Episod 9 – Out From School
Aku meninggalkan zaman persekolahan yang banyak mengajarku mengenal dunia dengan berat hati. Aku agak sedih berpisah dengan rakan-rakan yang banyak mencorakkan kehidupan seharianku di asrama dengan penuh warna-warni. Sebelum melangkah keluar dari pagar sekolah, aku memohon maaf kepada semua guru dan rakan yang sempat aku jumpa.
Selepas ini rutin hidupku mungkin berubah. Tiada lagi pelajar junior yang datang berjumpa denganku untuk menggunting rambut. Tiada lagi kedengaran suara aku bergema dari pembesar suara memanggil adik-adik turun ke surau untuk halaqah Al-Quran. Mungkin juga aku tidak berjumpa lagi mereka kecuali jika diizinkan Allah. Apa yang pasti, aku tidak lagi perlu memakai pakaian seragam sekolah. Aku juga akan bebas keluar ke mana-mana tanpa perlu meminta kebenaran warden.
Zaman persekolahan meninggalkan kenangan pahit dan manis untuk sesiapa sahaja yang pernah berada di dalamnya. Tatkala aku sudah besar dewasa sekarang ini, terasa saja ingin aku kembali ke zaman itu semula tetapi semua itu tidak mungkin terjadi.
Aku teringat akan perbualan seorang ulama dengan para pelajarnya yang tercatat dalam sebuah kitab. Beliau bertanya kepada mereka, “Tahukah kalian apakah perkara yang paling jauh dengan kita?”. Mereka cuba meneka dengan pelbagai jawapan tetapi beliau menafikan jawapan mereka semua.
“Sebenarnya, perkara yang paling jauh dengan kita ialah masa yang telah kita lalui. Kita tidak akan bertemu dengannya lagi sampai bila-bila,” jawaban beliau merungkai kekusutan di benak para pelajarnya.
Itulah hakikat masa yang sentiasa mengiringi kita ke mana sahaja. Masa tidak berpisah dengan kita tetapi masa yang telah kita lalui walaupun sesaat tadi akan berpisah dengan kita buat selama-lamanya. Ada pepatah mengatakan, “Masa lampau adalah kenangan. Masa sekarang adalah tindakan dan masa hadapan adalah harapan.”
***
Aku melalui cuti yang panjang selepas tamat peperiksaan. Selama beberapa hari aku melepaskan rindu dengan keluarga di rumah. Aku rasa begitu bebas tanpa tekanan terhadap pelajaran.
Timbul dalam fikiranku untuk mengambil lesen motosikal.
“Emak, Along cadang nak ambil lesen motor, boleh tak?” aku meminta izin daripada emak.
“Nak ambil tu boleh tapi emak tak ada duit nak bagi,” jawab emak dalam nada yang agak perlahan.
“Tak apa, nanti Along keluar cari kerja. Apabila dah ada duit, Along ambiklah lesen tu. Sekarang ni nak bawa motor ke mana-mana pun tak boleh sebab tak ada lesen,” aku memberi cadangan kepada emak.
“Along nak kerja apa?” tanya emak pula.
“Pagi esok Along nak keluar ke Pekan Changlun. Jenguk-jenguk tempat yang ada kerja kosong.” jawabku.
“Ikut suka Alonglah,” emak bersetuju dengan cadanganku.
Keesokannya, aku membuat rondaan di sekitar pekan dengan basikal. Dari satu kedai ke kedai yang lain aku bertanya sama ada di situ ada memerlukan pekerja. Takdirku baik pada hari itu apabila aku diterima bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai barangan elektrik.
Rutin harianku mula berubah. Tiap-tiap hari aku akan mula bekerja seawal pukul 9.00 pagi dan pulang pada pukul 9.00 malam dengan gaji RM 10 sehari. Awal-awal pagi aku akan mengangkat barang-barang ke dalam lori untuk dihantar ke tempat lain. Ketika ada pelanggan datang ke kedai, aku akan cuba untuk memenuhi kehendaknya. Jika tiada pelanggan, bos akan menyuruh aku menyusun barang di rak, mengelap peralatan elektrik supaya tidak berhabuk dan pelbagai kerja lagi. Pernah juga aku diarahkan untuk bersama juruteknik menghantar barangan ke rumah pelanggan dan memasang antena televisyen.
“Kak, di mana saya boleh bersolat?” aku bertanya kepada kerani yang telah lama bekerja di situ pada hari pertama bekerja.
“Kalau nak solat, boleh naik ke tingkat atas. Dekat stor ada ruang solat,” jawabnya sambil menunjukkan arah ke tingkat atas.
“Terima kasih, kak,” ucapku sambil menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.
Keadaan di dalam stor tersebut agak berselerak dengan peralatan elektrik. Cuma ada sedikit ruang yang muat untuk dihamparkan kain sejadah. Di ruang yang sempit itulah aku bersolat selama aku bekerja di situ. Aku tidak dibenarkan bersolat di luar kerana surau agak jauh dan mungkin memakan masa. Pernah aku dimarahi kerana mengambil masa yang lama untuk bersolat.
“Mungkin dia tak faham sebab dia orang Cina,” hati kecilku memujuk tatkala aku dimarahi oleh bos.
Kadangkala aku turut menerima tekanan daripada pelanggan yang tidak berpuas hati.
“Buat kerja tu cepat sedikit boleh tak?” herdik seorang pelanggan ketika aku sedang mencari-cari jenis paip yang dikehendakinya.
“Maaf encik,”tuturku lembut.
“Saya nak cepat ni. Ada banyak lagi kerja nak buat. Awak jangan buang masa saya!” Pelanggan itu terus memarahiku.
Sudahlah aku dimarahi pelanggan, kemudian bos pula turut menyalahkan aku. Darah muda aku ketika itu membuak-buak tetapi aku pendam sahaja. Aku cuba memujuk hatiku sendiri demi mencari rezeki yang halal.
Selepas beberapa bulan, aku nekad untuk berhenti kerja. Aku tidak tahan dengan cacian dan makian yang hari-hari aku dengar. Sudahlah aku dikerah bekerja dari pagi sampai ke malam dengan gaji yang murah, ditambah pula dengan serangan psikologi yang tidak mampu aku tepis ketika itu.
Duit gaji yang aku dapat pada bulan itu aku gunakan untuk mendaftar kelas memandu dan yang selebihnya digunakan untuk kegunaan harian. Bagi mendapatkan lesen “L”, aku perlu menghadapi ujian bertulis berkenaan undang-undang dan keselamatan jalan raya. Syukurlah, aku lulus dalam ujian itu dan layak untuk menunggang motosikal ke mana-mana sahaja tanpa pembonceng.
Tidak lama selepas itu aku menghadiri ujian memandu untuk mendapatkan lesen “P” pula. Aku agak kecewa kerana gagal sebanyak dua kali dan pada kali ketiga barulah berjaya.
Duit di dalam simpananku semakin berkurangan. Aku mula mencari-cari kerja lain untuk menampung perbelanjaanku. Pada suatu hari ayah memberitahu, “Ada penjual sayur di pasar hendak pakai pembantu, mahu tak?” tanya ayah.
“Boleh juga,” aku menjawab dalam nada yang agak teruja.
Keesokannya, aku mula bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Changlun. Aku mula membuka gerai pada pukul 2.00 petang dan habis berniaga menjelang waktu Maghrib. Tauke aku akan membayar aku antara RM 12 hingga RM 20 sehari bergantung kepada keuntungan jualan sayurnya pada hari itu. Adat berniaga memang begitu, kadangkala untung kadangkala rugi.
Aku menganggap berniaga sayur merupakan satu pengalaman berharga kerana serba sedikit aku dapat belajar mengenai perniagaan. Ramai juga rakan-rakan baru yang aku dapat yang terdiri daripada pelanggan tetap dan para peniaga di situ. Aku gembira melihat bangsaku minat berniaga dan aku juga menyimpan cita-cita untuk menjadi usahawan suatu hari nanti.