Habib Umar: “Kemenangan Tidak Akan Datang Dengan Jalan Maksiat”

Artikel ini merupakan sambungan daripada ceramah al-Habib Umar daripada posting sebelum ini. Ayuh kita fikir-fikirkan apa yang beliau cuba sampaikan.
1.            Tugas (mendidik) yang Allah limpahkan kepada kita, kita tidak bersungguh-sungguh melakukannya. Kita inginkan perubahan tetapi tidak mahu mengubah (memperbaiki) jiwa kita. Sementara Allah, bukan seperti ini menetapkan aturannya di alam semesta ini. Aturan Allah ialah: perubahan akan terjadi apabila ada usaha untuk memperbaiki hati. Sebab itulah, biarpun jerih payah dilakukan oleh umat ini, tidak menghasilkan solusi kerana mereka tidak masuk melalui pintu yang Allah bukakan untuk mereka.
2.             Kita dapati lembaga-lembaga pendidikan sepanjang sejarah sangat memberi perhatian kepada karya-karya Imam al-Ghazali, Imam Sya’rani, Imam Alwi al-Haddad dan lain-lain. Dengan adanya kitab-kitab itu diajarkan di pesantren atau pondok (termasuk madrasah), maka pembentukan jiwa semakin berkesan dan menyediakan mereka yang boleh membina hubungan yang kuat dengan Allah. Bahkan mempersiapkan mereka untuk masuk ke dalam alam maha suci bersama-sama kaum muqarrabin. Hal inilah yang kemudiannya membuahkan pengaruh kuat dalam realiti kehidupan masyarakat. Hingga akhirnya para aktivis politik, ekonomi dan bisnes menghormati mereka. Mereka mempunyai pengaruh besar terhadap kesemuanya. Dan pengaruh mereka ini tidak lain adalah sunnatullah yang telah ditetapkan oleh Allah.
3.            Kerana itulah kita harus kembali kepada tugas yang diamanahkan kepada kita. Dan juga mengembalikan tugas tarbiyah dan pembinaan jiwa yang memadai di sekolah-sekolah secara keseluruhan. Tidak terbatas pada simbol, istilah atau sekadar membaca teori dengan hubungan hati kita yang kuat kepada ahli tazkiah dan tarbiyah yang mengalir daripada mereka kepada kita dan daripada kita kepada para pelajar kita.
4.             Allah berfirman, “Sesungguhnya orang mukmin, jika disebut nama Allah maka getarlah hatinya. Jika diperdengarkan ayat kami, bertambah imannya dan hanya kepada Allah mereka berserah diri. Mereke mendirikan solat, menunaikan zakat dan menginfakkan harta daripada apa yang Kami berikan kepada mereka. Merekalah orang Mukmin yang sejati.”
5.             Berapa ramai orang yang hidup di sekeliling kita (sama ada di sekolah atau di rumah), tidak terlintas di hati mereka takut kepada Allah bahkan rasa tersebut tidak muncul ketika berzikir atau membaca al-Quran. Mereka membaca al-Quran tanpa adanya peningkatan iman. Itulah situasi yang terjadi sekarang ini. Apa yang sebenarnya telah terjadi kepada kita? Sesungguhnya kita telah mengabaikan tugas yang Allah berikan kepada kita.
6.             Pertanyaan, siapakah yang bertanggungjawab untuk mengembalikan sifat-sifat agung tersebut kepada umat Islam? “Jika disebut nama Allah, gementar hatinya, jika diperdengarkan ayat Kami, bertambah imannya dan hanya kepada Allah mereka berserah diri.”
7.             Zaman sekarang, sebahagian orang apabila disampaikan kepadanya tentang Allah dan kekuatan-Nya, dia menjawab, “Ya, benar! Tapi sekarang abaikan dulu hal itu kerana sekarang kita hidup di zaman teknologi dan persenjataan canggih.” Seolah-olah, ada kekuatan selain Allah yang mampu mengungguli kekuatan Allah. Sudah pupus nilai kebergantungan kepada Allah! Seolah-olah sudah lenyap ayat, “Hanya kepada Allah kita berserah.”
8.             Kita berbeza dengan orang terdahulu yang berprinsip, ‘Kami berjuang bukan berdasarkan jumlah pasukan mahupun senjata. Yang kami dasarkan hanya agama Allah! Hanya Agama Allah!
