Suatu Masa Aku Jadi Salesman

Cuti akhir semester bermula setelah peperiksaan hujung tahun berakhir. Aku dan beberapa orang rakanku bercadang untuk bekerja bagi mengisi masa cuti hampir dua bulan itu. Kami keluar ke Bandar Raya Alor Setar untuk mengintai peluang-peluang yang ada. Dari satu premis ke premis yang lain, kami menyusun tapak mencari kerja tetapi hasilnya agak mengecewakan.

            Akhirnya kami sampai di sebuah premis dan terbaca iklan yang bertulis “Pegawai Pemasaran Diperlukan Segera”. Kami terus masuk ke premis itu untuk ditemuduga. Setelah berjaya menjawab beberapa soalan yang diajukan, akhirnya kami diterima bekerja di situ sebagai “Pegawai Pemasaran”.
            Melihat pada label pegawai pemasaran, aku mengagak ini ialah suatu kerja yang profesional. Aku membayangkan bahawa aku bakal berurusan dengan klien-klien daripada sektor korporat seperti yang pernah aku lihat di dalam drama televisyen.
            Belum lagi kami mula bekerja, bos kami telah menaja kami bercuti di sebuah hotel di Pulau Pinang sempena majlis makan malam tahunan syarikat itu. Memandangkan aku tidak pernah merasai suasana di hotel sebelum itu, aku dan rakan-rakanku terus sahaja menerima jemputan tersebut.
            “Wah, cantiknya bilik ni!” Terpacul kata-kata itu dari mulutku tatkala melangkah masuk ke bilik penginapan.
            “Kau tak pernah masuk hotelkah?” tanya Wari yang juga seorang rakan sekuliah di universiti.
            “Inilah pertama kali aku masuk hotel,” jawabku sambil menyelak tirai tingkap untuk melihat pemandangan di tepi pantai yang indah.
            “Apakah nama pantai ni, Wari?” tanyaku.
“(Nama tempat ini) Batu Feringgi,” jawab Wari sambil menekan punat di televisyen.
“Cantiklah pantai tu. Jom kita jalan-jalan di situ.” Aku mengajak Wari turun untuk melihat pemandangan tepi pantai dari dekat.
“Petang-petang nantilah kita turun. Aku nak rehat sekejap,” jawab Wari sambil menekan butang untuk mencari siaran televisyen.
Selepas mandi dan bersolat Zohor aku membaringkan diri di atas katil dan terlelap hingga ke petang.
***
Malam itu ialah majlis makan malam. Majlis dimulai dengan pelbagai hidangan yang lazat-lazat. Sambil makan, juruhebah menghiburkan para tetamu dengan lagu-lagu berbahasa Inggeris yang langsung tidak aku minati. Majlis yang pada mulanya aman dan tenteram telah bertukar menjadi seperti kelab malam. Seorang demi seorang tetamu bangun dan menari di depan. Aku tidak tahan dengan suasana itu dan terus mengajak Wari keluar dari situ.
            “Astaghfirullahalazim,” ucapku sambil mengurut-urut dada. “Aku tak sangka akan jadi sebegini. Memang semua syarikat sambut ulang tahun macam inikah?” Aku mengajukan soalan itu kepada Wari ketika berdiri di pintu lif untuk naik ke bilik.
            “Biasalah, syarikat Cina punya,” jawab Wari sambil melangkah masuk ke dalam lif setelah pintunya terbuka.
            “Memanglah syarikat ni Cina punya tetapi yang menari dalam tu tadi orang bangsa kita, syeikh!” Aku melontarkan ayat itu dengan keras di dalam lif yang sedang naik ke tingkat atas.
            “Masuk bilik lagi bagus.” Aku menghayun kaki keluar dari lif tersebut menuju ke bilik kami. Selepas bersolat Isyak, aku terus tidur. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa kami pada hari itu.
            Keesokan hari, kami bertolak pulang ke rumah sewa di Alor Setar. Semua pekerja bujang dibenarkan menginap di sini. Setiap hari, penyelia akan datang mengambil kami ke pejabat. Apabila sampai di pejabat, penyelia akan memberikan sedikit kata-kata motivasi untuk merangsang kami memulakan kerja pada hari itu.
