Preview Bab 1: BUDAK “U”

Episod 1: Bermulanya Satu Perjalanan

Ketika itu, aku berada di dalam sebuah bas ekspres menuju ke Shah Alam. Aku mengambil tempat duduk di tepi tingkap supaya aku dapat melihat keindahan alam. Walaupun ketika itu sudah malam, aku tetap mahu melihat alam. Malam juga indah walaupun kelam. Ada hikmah mengapa Allah menciptakan malam kerana tidaklah Allah menciptakan sesuatu itu sia-sia.

Baru sebentar tadi aku membalas lambaian emak, ayah dan Zaqyah. Lambaian mereka adalah lambaian harapan. Harapan yang tinggi, setinggi Banjaran Himalaya malahan lebih tinggi daripada itu. Aku semakin jauh meninggalkan keluarga tersayang di kampung semata-mata untuk meneruskan perjuangan. Perjuangan untuk memperbaiki untung nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

“Nanti, bila abang tidak ada, Zaqyah tolong tengok-tengokkan ibu dan ayah, ya. Jangan nakal-nakal. Belajar rajin-rajin. Nanti boleh masuk universiti seperti abang.” Aku meninggalkan pesanan untuk satu-satunya adik perempuan kesayangan aku.

“Insya-Allah. Abang tolonglah doa-doakan Zaqyah berjaya dalam pelajaran. Zaqyah pun hendak masuk universiti juga,” balas Zaqyah.

“Insya-Allah. Orang yang berusaha, pasti Allah akan tolong,” jawab aku. kemudian, aku mencium tangan ibu dan ayah. Zaqyah pula mencium tangan aku.

“Nanti sudah sampai di sana, jangan lupa telefon kami,” Zaqyah berpesan. Aku tersenyum dan mengangguk.

Siang tadi, ada kenduri kesyukuran di rumah aku. Emak dan ayah sangat gembira apabila aku mendapat tawaran masuk ke universiti. Mereka telah menjemput semua orang kampung untuk membacakan surah Yasin dan doa. Mudah-mudahan aku berjaya mencapai matlamat. Aku menitiskan air mata terharu. Orang kampung yang datang ke rumah sangat ramai seolah-olah ada kenduri besar. Mereka mengucapkan tahniah dan memberikan kata-kata perangsang untuk aku. Di kampung aku, tidak banyak budak-budak yang berjaya masuk ke universiti. Banyaknya masuk ‘universiti bawah titi’ yang melahirkan ‘doktor’ tanpa tauliah.

Aku terdengar seorang jiran aku bergurau dengan emak, “Kenduri kesyukuran pun sudah ramai macam ini. Nanti kenduri kahwin tidak tahulah berapa ramai lagi.”

Aku tersenyum. Masih terlalu awal berbicara soal kahwin. Umurku baru hendak menjangkau dua dekad. Belum bersedia.

Aku terharu dan teruja. Aku terharu dengan harapan dan aku teruja dengan kehidupan baru yang bakal aku lalui selama tiga tahun. Tiga tahun itu adalah jangkaan sekiranya aku tidak terkandas di pertengahan jalan. Silap-silap hari bulan, belum sampai semester dua sudah kena ‘tendang’ keluar dari universiti. Aku bimbang.

Ada orang memberitahu aku bahawa universiti tidak sama dengan sekolah. Di sekolah, walaupun gagal setiap peperiksaan tetap juga dapat sijil berhenti sekolah. Di universiti, jangan haraplah. Gagal peperiksaan, amaran akan diberikan. Jika gagal lagi, bungkus pakaian. Aku mohon berlindung dengan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Aku mengelamun jauh membayangkan hari-hari aku sebagai seorang pelajar universiti. Mungkin nanti, aku akan berjumpa ramai kawan dari seluruh Malaysia. Mungkin juga aku akan berjumpa dengan manusia daripada pelbagai keturunan, bangsa dan agama. Mungkin juga aku akan bertemu jodoh di sini. Ah, apa yang aku sedang mengarut? Betulkan niat. Betulkan niat.

Aku bimbang satu perkara. Orang cakap, apabila masuk universiti nanti, kena belajar dalam bahasa Inggeris. Pensyarah akan bercakap dalam bahasa Inggeris dan para pelajar pun akan bertanya pensyarah dalam bahasa Inggeris. Kemudian, soalan peperiksaan dalam bahasa Inggeris dan tentulah jawapannya pun perlu dalam bahasa Inggeris. Aku tidak cekap berbahasa Inggeris. Mungkin aku akan menjadi seorang pelajar yang paling senyap di dalam kelas nanti. Ah, risaunya!

“Good morning everybody! My name is Hakimi Bin Hamidi. I come from Alor Setar. I have five siblings. My ambition is want to be an engineer … .”

Aku cuba menghafal beberapa ayat pengenalan diri yang biasa-biasa. Aku perlu menguasainya supaya aku dapat bertutur dengan lancar. Aku menjangka pada hari pertama kuliah nanti, mungkin pensyarah akan berkenalan dahulu dengan pelajar-pelajarnya. Sama juga seperti di sekolah. Jadi, aku perlu mengelak untuk gagap supaya rakan-rakan sekelas tidak memperkecil-kecilkan aku.

Bagaimana pula dengan imej aku nanti? Adakah aku akan mengekalkan imej kekampungan atau perlu berlagak seperti lelaki kontemporari? Bercakap seperti kebanyakan orang yang meletakkan huruf ‘e’ menggantikan huruf ‘a’ pada hujung perkataan.

“Name saye Hakimi. Saye suke main bole. Awak suke ape pule?” Aku bermonolog. Kemudian, aku tertawa sendirian.

Aku khuatir jika tersasul bercakap dalam dialek keutaraan yang pekat. Aku bimbang jika tertukar huruf ‘r’ menjadi ‘q’. Air menjadi ‘ayaq’. Belajar menjadi ‘belajaq’. Mungkin mereka akan mengejek-ejekku nanti. Mungkin tiada pelajar perempuan yang sudi menjadi teman wanita aku nanti. Nanti aku akan keseorangan, kebosanan dan kesepian. Sekali lagi aku merepek yang bukan-bukan. Astaghfirullahalazim. Betulkan niat. Betulkan niat.

Lagi satu yang aku risaukan ialah masalah untuk menyesuaikan diri di sana nanti. Aku tidak mahu menjadi ‘seperti ayam masuk pekan’ atau ‘rusa masuk kampung’ atau kedua-duanya sekali. Aku tiada saudara mara yang tinggal di sana. Kawan-kawan yang satu sekolah dengan aku juga tiada yang mendapat tawaran belajar di situ atau di institusi lain yang berhampiran. Aku risau. Kepada siapa bakal aku meminta pertolongan jika berlaku apa-apa hal kecemasan nanti. Jika berlaku apa-apa kepada aku nanti, kepada siapa pula pihak universiti akan rujuk sebagai saudara terdekat?

Apa perlu aku buat untuk menyelesaikan semua masalah yang telah aku senaraikan tadi? Sebenarnya ada banyak lagi kebarangkalian yang aku jangka. Walaubagaimanapun, aku mahu lupakan dahulu semua kebarangkalian itu. Lagipun perkara tersebut belum berlaku. Jadi, buat apa aku perlu risaukan mengenainya? Ya Allah ya Tuhanku, aku serahkan hidupku bulat-bulat kepada-Mu.

***

AKU tidak tahu bilakah aku terlelap. Sedar-sedar sahaja, aku terdengar pemandu bas menjerit, “Shah Alam! Shah Alam!”

Aku melihat ke luar tingkap. Ramai pemandu teksi sedang menunggu di sisi kereta mereka. Aku mengalihkan pandangan ke arah jam digital yang berada pada bahagian depan bas. Tertera nombor 5:45. Aku lihat pula penumpang-penumpang sedang berdiri dan beratur untuk turun dari bas. Cuma aku yang masih duduk. Biarlah mereka semua turun dahulu.

Setelah semuanya turun, barulah aku turun dari bas. Tidak sangka pula aku disambut mesra oleh pemandu-pemandu teksi dengan kata-kata aluan, “Adik, mahu pergi ke mana? Naik teksi, adik.”

Aku tersenyum dan menggeleng. Selepas mengambil beg besar beroda yang tersimpan di dalam perut bas, aku terus mencari surau terlebih dahulu supaya dapat aku mengerjakan solat Subuh. Para pemandu teksi terus mengekori dan mempelawa aku menggunakan khidmat mereka dan aku terus menunjukkan reaksi yang sama, tersenyum dan menggeleng.

Aku lihat ada beberapa orang lelaki sedang mengambil wuduk di suatu sudut stesen bas tersebut. Aku yakin di situlah terletaknya surau. Lantas, aku mengheret beg menuju ke surau. Lalu, aku mula berwuduk. Selesai berwuduk, aku menunggu giliran untuk bersolat kerana ruang solat di dalam surau itu agak sempit. Pada perkiraan aku, surau itu cuma muat untuk 10 orang pada satu-satu masa. Tambahan pula, orang ramai yang menggunakan surau itu suka bersolat secara berasingan. Mereka bersolat jauh-jauh antara satu sama lain. Jika mereka bersolat secara berjemaah, mungkin lebih ramai orang yang dapat menggunakan surau itu. Sebagai orang muda, aku bersabar menunggu giliran.

Tatkala aku lihat ruang hadapan surau itu mulai kosong, aku lantas masuk ke dalam surau. Beg, aku letakkan di bahagian hadapan. Jika letak di belakang, bahaya pula nanti. Bimbang kena curi. Di sebelahku pula berdiri seorang lelaki dewasa dan berkopiah putih. Aku menegurnya, “Pak cik, boleh jadi imam? Kita solat berjemaah. Saya iqamat.”

Lelaki dewasa itu menoleh ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Mungkin untuk mencari calon lain untuk menjadi imam. Apabila dia melihat orang lain pun menunjukkan isyarat memintanya menjadi imam, dia pun bergerak ke hadapan. Aku terus iqamat dan bersolat di belakang imam.

Selesai solat dan membaca sedikit doa, aku segera keluar dari surau. Jika diikutkan hati, mahu sahaja aku terus duduk di dalam surau itu sehingga matahari terbit. Namun, aku lihat ramai lagi orang yang menunggu giliran untuk masuk bersolat di dalam surau yang sempit itu.

Disebabkan perut aku agak lapar, aku mencari kedai makan yang berhampiran supaya dapat membeli sedikit makanan. Rezeki belum sampai. Semua gerai-gerai yang terdapat di stesen bas itu belum dibuka.

Aku mencari tempat duduk pula. Aku lihat ramai anak-anak muda mengheret beg roda yang besar sepertiku. Mungkin mereka juga akan mendaftar sebagai pelajar universiti pada pagi ini, fikirku. Tempat duduk di stesen bas itu agak penuh. Aku terpaksa berdiri.

Mataku meliar lagi mencari tempat duduk. Aku sudah tidak larat berdiri. Mataku tertumpu pada seorang lelaki berbadan agak gempal. Di sisinya ada beg besar yang diletakkan di atas tempat duduk. Aku memberanikan diri untuk menyapanya, “Assalamualaikum, boleh saya duduk di sini?”

“Waalaikumussalam. Oh, boleh, boleh,” katanya sambil mengalihkan begnya dari tempat duduk itu.

“Terima kasih,” ucapku.

Sejurus melabuhkan punggung, aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya, “Saya Hakimi.”

“Ali,” jawabnya sambil membalas huluran tanganku.

“Tunggu siapa?” Soalku.

“Tunggu bapa saudara datang ambil,” jawab Ali.

“Oh!” Balasku.

“Awak tunggu siapa?” Ali pula menyoalku.

“Emm … sebenarnya saya hendak pergi mendaftar di UiTM pagi ini. Tapi, saya tidak tahu hendak ke sana. Hendak naik teksi seorang diri bimbang nanti kena ‘kapak’ pula. Maklumlah, ini kali pertama saya datang ke sini. Jadi, saya tunggu hari cerah dululah. Baru saya pergi ke sana. Pergi awal-awal pun hendak duduk di mana.” Aku menjawab panjang lebar.

Ali tersenyum dan mengangguk. Kemudian, dia berkata, “Saya pun hendak ke sana juga untuk mendaftar pagi ini. Awak ambil kursus apa?”

Aku membuka beg lantas mengeluarkan surat tawaran universiti. Aku menunjukkannya kepada Ali. Ali membacanya, “Kejuruteraan Mekanikal. Wow! Tahniah.”

“Awak pula dapat kursus apa?” Aku bertanya Ali.

“HotCat!” Jawabnya ringkas.

Aku yang tidak faham maksud HotCat bertanya kepadanya, “Kucing panas? Kursus apa itu. Belum pernah saya dengar.”

Ali ketawa kecil lalu menjelaskan kepadaku, “HotCat itu panggilan untuk kursus Hotel dan Katering.”

“Oh … barulah saya tahu,” kataku.

Kami berbual lagi dan saling berkenal-kenalan sementara menunggu kedatangan bapa saudaranya. Aku pula menunggu langit cerah. Mujurlah Ali agak peramah. Boleh juga diajak berbual.

Beberapa minit kemudian, Ali mengeluarkan telefon bimbit daripada poket bajunya. Ada panggilan masuk. Dia menjawab panggilan itu. Mungkin dia sedang bercakap dengan bapa saudaranya.

“Okey, Hakimi. Bapa saudara saya sudah sampai. Saya pergi dulu, ya. Kita jumpa di kampus. Assalamualaikum.” Ali meminta diri.

“Okey, jumpa lagi,” jawabku.

Kemudian, aku bangun dan tercari-cari telefon awam. Aku mahu menghubungi keluarga aku di kampung untuk memberitahu mereka bahawa aku sudah selamat sampai di Shah Alam.

Aku mengeluarkan duit syiling dan memasukkannya ke dalam telefon awam. Lantas, aku mendail nombor telefon rumah. Secepat kilat, deringan telefon itu segera diangkat. Aku terdengar suara Zaqyah di hujung gagang menjawap salam.

“Beritahu ibu dan ayah, abang sudah sampai di Shah Alam. Kirim salam kepada mereka. Assalamualaikum.” Aku bercakap cepat-cepat. Pendek sahaja pesanan aku. Maklumlah, duit syiling sudah kehabisan. Cukup-cukup untuk mengungkapkan sebaris ayat itu.

Sebelum ini, aku memiliki sebuah telefon bimbit. Entah bagaimana, hari itu telefon bimbit aku telah hilang. Semenjak hari itu, aku tidak lagi menggunakan telefon bimbit. Nantilah, setelah ada duit aku akan beli lain. Hidup di universiti nanti, kena pakai telefon bimbit. Mudah untuk berurusan.

Aku masih termangu di stesen bas itu. Tidak tahu apa yang hendak dibuat. Langit pun semakin cerah. Aku belum mandi. Adakah aku akan pergi mendaftar sebegini?


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

1 Response

  1. AnNiSa... says:

    preview bab 2 la plak,huhu..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge