Episod 3 – Mencari Asal Usul
Waktu malam muncul setelah senja merangkak menyusur mentari yang terbenam di ufuk barat. Selepas solat Maghrib, aku dan adik-adikku akan pergi mengaji Al-Quran di rumah Pakcik Husin, kira-kira 200 meter dari rumah kami. Aku dan adikku, Angah, selalunya akan pergi dengan basikal.
Jalan yang kami gunakan semasa pergi dan balik mengaji dilitupi pokok-pokok yang besar di kiri dan kanan jalan. Kami selalu diusik dengan cerita-cerita seram untuk menakut-nakutkan kami kononnya pokok-pokok itu “keras”. Pernah suatu malam, kami terjatuh dari basikal kerana aku mengayuh terlalu laju untuk cepat sampai ke rumah.
Kebiasaannya, setiap malam aku akan tidur awal setelah menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru. Aku rasa lebih mudah menyiapkan kerja tanpa ada televisyen di rumah. Bukan seperti budak-budak zaman sekarang yang pantang berenggang dengan televisyen dan malas untuk mengulangkaji pelajaran.
Ayah aku pernah bercerita tentang sejarah penempatan kami dan tanah yang kami duduk ini. Rumah kami merupakan satu-satunya rumah yang pertama didirikan di tengah-tengah hutan buluh. Sebelum kami, memang tidak ada orang lain yang berani membuat rumah di dalam hutan sebegini.
Tanah yang kami duduk ini merupakan tanah pusaka datuk aku. Orang dulu-dulu senang saja dapat tanah kerana semua tanah-tanah di situ belum ada geran. Oleh itu, sesiapa yang mula-mula membuka tanah di situ, maka dia boleh memohon geran hak milik tetap daripada pihak berkuasa tempatan.
Aku sangat kecewa dengan segelintir orang Melayu yang tidak pandai bersyukur. Asalkan ada tanah sekangkang kera, suka dijualnya kepada orang asing untuk mendapatkan duit segera. Setelah tanah terjual, berpindah hidup di kota raya besar seperti Kuala Lumpur. Bukankah lebih baik tanah yang sedia ada itu dimajukan untuk pertanian misalnya?. Hasilnya boleh dimakan sepanjang masa jika terus diusahakan. Seandainya dijual tanah itu, duit yang diperoleh itu akan habis juga akhirnya. Sedarlah wahai bangsaku, tanah ini Tanah Melayu. Kalau tanah bukan milik kita bermakna kita akan mengemis dan merempat di bumi sendiri.
Berbalik kepada cerita ayah aku, saudara-mara kami semua hairan melihatkan ayah aku sanggup bermastautin di tengah-tengah hutan ni. Rumah kami terpisah dari jalan raya utama sejauh 200 meter. Pada mulanya, hanya denai sempit yang menghubungkan kami dengan jalan raya tersebut. Kereta tidak boleh masuk, hanya boleh menaiki motosikal atau berjalan kaki sahaja. Sejak tanah rizab berhampiran dimajukan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan sebagai pusat penternakan lembu, barulah kami dapat merasai jalan yang luas sedikit.
Pernah juga beberapa kali aku dan adik-adik ditinggalkan oleh ayah dan emak ketika mereka balik ke kampung nenek aku di Guar Chempedak, Yan. Hendak diangkut balik semua satu famili dengan motosikal tidak muat pula. Boleh pecah tayar motosikal kapcai ayah aku itu.
Kami masih kecil lagi masa tu, tidak tahu apa-apa. Sewaktu siang tiada apa yang hendak dibimbangkan tetapi bila menjelang malam, rasa takut juga. Untuk menghilangkan rasa takut, kami akan tidur awal. Di rumah kami belum ada elektrik sehinggalah aku mencapai umur 8 tahun. Kami telah biasa mengharungi malam-malam itu ditemani pelita minyak tanah dan lampu gasolin sambil dihiburkan dengan suara-suara sumbang unggas rimba. Sesungguhnya ketakutan itu telah mengajar aku erti keberanian. Kalau tidak biasa sebegini mungkin sampai sekarang pun aku akan jadi penakut.