            Pada hari pertama bekerja, aku dipasangkan dengan seorang senior yang telah lama bekerja di situ. Aku mendapat khabar bahawa dia merupakan pekerja yang paling konsisten meraih jualan setiap hari. Sebagai pekerja baru yang belum memahami apa-apa, aku mengikut sahaja dengan niat untuk belajar.
            Setelah sampai di sebuah rumah, “Assalamualaikum, boleh saya jumpa sekejap?” Rakanku itu memberi salam dan menyatakan hasratnya.
            “Waalaikumussalam, ada apa ni?” balas tuan rumah dengan wajah yang berkerut.
            “Kami datang nak buat bancian. Syarikat kami mengadakan sambutan ulang tahun. Sebagai penghargaan, individu yang terpilih akan menerima hadiah.” Rakanku itu menerangkan dengan nada yang lemah lembut.
            “Silalah masuk,” jemput tuan rumah.
            Rakanku itu memberikannya sekeping kad gores dan menang sambil berkata, “Kami ada membuat sedikit pertandingan. Cuba kakak goreskan kad ni. Manalah tahu kalau-kalau ada rezeki.”
            Kakak itu pun menggores kad itu dan dia terkejut apabila muncul gambar sebuah periuk nasi elektrik dan berkata, “Ada gambar periuk nasi. Akak dapat hadiah ni kah?”
Rakanku itu pun terkejut sama dan berkata, “Tahniah akak! Sebenarnya ini merupakan baucer untuk akak mendapatkan diskaun pada harga istimewa. Harga sebenar di pasaran bagi periuk ini adalah RM 600 tetapi oleh sebab akak bertuah, akak boleh dapatkannya pada harga RM 299 sahaja.”
            “Betulkah ni?” tanya kakak itu seolah-olah tidak percaya.
“Betul kak tetapi peluang ini hanya untuk hari ini sahaja. Kalau kak bayar sekarang, kami hantar barang tu sekarang juga,” jelas rakanku.
“Biar kak telefon suami dulu. Kak tak berani ambil, takut nanti dia marah pulak.” Ujar kakak itu sambil mendail nombor fon suaminya menggunakan telefon rumah.
Selepas beberapa minit, dia datang semula kepada kami dan berkata, “Maaflah adik, suami akak tak benarkan akak beli.”
“Tak apalah kak. Kak simpan nombor telefon pejabat kami. Kalau akak rasa nak beli, nanti boleh telefon semula. Kami lanjutkan tempoh sampai sebulan untuk akak,” kata rakanku sambil menghulurkan kad perniagaannya kepada kakak itu. Pada hari tersebut, tidak ada barang yang dapat dijual.
Selama seminggu aku bersama mereka, hatiku menjadi semakin tidak tenteram. Aku telah dapat menghidu semua taktik mereka untuk melariskan barangan. Aku berasa tertipu dengan jawatan pegawai pemasaran seperti yang diiklankan. Rupa-rupanya kerja sebenar kami adalah sebagai jurujual barangan jualan langsung.
Aku dapat mengetahui bahawa semua kad gores dan menang yang mereka berikan adalah tipu. Daripada nombor kod yang tercatat pada kad itu, sebenarnya mereka telah mengetahui apa barangannya. Patutlah aku tengok semua orang gores dapat hadiah. Setelah itu mereka berpura-pura terkejut pula.
Walaupun begitu, ada juga suri rumah yang terkena. Aku pernah nampak sendiri seorang suri rumah membayar secara tunai untuk mendapatkan periuk nasi. Sebenarnya harga sebenar periuk itu di pasar raya tiga kali ganda lebih murah. Tambahan pula barangan elektrik yang mereka jual tidak berkualiti langsung.
Disebabkan aku tidak tahan lagi bersubahat dengan mereka, maka aku telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Mujurlah aku tidak pernah berjaya menjual barang. Aku tidak rela hasil yang diperolehi dengan cara menipu menjadi darah dagingku.
           
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge