MENGAPA AKU TAK PAKAI KOPIAH?

KOPIAH

 

“Dulu aku tengok hang rajin pakai serban, kopiah, jubah … tapi, la ni dok pakai t-shirt ja ni. Apa kes?” tanya Azlee.

“Panjang ceritanya baq hang,” jawab Isman. “Ada beberapa sebab. Pertama … ”

***

Suatu hari, Isman menggunakan jalan bertol. Ketika membayar duit, Isman menghulurkan wang yang besar kepada jurutol. Sambil menunggu bakinya, Isman berbual-bual dengan isterinya. Tangannya dihulur keluar tapi mukanya dihala ke dalam.

Mungkin sebab tidak perasan jurutol itu sedang menghulurkan baki, maka kelihatan Isman seakan-akan sombong kerana hanya menghulurkan tangan sedangkan mukanya tidak melihat wajah jurutol itu.

“Amboi, belagak sangat aih! Harap kepala ja pakai kopiah,” kata jurutol.

Isman tersentap.

***

“Pasal tu ja?”

“Kalau takat dia nak marah kat aku, aku boleh consider lagi. Tapi, dia kait dengan kopiah ni … .”

“Takkan sebab tu ja, hang dah takmau pakai kopiah?”

“Aku rasa tak layak. Lebih baik aku tak pakai daripada aku pakai, tapi jadi asbab orang lain label buruk kat orang pakai kopiah.”

“Mulut orang takleh tutup. Biasalah.”

“Ada satu sebab lagi.”

***

Satu hari, Isman pakai serban dan jubah pi masjid. Hari itu, imam tak ada waktu Maghrib. Lalu, orang kampung menyuruhnya menjadi imam. Walaupun agak segan, namun Isman gagahi juga. Akibatnya, bacaannya dalam solat jadi berterabur.

Seketika kemudian, datang seorang ustaz dan bersolat di belakang. Ustaz itu kemudian memberi kuliah. Teruk Isman kena hentam.

“Pakai serban, jubah meleret kalah Tok Arab, tapi baca Fatihah pun tak betul!”

***khairytajudin.com***

“Malu aku, Lee. Sejak hari tu, aku dah tak berani pakai camtu. Dan tak berani jadi imam. Aku pakai t-shirt ja supaya depa tak fikir aku ni ustaz.”

“Tapi, ini sunnah Nabi, Man.”

“Ya, betul. Tapi, aku taknak jadi asbab fitnah pada orang yang berjubah dan berserban. Biar orang kutuk aku dalam keadaan aku tak pakai pakaian sunnah, takpa. Tapi, aku tak rela orang kaitkan kelemahan aku dengan sunnah Nabi.”

***khairytajudin. com***

Isman menyelak halaman akhbar. Isu DNA babi dalam coklat tengah panas.

“Konpiusla aku. Sekejap haram, sekejap halal,” kata Isman.

“Aku bab-bab syubhah ni, aku tinggai teruih. Walaupun Jakim kata halal, tapi aku dah rasa waswas. Kalau waswas, baik tinggai,” balas Azlee.

“Tu la pasai. Dr. Yusuf al Qardawi pulak kata gelatin babi ni halai. Ada la hujah-hujah dia.”

“Hang takyah ikut fatwa tu. Wahabi tu!”

“Ish, hang ni. Mudah sangat cop Wahabi kat ulama.”

“Depa ni mana pakai mazhab. Kuar fatwa ikut suka depa ja.”

“Tapi, hang dah baca ka fatwa dan hukum dalam mazhab Syafii?”

“Tak baca pun boleh tau la. Babi ni haram mutlak. Tukar bentuk jadi apa pun, tetap haram. Kalau depa kata gelatin babi halai sebab dah berubah zat, abih tu kalau babi buat burger, kira halal la? Dan berubah bentuk dan zat … ”

“Aku ni jahil, tak tau sangat bab-bab hukum ni. So, lebih baik aku diam ja. Nanti aku pi tanya Tok Guru dulu. Kadang-kadang kita ni, dah la takda ilmu, pandai-pandai lak nak hukum ulama ni sesat, ulama tu sesat. Ni bukan bidang kita.”

“Benda syubhah. Tinggalkan ja.”

Azlee mengeluarkan sekotak rokok lalu menyalakannya. Kemudian dihisap dan menghembuskan asapnya ke udara.

Di sebelah meja mereka terdapat seorang pelajar sekolah perempuan bersama ibu dan bapanya, sedang minum. Asap itu terhidu oleh si remaja tersebut, lalu dia menutup hidungnya.

“Ayah, tak berdosa ke isap rokok? ‘Ustad’ kat sebelah ni selamba ja isap. Takkan dia taktau hukum kot?” soal gadis itu. “Tadi bukan main dok sembang pasal syubhah la … babi la … .”

“Entah la. Payah nak habaq. Pakaian tu elok dah, tapi tabiat buruk tu … erm. Ntahla, mungkin rokok takda syubhah. Kena letak DNA babi dalam tu baru dia tinggai,” jawab ayahnya.

