Pesanan Maulana Zakariya dalam Menghadapi Kepelbagaian Fikrah
Mungkin sebelum ini para pembaca telah membaca artikel dan luahan pendapat saya mengenai masalah pemimpin dan bagaimana untuk menanganinya. Apa-apa yang saya tulis itu, secara rendah dirinya saya nyatakan lahir daripada apa yang saya faham dan yakin. Itu tidak bermakna saya memperlekeh-lekehkan usaha lain selain cara dakwah. Harap para pembaca tidak tersalah faham dan melemparkan tuduhan yang tidak sepatutnya. Selagi apa yang tuan-tuan dan puan-puan buat itu selari dengan al-Quran dan al-Hadis serta mempunyai niat yang ikhlas hanya semata-mata untuk meninggikan kalimah Allah, saya sokong.
Meskipun begitu, saya tidak sokong jika anda melampaui batas dan memperlekeh-lekehkan usaha dakwah. Walaupun usaha dakwah tidak se-gah di mata anda, namun usaha dakwah itulah yang memberikan kesan yang berpanjangan kepada saya. Dan saya tidak berganjak daripada usaha ini. Semoga Allah kekalkan saya dan anda semua di jalan yang benar.
Di sini, saya muatkan pesanan daripada seorang ulama yang telah banyak berjasa kepada agama dan merupakan seorang tokoh yang saya kagumi. Baca betul-betul apa yang beliau tulis dalam buku beliau:
Sangat menghairankan, tatkala Allah dan Rasul-Nya telah menunjukkan jalan dan asbab-asbab untuk kejayaan dan kemajuan serta kelebihan umat Muhammad SAW, umat ini sendiri menyempitkan pintu rahmat (dengan menyerang antara satu sama lain).
Menjadi satu kesilapan umum kita pada hari ini, bahawa mereka yang terbabit dengan lain-lain kegiatan dan usaha agama (sama ada mengajar ilmu atau belajar, dakwah, jihad atau suluk) menganggap usaha yang lain sebagai sia-sia dan membuang masa. Kadangkala, mereka tidak ragu-ragu lagi menuduh orang lain ‘sesat’. Secara tidak langsung, mereka telah membataskan usaha yang berbagai-bagai untuk kemajuan Islam hanya dalam batas-batas kegiatan mereka sahaja. Seolah-olah mereka telah mengenepikan usaha-usaha agama yang lain daripada lingkungan Islam.
Sabda Rasulullah SAW, “Agama Islam itu mudah. Barangsiapa yang memayah-mayahkannya maka dia akan tewas. Maka, jalanlah lurus-lurus, ikutilah ia rapat-rapat dan berilah berita gembira kepada orang ramai (atas amalan baik mereka).” (HR Bukhari)
Baginda turut bersabda, “Permudahkanlah, jangan sukarkannya. Berilah berita gembira (untuk memujuk mereka kepada agama) dan janganlah menimbulkan kebencian mereka kepada agama.” (Durre Manthur)
Pengarang kitab ‘Bahjatul Nufus’ mengisahkan, suatu hari Sayidina Abu Bakar r.a. bertanya Rasulullah SAW, “Dengan apakah tuan dihantar kepada manusia?”
Baginda menjawab, “Dengan akal.”
Huraian Maulana Zakariya, “Ini menggambarkan bahawa hukum syariat hendaklah dituruti juga dengan akal.”
Kemudian, Sayidina Abu Bakar r.a. bertanya lagi, “Siapakah yang akan memberi jaminan (akan ketepatan) akal (kerana manusia berbeza-beza menurut akal dan daya fahaman)?”
Jawab Baginda, “Akal tiada batasnya. Namun, sesiapa yang menganggap bahawa apa yang halal di sisi Allah sebagai halal dan apa yang diharamkan di sisi Allah sebagai haram, maka dialah orang yang berakal. Jika dia mencuba lebih lagi, dia akan menjadi abid. Jika dia mencuba lebih lagi, dia akan menjadi jawad (berani dan pemurah).”
Maksudnya, jika seseorang berusaha gigih dalam ibadah dan amalan baik yang lain tetapi tidak waras untuk mengambil yang halal dan mengelak yang haram, maka usahanya sia-sia walaupun mereka fikir mereka melakukan kebaikan. Hendaklah difahamkan betul-betul bahawa mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah menunjukkan seseorang itu tidak berakal di sisi agama.
(Sumber rujukan: Maulana Zakariya al-Kandahlawi – Memperkenalkan Siasah Islam)
Di sini juga dimuatkan bayan daripada Maulana Saad al-Kandahlawi:
Kita harus faham semua aspek kerja ini. Satu lagi kualiti istimewa yang boleh didapati dalam kerja-kerja ini adalah jemaah iaitu untuk mengumpulkan semua kerja agama di dunia, semua kepelbagaian ranting dapat disatukan. Ini adalah suatu yang terhebat dan paling penting dalam menentukan kualiti kerja ini. Kami tiada bantahan apa-apa kepada mana-mana kerja agama yang sedang berlaku di dunia. Kami sangat berhati-hati dalam pertuturan dan ucapan-ucapan kami.
Saudara-saudara yang dihormati!
Kami benar-benar tiada apa-apa pun hak untuk memfitnah, memperkecilkan, membuang dan menyiasat apa-apa aspek kekurangan dalam usaha agama yang lain sama ada dalam ucapan atau tindakan. Ini adalah perkara yang akan membawa perpecahan dalam umat. Kami di sini untuk bekerjasama, bekerja dengan orang lain dan berusaha bersama-sama.
Kita perlu memahami bahawa taklim (atau tadrees, untuk mendidik), tabligh, tasawwuf, semua ini ialah kerja-kerja Nubuwwah (kenabian). Hanya orang bodoh saja yang akan mempertimbangkan satu aspek Nubuwwah dan mencipta konflik kepada aspek lain dalam kerja-kerja kenabian. Pada pendapat saya, saya tidak melihat kesilapan yang lebih bodoh daripada ini (ia adalah ketinggian kejahilan).
Bayan oleh: Maulana Muhammad Saad al-Kandahlawi
Direkodkan oleh: Maulana Ahmed Khatani, Durban.
Apa yang kita perolehi daripada nasihat-nasihat para ulama di atas ialah: Kita perlu berlapang dada untuk menghadapi kepelbagaian fikrah selagi fikrah itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Saya bersangka baik terhadap mana-mana fikrah yang berusaha dengan ikhlas asalkan tujuannya jelas hanya semata-mata kerana Allah, tidak melampaui batas perbezaan pendapat atau menegur kesalahan, tidak memfitnah atau mengumpat saudara seagama sewenang-wenangnya dan BUKAN UNTUK MENARIK MANUSIA KEPADA DIRINYA.
Semoga Allah memelihara kita daripada tipu daya iblis yang sangat halus: PERPECAHAN UMAT.
“Hati harus seluas lautan, jangan kecil seperti kuman:-)”

Saya juga kebelakangan ini fikir dan risau isu kepelbagaian jamaah Islam ini yg nampaknya masing2 gah dan teruja dgn jamaah masing2 sampai ke tahap melekehkan jamaah yg lain. Di mana titik pertemuannya? Di mana titik persamaannya? Itu rasanya yg boleh menyatukan kembali kepelbagaian ini. Bukankah kita semua ini mencari Redha Allah? Kalau selain daripada itu rasanya sia2lah kita.
Memang benar apa yang saudara katakan dalam post saudara.<br />Cumanya, kerana sebahagian daripada ahli jemaah, mana2 jemaah sekalipun, yang kurang ilmu, cuba untuk memberi pandangan dan tuduhan yang agak melampau terhadap jemaah lain. Sedangkan para pemimpin jemaah sentiasa bersikap terbuka.<br />Yang menyedihkannya, ada juga yang mengatakan bahawa perjuangan jemaah lain itu haram kerana