Aku Mahu Jadi Budak Mechy
PERKARA yang telah berlalu adalah sejarah, perkara yang bakal dilakukan adalah iltizam sedangkan perkara yang sedang dilalui adalah realiti. Walaupun aku mesti terus memandang ke hadapan, aku juga perlu menjenguk ke belakang supaya aku tahu dari mana aku datang.
Apa-apa yang ditakdirkan pada hari ini mungkin natijah daripada apa-apa yang telah berlaku di belakang. Allah boleh memberikan takdir buruk kepada aku jika itu adalah kemahuan-Nya. Aku wajib redha namun aku perlu sentiasa memohon perlindungan daripada-Nya.
Setiap manusia mempunyai matlamat hidup. Begitu juga aku. Selepas tamat peperiksaan SPM, aku hanya berfikir untuk sambung belajar di universiti. Apabila aku sudah berjaya mendapat segulung ijazah nanti, aku akan jaja ia untuk mencari rezeki yang halal. Itu sahaja yang mampu aku fikirkan. Atas maksud tersebut, sementara menunggu tawaran masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi, aku merajinkan diri untuk mencari duit poket. Sekurang-kurangnya aku tidak membuang masa sebegitu sahaja.
“Buat apalah kau belajar tinggi-tinggi, Khairy? Segulung ijazah belum tentu menjamin masa depan yang baik. Lihatlah di luar sana, banyak graduan-graduan yang menganggur, tidak ada kerja. Jika bekerja pun, setaraf dengan kelayakan SPM saja. Lebih baik tidak payah masuk universiti.”
Encik Rosli (bukan nama sebenar), seorang tauke sayur merangkap bos aku menyatakan pendapatnya ketika aku memberitahunya bahawa aku berkeinginan untuk menyambung pelajaran ke universiti. Aku bekerja dengannya setelah tamat peperiksaan SPM dengan menjadi pembantunya menjual sayur di pasar.
“Aku dulu pun pernah masuk universiti. Siap dapat ijazah kelas pertama. Tapi, mencari kerja yang sepadan dengan kelulusan rupa-rupanya lebih sukar daripada menjawab soalan peperiksaan. Jadi, aku buat apa-apa sahaja kerja yang mampu. Duit pinjaman pelajaran tetap kena bayar. Bukan boleh lari sebegitu saja. Selepas lebih tiga tahun menganggur, aku mula buat kerja sendiri. Aku menyesal buang masa dan duit masuk universiti dulu. Jika aku tahu begini nasib aku, baik aku kerja terus selepas habis sekolah.”
Encik Rosli seakan-akan menyalahkan takdir. Aku tidak bersetuju dengan pendapatnya. Walaupun dia gagal mendapat kerja selepas menjadi graduan, tidak semestinya aku pun akan menerima takdir yang sama.
“Tapi encik, rezeki yang Allah tentukan untuk kita tidak serupa. Ada orang yang Allah beri lebih dan ada orang yang Allah beri kurang sedikit. Apa yang pasti, rezeki tetap ada selagi kita hidup. Jika rezeki sudah habis, maka waktu itulah malaikat maut datang mencabut nyawa kita. Janganlah disebabkan encik kecewa tidak mendapat kerja yang setaraf, encik memadamkan cita-cita saya.”
“Kau orang muda, cakap pandai berapi-api. Teori sana teori sini. Kau belum tahu asam garam kehidupan yang sebenar seperti yang pernah aku rasa. Nanti, apabila sudah sampai masanya, barulah kau akan sedar apa yang aku cakap.”
Aku seakan-akan memahami maksud tersirat di sebalik kata-kata Encik Rosli. Meskipun aku berbeza pendapat dengannya namun dirinya masih aku hormati sebagai orang dewasa yang berpengalaman dalam perniagaan. Mungkin bukan semua perkara yang dia cakap aku boleh terima tapi bukan semua perkara yang dia cakap aku perlu buang sebegitu sahaja.
“Cuma satu pesanan aku, jika kau masih hendak masuk universiti, aku doakan kau tidak menerima nasib seperti aku. Kau jangan bergantung harap pada ijazah saja untuk meneruskan kehidupan. Tuhan tidak pernah berjanji untuk berikan kita rezeki dengan ijazah. Tuhan suruh kita beriman, beramal dan bertaqwa dalam setiap usaha. Kemudian, barulah Tuhan bukakan rezeki yang luas untuk kita.”
Encik Rosli juga bijak mengatur hujah dalam bicaranya. Disebabkan itulah, aku tidak membuang pendapatnya sebegitu sahaja. Mungkin ada benarnya tapi aku tetap berpegang kepada pendapat sendiri, ‘lain orang, lain takdirnya.’
“Kau hendak minta kursus apa?”
Encik Rosli menyedarkan aku daripada lamunan yang sebentar. Mungkin dia terperasan aku asyik memandang kosong pada sayur yang berada di depan. Ketika itu, hari sudah semakin senja. Sebentar lagi kami akan menutup gerai.
“Mechanical Engineering.”
“Aku rasa, jika kau ambil kursus bisnes lagi bagus. Sekurang-kurangnya boleh juga belajar ilmu bisnes. Nanti boleh jadi usahawan. Jika kau ambil Mechy, nanti keluar kena kerja dengan orang. Belajar teruk-teruk, keluar jadi kuli saja. Hahaha!”
“Encik hendak bunuh semangat saya!” Aku memprotes kerana tersinggung dengan kata-katanya itu.
“Jangan cepat melatah, orang muda. Percayalah cakap aku. Hari ini, ramai orang belajar tinggi-tinggi hanya untuk menjadi kuli. Bukannya untuk menjadi tuan. Sebab itulah bangsa kita semakin mundur. Cuba kau tengok tauke Cina, bukannya belajar tinggi sangat pun tapi yang jadi kulinya ialah orang kita yang belajar tinggi-tinggi.”
“Biarlah saya jadi kuli pun janji rezeki halal. Jika orang Melayu kaya tapi lupa daratan pun hendak buat apa? Sudah jadi kaya, bukannya hendak tolong orang miskin.”
Encik Rosli menepuk bahu aku sambil tersenyum. “Aku mahu lihat kau betul-betul berjaya, Hakimi. Bukan sekadar kerja makan gaji. Kau perlu tanamkan azam untuk menjadi usahawan berjaya. Jika kau belajar bidang Mechy, kau mesti azam untuk buka kilang sendiri nanti. Aku cabar kau jika kau hendak bela agama dan bangsa kau sendiri!”
Sejak awal lagi sudah aku katakan bahawa akal Encik Rosli boleh dipakai. Kata-kata terakhirnya pada petang itu menjadi perangsang untuk aku terus berjuang. Belajar bersungguh-sungguh bukan sekadar untuk memiliki segulung ijazah atau mendapat jawatan yang selesa. Belajar tinggi-tinggi supaya dapat memperbaiki kehidupan masyarakat terutamanya untuk agama dan bangsa aku.
Ya Allah, luruskanlah niat aku.