“Jomlah pindah dok kat meja lain. Tak tahan la bau rokok ni,” rungut si ibu, lalu mereka berpindah ke meja lain.

Azlee terasa. Dia memandang Isman. Isman tersenyum sambil berkata, “Dan, ini sebab yang ketiga … .”

***

Seketika kemudian, Azroy datang dan duduk bersama-sama Azlee dan Isman. Dia kelihatan segak dengan pakaian sunnah. Jubahnya kemas, janggutnya rapi, serbannya cantik.

“Sebenarnya, Isman … Azlee … syaitan ni selalu membisikkan keraguan dan ketakutan dalam hati manusia. Syaitan juga selalu menipu kita.”

“Camna tu, Azroy? Habaq mai sat,” kata Isman.

“Syaitan selalu menipu kita. Pertama, apabila kita mula berjinak-jinak dengan sesuatu amalan yang baik, maka hati kita akan dicucuk dengan rasa riak, menunjuk-nunjuk dan risau dengan pandangan orang.”

“Sebab tulah, aku tak suka sangat dressing nampak macam ustad,” celah Isman.

“Camni. Memang akan berlaku rasa riak atau sebagainya. Tapi, kalau kita terus beristiqamah, rasa tu akan hilang dan ikhlas akan datang. Pada waktu tu, kita dah tak kisah dah apa orang nak kata pada kita. Sebab kita buat kerana Allah, bukan untuk perhatian manusia. Jika kita masih endah dengan anggapan manusia, itu tandanya hati kita ni masih belum ikhlas.”

“Alamak … ”

“Ha .. kan aku dah kata. Sunnah nabi ni kita kena ikut. Kalau mengaku umat Nabi, kenalah cinta dan suka dengan cara Nabi, pakaian Nabi, dan paling penting … kerja Nabi.” Azlee menambah.

“Tapi, Azlee,” kata Azroy. “Kita kena adil dan tidak ‘bias’ terhadap sunnah. Jangan hanya kita ikut pada zahir saja, tapi pada akhlak kita tinggai … ”

“Ye. Tapi, takleh buat semua, jangan tinggai semua. Takkan nak tunggu tinggai semua dosa baru nak pakai cara Nabi,” celah Azlee.

“Ya, betoi,” kata Azroy. “Tapi, kita kena utamakan yang wajib dulu. Wajib di sini adalah meninggalkan maksiat. Itu lebih utama.”

“Ha, kan aku dah cakap. Sebab aku ni masih selalu buat dosalah, aku tak berani pakai sunnah,” sampuk Isman.

“Bukan camtu, Man. Jangan jadikan itu sebagai alasan. Walau kita tak pakai macam ustad pun, dosa tetap kena tinggai. Ilmu kena tuntut. Akhlak kena perbaik. Jangan pula kita anggap, ‘Oh … aku pakai macam Yahudi, so bolehlah buat apa saja. Orang bukan tau aku ni Islam’.

“Tapi, aku seganlah … nanti jadi fitnah.”

“Itu anggapan kita ja. Kalau kita ikhlas, kita akan anggap pemakaian sunnah ni sekurang-kurangnya akan dapat cegah kita daripada buat dosa. Kalau orang masih pandang serong, sabar jelah. Sabar tu pun pahala. Tapi, jangan pula sengaja buat dosa pastu buat muka ketat.”

“Betoi, betoi. Aku pun rasa dah nak stop smoking ni,” kata Azlee.

“Hang isap la sorok-sorok sikit. Berenti slow-slow,” kata Isman.

“Hangpa semua dah besaq panjang. Pandai-pandailah pikiaq. Jangan jadi PANDA, sudahlah.”

KOPIAH2

 

MORAL

1. Berpegang teguh untuk amal sunnah itu satu tuntutan dan berusaha untuk meninggalkan keburukan itu juga satu tuntutan. Malah, lebih penting.

2. Jangan terus berhenti melakukan kebaikan, bahkan usahakan juga untuk meninggalkan keburukan.

3. Orang yang melihat keburukan yang dilakukan oleh seseorang yang sedang belajar mengamalkan sunnah, perlu bersangka baik bahawa tiada manusia yang bebas dosa kecuali Nabi. Kadangkala syaitan suka menampakkan keburukan musuh-musuh syaitan di pandangan mata manusia.

4. Jangan jadikan batu loncatan, “Oh, aku tak pakai kopiah, so bolehlah buat apa saja.”

5. Perkara yang baik, teruskan. Perkara yang buruk, tinggalkan.

6. Jangan rasa diri sudah mulia dan menganggap orang lain hina. Hina & mulianya kita, lihat di alam kubur.

Nukilan,
Khairy Tajudin Novelis
khairytajudin. com
Instagram: khairy_tajudin

Siapa nak share, silakan.

Cerpen ini terkandung dalam buku “TOUCH-KILL”. Hubungi 019-4702839 jika berkenan.

Touch-Kill Cover-01

RM 17

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

1 Response

  1. Shafiq says:

    Terbaik.. Article yg buat aku lagi berani nak ikut sunnah nabi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge