Novel ‘Tariq United’: Bab Satu
BAB 1 : MENJUNJUNG AMANAH
Keceriaan mewarnai suasana waktu rehat sebuah sekolah agama rakyat di pinggir sebuah bandar. Sekolah ini dibina hasil derma ikhlas daripada penduduk setempat. Buat masa ini, ia terdiri daripada satu bangunan tiga tingkat sahaja. Sebuah lagi bangunan sekolah berada pada fasa terakhir pembinaan. Dijangkakan pada awal tahun depan, bangunan tersebut mungkin boleh diduduki.
Sekolah agama rakyat ini mempunyai enam buah kelas. Tahun satu sehingga tahun enam. Satu kelas memuatkan tidak lebih daripada dua puluh orang pelajar. Jumlah keseluruhan pelajar di sekolah agama ini hanya seratus orang. Guru-gurunya pula seramai sepuluh orang, termasuk seorang guru besar. Rata-rata pelajarnya terdiri daripada anak-anak tempatan yang tinggal berdekatan.
Dahulunya, sekolah ini mempunyai bilangan pelajar yang ramai. Hampir dua ratus orang. Separuh daripadanya tinggal jauh dari sekolah. Jadi, mereka menetap di asrama. Disebabkan satu cerita yang menakutkan sedikit masa dahulu, para pelajar itu tidak mahu lagi tinggal di asrama. Akhirnya, ibu bapa pelajar tersebut menukarkan anak-anak mereka ke sekolah lain.
Di Sekolah Agama Tariqatul Iman ini, para pelajar diajar subjek-subjek teras yang terkandung dalam silibus Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Subjek-subjek agama seperti Tauhid, Sirah, Fikah, Al-Quran dan Akhlak pula menjadi mata pelajaran tambahan.
DUM!
Suasana hingar-bingar menjadi senyap seketika apabila terdengar satu bunyi yang agak kuat. Suatu objek bulat telah merempuh tingkap kaca sebuah kelas di tingkat bawah. Perlanggaran itu menyebabkan dua keping cermin tingkap itu pecah berkecai. Semua pelajar dan guru yang berada di kantin melorongkan perhatian mereka kepada empat pelajar lelaki yang sedang bermain bola. Rupa-rupanya, mereka telah menendang bola itu sehingga terkena tingkap lalu memecahkan cerminnya. Kelihatan mereka Daling menyalahkan antara satu sama lain.
“Ini semua kau punya fasal!” Kata Amar kepada Safri.
“Mengapa pula aku? Kau yang sepak bola itu,” Safri mempertahankan dirinya.
“Aku bagi bola itu pada kau. Kenapa kau mengelak?” Amar terus menyalahkan Safri walaupun sebenarnya dialah yang menyepak bola tersebut.
“Kau tendang bola itu laju sangat. Bagaimana aku hendak ambil?” Balas Safri. Dua orang lagi rakan mereka hanya terdiam.
Dari jauh, berdiri seorang lelaki tinggi lampai yang memerhatikan gelagat empat anak didiknya asyik bermain bola.
“Kasihan.”
Hati kecil Ustaz Syamil berbisik. Lelaki pertengahan usia 20-an itu berasa kasihan melihat para pelajar terpaksa bermain bola di ruang letak kereta kerana ketiadaan padang bola di sekolah itu. Dia mula bertugas di sekolah itu sejak bulan Januari yang lalu. Selain mengajar Pendidikan Jasmani, Al-Quran, Tauhid dan Akhlak, Ustaz Syamil dilantik sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Ko-kurikulum. Sekolah itu kekurangan guru lelaki. Ustaz Syamil dan guru besar sahaja guru lelaki di sekolah itu.
Ustaz Syamil mengalihkan pandangan ke arah lain lalu berjalan ke kantin. Dia mahu minum pagi. Baru sahaja beberapa teguk minuman membasahi tekak ustaz muda itu, kedengaran seperti ada orang menjerit kesakitan. Tanpa semena-mena, satu pergaduhan telah berlaku.
“Astaghfirullahalazim!”
Ustaz Syamil beristighfar panjang tatkala melihat dua pelajar yang bermain bola tadi sedang bergaduh.
“Safri bin Dali! Amar bin Mustafa! Kamu berdua ke sini!”
Ustaz Syamil menjerit dari kantin. Dua pelajar yang sedang bergaduh itu akur dan datang menghampirinya. Taufiq Rahimi dan Shahir Izlan yang bermain bersama-sama mereka tadi turut mengekor dari belakang.
“Tolong beritahu ustaz, apa manfaat yang kamu dapat dengan bergaduh?”
Tanya Ustaz Syamil sambil matanya tepat memandang dua wajah yang telah comot itu.
“Safri yang menyebabkan cermin tingkap itu pecah tetapi dia tidak mahu mengaku!” Amar mula bersuara.
“Amar yang tendang bola itu, bukan saya!” Safri pula mempertahankan dirinya.
“Sudah! Lain ustaz tanya, lain pula kamu jawab. Kalian fikir ustaz tidak nampak apa yang kalian berdua buat tadi?”
Safri dan Amar hanya tunduk. Masih jelas rona merah di wajah mereka. Mungkin masih marah antara satu sama lain.
“Bukankah ustaz sudah beri amaran? Jangan main bola ketika waktu rehat! Tengok, apa sudah jadi?” Ustaz Syamil terus menegur kesalahan mereka.
“Hendak main, tunggu petang nanti. Boleh main puas-puas. Sekarang waktu belajar, bukan waktu bermain, faham?”
Mereka berdua mengangguk serentak. Masing-masing diam menikus apabila dimarahi Ustaz Syamil.
“Sekarang, beritahu ustaz, apa jenis denda yang kamu mahu?” tanya Ustaz Syamil lagi.
Safri diam sahaja.
“Ketuk ketampi sajalah, ustaz,” jawab Amar.
“Cadangan tidak diterima. Kamu berdua ustaz denda pergi ke surau dan solat Dhuha lapan rakaat.”
Senang sahaja denda yang dikenakan oleh Ustaz Syamil.
“Lapan rakaat?” Soal mereka serentak, seolah-olah solat sunat lapan rakaat itu sangat berat untuk dilaksanakan.
“Ya. Lapan sahaja. Main bola larat, solat mesti lagi larat, bukan?” Ustaz Syamil berpsikologi. “Sebelum itu, ustaz mahu kamu berdua bersalaman minta maaf.”
Arahan tersebut terus dipatuhi. Safri dan Amar bersalam-salaman dan terus ke surau. Sepasang mata Ustaz Syamil mengawasi pergerakan dua pelajarnya itu. Taufiq dan Shahir juga tidak terkecuali. Mereka berdua pun disuruh ke surau.
“Ustaz Syamil!”
Ustaz Syamil mengalihkan pandangan dan mencari-cari pemilik suara orang yang memanggil namanya. Dia menoleh ke kiri, kanan dan belakang sebelum anak matanya menangkap pergerakan sesuatu. Tercegat di depan pintu pejabat, guru besar menggamit-gamitkan tangannya, isyarat memanggil ustaz tersebut.
“Sekejap!”
Untuk tidak membuang masa, dia terus menghirup teh ‘o’ limau ais yang masih berbaki lalu bergegas ke arah pejabat.
“Ya, tuan. Ada apa?”
“Ana baru pulang daripada mesyuarat. Pada bulan hadapan, satu kejohanan bola sepak tujuh sebelah akan diadakan di antara semua sekolah agama rakyat. Jadi, ana serahkan tanggungjawab ini kepada enta untuk membuat persiapan,” jelas guru besar.
Ustaz Syamil mengangguk. ”Insya-Allah.”
“Ini maklumat mengenainya.”
Guru besar menghulurkan sebuah fail nipis kepada Ustaz Syamil. Ustaz Syamil terus membukanya dan membelek kertas kerja berkaitan perkara tersebut. Dia membaca beberapa maklumat penting yang tertera.
“Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah … Tarikh: 1 Mei… Tempat: Stadium Dato’ Khairi Tajudin … Penyertaan diwajibkan. Huh!” Dengus Ustaz Syamil tatkala menatap perkataan ‘diwajibkan’ yang ditebalkan.
Guru besar mengangkat mukanya memandang Ustaz Syamil. “Ada apa-apa masalah?”
“Belum ada lagi. Cuma ana rasa kita mungkin mengalami kesulitan untuk melatih pemain. Sekolah kita tidak ada padang bola. Tiang gol pun tidak ada. Bagaimana hendak bermain?”
Ustaz Syamil melontarkan sedikit keluhan. Keadaan jadi senyap seketika. Guru besar kelihatan seperti sedang berfikir. Selepas beberapa minit, baru dia bersuara.
“Mengenai hal tersebut, ana serahkan kepada enta.”
“Tapi,”
Ustaz Syamil tidak sempat menghabiskan ayatnya kerana dipintas oleh guru besar.
“Sekarang ana ada mesyuarat dengan lembaga tadbir sekolah. Kita bincang lain kali. Assalamualaikum.”
Guru besar terus keluar daripada pejabat sambil menjinjing sebuah beg berwarna hitam.
“Waalaikumussalam.”
Salam dijawabnya dalam nada yang longlai. Fikiran Ustaz Syamil tertumpu kepada amanah yang baru diserahkan kepadanya sebentar tadi.
Padang bola tidak ada. Tiang gol pun tidak ada. Hendak berlatih di mana?
Sekolah agama rakyat seperti Sekolah Agama Tariqatul Iman ini bukannya kaya sangat untuk menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan dalam masa yang singkat. Hari kejohanan tinggal sebulan sahaja lagi. Tempoh itu terlalu singkat untuk melatih para pemain dengan sempurna. Lagipun Ustaz Syamil baru sahaja tiga bulan mengajar di sini. Dia belum mengenali selok-belok karenah guru-guru dan para pelajar di sini.
Dia buntu.