa, berjihad, amar makruf nahi mungkar, berdakwah, mencari rezeki, menuntut ilmu agama dan menghubungkan silaturahim. Urusan dunia pula ialah apa-apa yang menjadi keharusan kepada kita seperti bersukan, membuang air besar dan kecil, tidur dan makan.”
Aku dan beberapa orang rakan yang lain mengangguk. Kemudian, ustaz menjelaskan lagi. “Ada sesiapa di sini yang sanggup duduk dalam tandas selama dua belas jam?”
Seorang pun tidak bersuara.
“Mengapa kamu tidak sanggup? Bukankah kamu mahu adil dalam membahagikan masa antara dunia dan akhirat?”
Aku mula faham.
“Walaupun begitu, kita juga boleh menjadikan urusan dunia kita mendapat pahala di sisi Allah sekiranya kita mengamalkannya dengan cara Nabi. Misalnya, kita melakukan sunnah Nabi ketika memasuki tandas, ketika makan dan ketika tidur. Setiap perkara yang dilakukan dengan cara Nabi akan dikira pahalanya yang sangat besar.”
“Apakah ganjaran pahala yang kita dapat jika mengamalkan sunnah Nabi, ustaz?” Aku yang lama terdiam bertanya kembali.
“Jika kita istiqamah menghidupkan satu sunnah Nabi pada zaman kerosakan umat, maka ganjarannya menyamai seratus pahala orang yang mati syahid!”
“Allahuakbar!” Barulah aku tahu besarnya pahala menhidupkan sunnah Nabi. Jika satu sunnah sahaja diamalkan pun sudah mendapat seratus pahala mati syahid, mesti banyak yang lagi ganjaran yang akan aku dapat jika mengamalkan lebih banyak lagi sunnah Nabi. Betapa kasihnya Allah kepada umat akhir zaman ini.
Sebelum mengakhiri kelas Pendidikan Islam pada hari itu, ustaz menitipkan kepada kami pesanan yang sangat berharga bagi aku.
“Dunia ini adalah bayang-bayang. Jika kita mengejarnya, dia akan lari. Jika kita lari daripadanya, dia akan mengejar kita. Oleh itu, kejarlah akhirat. Dunia akan mengekori kita sehingga ia datang tunduk kepada kita dalam keadaan yang hina. Sebaliknya, jika kita asyik mengejar dunia, kita tidak akan dapat memilikinya bahkan kita semakin jauh dari akhirat .”
_______________________________________________________ 
Nukilan di atas merupakan sebahagian daripada babak dalam novel terbaru yang sedang saya usahakan. Setakat ini, judulnya masih saya namakan sebagai BUDAK ‘U’. Nantikan kemunculannya selewat-lewatnya pada April 2012 iaitu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Jom kita serbu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

1 Response

  1. semoga berjaya! pelajar smstsp jugak nie 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge