Episod 8 – Back To School (Menjelang SPM)

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menjelang membuatkan aku resah dan gelisah. Keputusan peperiksaan percubaan yang lalu tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa aku mungkin lulus dalam SPM nanti. Aku terbayang-bayang harapan emak dan ayah di kampung.

“Apa aku hendak buat sekarang ni? SPM tinggal tiga bulan sahaja lagi,” rintih hati kecilku.

Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan merupakan tiga mata pelajaran yang membuatkan aku sangat gelisah. Aku tidak pernah lulus dalam ketiga-tiga mata pelajaran itu dan aku sentiasa tercari-cari jalan keluar daripada permasalahan tersebut.

Mulai saat itu, aku mula menjadi ulat buku. Ketika kelas persediaan petang dan malam, aku menghabiskan masa dengan sahabat-sahabatku untuk menelaah pelajaran. Di samping membelek semula nota-nota yang telah disalin, aku juga cuba menjawab soalan-soalan di dalam buku latihan. Mana-mana soalan yang aku tidak faham, aku akan meminta rakan-rakanku mengajarkannya. Mujurlah mereka sedia membantu.

“Faizal, boleh tolong aku buat soalan ni? Aku tak faham betullah,” aku meminta tolong Faizal sambil menunjukkan kertas soalan peperiksaan yang lepas.

“Mudah saja ni,” jawab Faizal sambil menunjukkan jalan kira di atas sekeping kertas.
Faizal terus menerangkan setiap langkah penyelesaian bagi soalan itu sehingga aku faham.

“Kalau kita nak skor subjek ni, mula-mula kita kena faham setiap konsep dan rumus,” nasihat Faizal kepadaku. “Cuba buat sekali lagi apa yang aku ajar tadi,” Faizal meminta aku membuat semula jalan kira untuk soalan tadi.

“Alhamdulillah, dah faham sedikit,” kataku setelah aku berjaya menjawab soalan tadi.

“Sekarang cuba kau buat soalan yang ini pula. Soalan ini sama juga macam tadi tapi telah diubah suai,” Faizal memberikan aku soalan yang baru. Aku cuba menyelesaikannya mengikut kaedah yang telah diajar olehnya.

“Alhamdulillah,” ucapku perlahan.

“Thanks, brother!” Aku berterima kasih kepadanya kerana telah menolongku.

Dari hari ke hari, aku terus menggandakan usaha belajar bersama rakan-rakan sehingga lewat malam. Sekiranya aku mengantuk, aku akan tidur dahulu dan bangun semula di tengah-tengah malam. Kebiasaan ini menjadi amalan rutin para pelajar menjelang saat-saat akhir peperiksaan.

Walaupun begitu, sebagai Muslim aku sedar bahawa kejayaan seseorang pelajar tidak terletak pada usaha zahiriah semata-mata. Solat hajat serta doa yang berterusan juga menjadi asbab kepada pencapaian seseorang dan amalan tersebut sangat disukai oleh Allah.

Aku sentiasa ingat firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud, “ Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan (doa itu).”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge