Suatu Masa Aku Seorang Rockers
Petang itu, aku merasai angin yang sepoi-sepoi bahasa di tepian Pantai Merdeka. Lautan itu sangat luas. Langit juga luas. Begitu jugalah aku mahu hati aku menjadi luas. Sedia menerima apa-apa sahaja perkara asalkan ia bermanfaat. Walaupun tahi kambing itu najis namun aku tetap mahu menerimanya, sekurang-kurangnya boleh dibuat baja pokok untuk mengeluarkan sayur yang sihat dan berkhasiat.
“Amy, jomlah lepak main gitar.” Aku mengingati semula zaman muda aku yang penuh dengan seronok-seronok. Aku dan rakan-rakan suka melepak di atas pangkin di bawah pokok sambil menemani seorang rakan kami menjual burger pada waktu petang sehingga awal pagi. Seringkali kami mengusik gadis-gadis ayu yang lalu lalang di jalan itu.
“Phewwitt! Phewwitt!” jerit seorang rakan aku, Syafiq.
“Hai cik adik, sudah kahwinkah belum? Jika belum, saya mahu jadi suamimu! Hah! Hah! Hah!” Aku mula mengayat dengan cara yang sangat ‘berbudi bahasa.’
“Amboi, sombongnya! Tapi, makin marah makin cantik pula! Hah! Hah! Hah!” Seorang rakan aku yang lain, Faris pula menyampuk.
Begitulah aku setiap hari. Menjadi kutu embun dan melalak sehingga ke tengah malam. Mendendangkan lagu-lagu rock kapak yang sangat sebati aku yang rockers ini.
“Bro, dengar cerita ada pertandingan kugiran di pekan sana hujung minggu ini. Tidak mahu join?” Bob yang sedari tadi asyik menjual burger entah bagaimana membuka topik tersebut.
“Biar betul, Bob! Dari mana kau tahu berita ini?” Aku bertanya.
“Aku terbaca iklan sewaktu keluar beli roti dan daging petang tadi.”
“Syafiq, Faris, apa pendapat kau berdua? Inilah masanya kita hendak cari modal berniaga. Bukankah kita bertiga bercadang hendak menternak ayam?”
“Ya, betul juga. Aku main bass, Syafiq main strumming, kau jadi vokalis.” Faris mencadangkan.
“Ya, aku setuju! Tapi, siapa yang akan main deram?”
Kami bertiga memandang Bob. Bob tersengih dan mengangkat keningnya.
***
KAMI tidak menyangka bahawa kami menjadi juara kugiran itu. Alangkah riangnya hati apabila dapat memegang wang beribu-ribu ringgit. Sesuatu yang tidak pernah kami pegang sebelum ini. Selepas ini, bolehlah kami jadikan modal untuk menternak ayam.
Rancangan kami untuk menternak ayam terbantut apabila sepucuk surat tiba di rumah aku beberapa hari selepas kami dinobatkan sebagai juara kugiran. Aku membacanya dengan penuh hati-hati sambil mengulum senyuman. Kemudian aku melompat-lompat kegembiraan dan menjerit,”Yahoooooo!”
“Kawan-kawan, kita ada tawaran hebat! Ada pihak yang mengundang kita untuk menjadi artis rakaman. Kita sudah boleh buat album sendiri, bro!” Aku memberitahu rakan-rakan aku yang lain di tempat lepak.
“Kau biar betul, Amy? Bak sini surat itu!” Syafiq meminta surat itu daripada aku. Setelah dia, Faris dan Bob membacanya, kami berempat menjerit keseronokan.
***
KAMI tidak menjangka kehadiran kami dalam industri muzik tanah air mendapat tempat di hati peminat muzik-muzik rock. Album kami yang pertama yang berjudul,’Sumpahan Kera Sumbang’ telah meletup-letup sehingga memecahkan monopoli kumpulan-kumpulan rock yang lain. Nama kumpulan kami,’Metallurgi’ menjadi bualan hangat di media massa dan lagu-lagu kami menjadi siulan anak-anak muda.
Aku semakin hanyut tatkala rambang mata menerima royalti yang pertama berjumlah tidak kurang daripada RM 20,000. Aku dan rakan-rakan mula memasang angan-angan yang tinggi untuk menerbitkan album yang seterusnya. Duit hasil usaha batil tersebut kami kirimkan buat ibu dan ayah di kampung. Walaupun kami kutu, kami hormat orang tua kami.
***
HIDUP tidak selalunya indah, langit tidak selalu cerah. Pada suatu malam, ketika aku berada di atas pentas dan mahu mula melalak di depan ribuan peminat, aku dibentangkan sesuatu. Untuk beberapa minit aku terkedu dan terkesima melihat bayangan seolah-olah berada di Padang Mahsyar. Walaupun bayangan itu hadir dalam beberapa saat, tetapi aku sangat takut tatkala itu. Aku mula terfikir petanda-petanda yang telah Allah tunjukkan kepada aku tadi.
Dengan langkah longlai, aku turun dari pentas dan duduk di atas kerusi di belakang pentas itu sambil termenung menghadap kaki. Aku menggeleng dan runsing memikirkan bayangan tadi. Para peminat sudah menjerit-jerit meminta kami memulakan persembahan dengan segera.
“Amy, apa masalah kau? Jomlah kita mula. Fan sudah mengamuk, bro!” Bob menghampiri aku di belakang pentas.
“Maaf Bob, aku tidak dapat meneruskannya.”
“Hey, bro! Kau jangan jadi gila! Mereka sudah bayar duit tiket. Takkan kita hendak batalkan saja saat-saat akhir. ‘Syaitan’ mana yang sudah rasuk kau, hah?”
“Ini bukan hasutan syaitan, Bob! Sebenarnya, kita sudah lama ditipu oleh syaitan!”
Aku bertengkar dengan Bob di belakang pentas. Faris dan Syafiq datang menyelesaikan pentengkaran itu. Semuanya reda. Aku berbicara kembali.
“Kita semua sudah tersasar jauh. Kita semakin sesat wahai kawan-kawan. Kita tidak sepatutnya menjebakkan diri ke kancah ini. Sudah lupakan kita pada pesan Tok Guru ketika kita belajar di pondok dulu?”
“Apalah yang kau sedang merepek, Amy? Sekarang, bukan masanya kita hendak kembali kepada cara hidup lama yang miskin di kampung. Dulu, kita tidak ada kerja, hidup merempat. Jadi kutu jalanan. Sekarang, setelah menempuh liku-liku, kau hendak kita balik ke pangkal jalan? Common bro!”
“Aku lebih rela balik kampung motong getah daripada terus menjadi agen perosak agama dan bangsa! Maafkan aku, aku terpaksa berpisah dengan kau orang semua. Kau orang carilah vokalis lain. Aku tidak mahu perjuangkan muzik sesat ini!”
***
AKU telah tinggalkan lumpur-lumpur noda dan dosa itu sekian lama. Di tepian pantai ini, aku tidak keseorangan.
“Abah!” Anak kecilku menjerit memanggil aku. Di sisinya ada isteriku yang memimpin tangannya. Inilah kehidupan baru aku. Aku tidak menyesal meninggalkan dunia nyanyian walaupun pendapatannya lumayan. Apa guna duit banyak jika hati tidak tenang? Apa guna harta banyak jika rezeki tidak halal?
“Sayang, jom kita balik. Malam ini, abah ada undangan berceramah.”
Aku masih sayangkan rakan-rakan aku yang lain. Aku masih berusaha untuk mendekati mereka. Aku yakin, mereka semua akan kembali ke pangkal jalan. Jika bukan hari ini, mungkin suatu hari nanti.
Cerita di atas adalah rekaan semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan insan yang hidup atau yang telah mati. Tribute to Ustaz Radzi Melissa, Ustaz Azmil Mustapha, Ustaz Akhil Hayy D’Ryadh, Saudara Bob Lokman, Saudara Sham Kamikaze, Zuar XPDC, Iwan, Amy Search dan semua artis-artis yang sudah kembali ke pangkal jalan serta terlibat dalam dakwah. Biarlah apa orang hendak kata, di hati kita hanya ALLAH yang tahu. Aku sokong usaha kalian.