9.             Amirul Mukminin Sayidina Umar r.a. pernah menulis surat perintah untuk pasukannya, “Sesungguhnya kalian mendapat kemenangan dan musuh-musuh kalian dapat dikalahkan tidak lain hanyalah kerana ketaatan kalian kepada Allah dan maksiat mereka kepada Allah. Jika kalian berbuat maksiat kepada Allah, maka kalian sama dengan mereka. Dan yang akan menang adalah mereka yang mempunyai kekuatan material. Namun jika kalian patuh kepada perintah Allah dan mereka melakukan maksiat, maka kelompok yang taatlah yang akan beroleh kemenangan.” Inilah sunnatullah yang Allah tetapkan dalam kehidupan. Ia ada kaitan dengan usaha menyelamatkan umat Islam dan menyampaikan cahaya kepada mereka dan usaha untuk menghadapi tipu daya musuh.
10.         Allah memerintahkan kita untuk menegakkan nilai solidariti ukhwah dan saling bahu-membahu di antara kaum Mukmin secara umum dan dengan tokohnya secara khusus. Saling berbesar hati antara satu sama lain. Kemampuan untuk memahami bahawa empat mazhab fikah dan fahaman Asyaariyah dan Maturidiyah yang merupakan kelompok terbesar umat Islam ialah satu kesatuan. Meskipun begitu, kelompok umat Islam yang lain yang turut sama mengucapkan dua kalimah syahadah namun bertentangan dengan mazhab-mazhab ini, tidak diragukan lagi bahawa mereka adalah KELOMPOK YANG SESAT. Namun begitu, mereka juga harus dilayani secara professional sesuai tuntutan sunnah dengan mencegah agar jangan sampai kesesatan mereka masuk ke hati dan akal masyarakat. Tentunya melalui penjelasan yang lebih baik. Tidak perlu menyelesaikannya dengan saling bergeseran dan melakukan kekerasan sehingga kita membuang tenaga kita padahal ianya tidak perlu.
11.         Kebesaran hati para tokoh ulama dan pengikutnya terhadap mereka yang berselisih pendapat tetapi masih dalam kelompok Ahlus Sunnah Wal Jamaah merupakan satu hal yang kadangkala berat bagi jiwa seseorang. Namun begitu, berpeganglah kepada prinsip mengabaikan perselisihan kerana ketika hawa nafsu berperanan dan muncul perselisihan maka akan lenyap peluang kemenangan daripada Allah. Firman Allah, “Jangan kalian berselisih, nescaya kalian akan mengalami kegagalan dan akan lenyap peluang kemenangan.”
12.         Pertolongan Allah selalu bersama-sama mereka yang bersatu-padu. Kita mengetahui bahawa Para Sahabat berbeza pendapat dalam masalah furuq. Ia menurut pandangan mereka dalam memahami sabda Rasulullah SAW tetapi Nabi SAW mengakui semua pendapat mereka. Hati mereka pun saling mencintai, menyayangi dan bersatu padu. Tiada siapa antara mereka yang menganggap sesat dan menyalahkan yang lainnya atau sehingga lancang mengkafirkan saudaranya. Ini semuanya jelas dan nyata dalam kehidupan Para Sahabat, Tabiin dan imam-imam kita.
13.         Realiti ini ada dalam biografi Imam Abu Hanifah. Beliau merupakan anak murid kepada Imam Jaafar bin as-Sodiq. Realiti ini juga berlaku dalam biografi Imam Malik. Beliau ialah murid kepada Nafi’ r.a., maula Ibnu Umar r.huma. Juga dalam biografi Imam Syafii yang merupakan anak murid kepada Imam Malik. Seterusnya dalam biografi Imam Ahmad bin Hanbal,  beliau murid Imam Syafii. Mereka berbeza dalam ijtihad masing-masing tapi tiada seorang pun antara mereka yang menggugurkan penghormatan terhadap orang lain. Sebaliknya, mereka saling menghargai antara mereka. Mengakui kemuliaan dan kelebihan masing-masing. Masing-masing antara mereka menumpukan hubungan mereka kepada Allah dan menyampaikan amanah kepada hamba-hamba Allah.
14.         Disebabkan itulah kita perlu kembali meluruskan nilai ukhwah dan saling bekerjasama. Kita mengetahui bahawa ASWJ adalah kelompok majoriti namun kerjasama yang terjalin amat minimum. Ada kelompok kecil yang lain mampu bekerjasama dan mereka tampil membawa pengaruh yang besar kepada umat. Sehinggakan sebahagian umat Islam mengira bahawa di beberapa tempat sudah tidak ada lagi ASWJ kecuali sedikit sahaja. Seluruh penjuru bumi seolah-olah bertukar dan bukan lagi ASWJ padahal ini tidak benar. Mereka menjadi berpengaruh dan menenggelamkan ASWJ sehingga mempengaruhi ramai orang.
Fikir-fikirkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge