Episod 6 – Back To School (Sekolah Berasrama Penuh)

Aku ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh ketika berada di tingkatan empat. Hampir sebulan aku belajar aliran sastera di sekolah lama, baru tawaran tersebut sampai. Aku tidak berfikir panjang untuk terus menerima tawaran itu. Apabila mendengar berita tersebut, ayah aku lantas membuat kenduri doa selamat dan bacaan Yassin.
Kelewatan sebulan mendaftar di sekolah baru menyebabkan aku ketinggalan dan terlepas beberapa bab terawal. Baru seminggu belajar, sudah ada peperiksaan penggal pertama.
“Apa aku nak jawab ni?” getus hatiku tatkala membaca soalan Matematik Tambahan yang langsung tidak pernah aku belajar. 
Bukan setakat itu, aku terasa begitu bodoh apabila membiarkan sahaja kertas jawapan Fizik dan Kimia tanpa sebarang jawapan. Natijahnya, aku mendapat nombor terakhir di dalam kelas.
Aku tidak pernah lulus dalam peperiksaan untuk tiga subjek tersebut. Markah tertinggi yang aku pernah dapat dalam Matematik Tambahan ialah sepuluh per seratus. Bagi subjek Kimia pula, aku diperintahkan untuk menyertai kelas pemulihan. Walaupun begitu, aku tidak berputus asa dan berazam untuk memperbaiki keputusan menjelang Sijil Pelajaran Malaysia.
Baru sebulan aku di situ, temuduga diadakan untuk memilih pengawas sekolah dan guru disiplin melantik aku menjadi pengawas lagi. Yang bezanya, pakaian seragam pengawas di sini ialah baju putih dan seluar putih pada hari Isnin. Baju putih dipadankan dengan seluar coklat pada hari-hari biasa.
Sewaktu mula-mula menjadi pengawas, ramai pengawas senior yang tidak menyukai sikap aku yang agak dingin terhadap pengawas perempuan. Mungkin mereka menganggap aku terlalu sombong dan kurang bersosial. Pada masa yang sama pula aku hanya berkawan dengan pelajar-pelajar biasa dan tidak nampak ciri-ciri pengawas dalam diri aku. Aku dipanggil oleh salah seorang pengawas senior pada suatu malam.
“Boleh bagi aku sebab mengapa aku tengok kau ni macam tak berapa ngam dengan kami? ” Dia mengajukan soalan itu kepadaku dalam nada yang agak keras. Aku mengunci mulut dan tidak mahu menjawab.
“Common guy! ” Dia terus berleter. “Jangan malukan nama pengawas di sekolah ni boleh tak? Semua pengawas perempuan tak suka kat kau tahu tak?” Telinga aku semakin panas mendengar leteran tersebut.
“Sekarang aku bagi kau satu lagi peluang. Sekiranya selepas ni kau masih lagi berperangai macam ni, sakit kau kena nanti!” Amaran diberikan untuk terus menakut-nakutkan aku.
Pertemuan pada malam itu telah mencabar ego aku. Aku keluar dari bilik itu dengan penuh rasa tidak puas hati. 
“Tak nak kawan dengan perempuan pun jadi masalah. Bercampur lelaki dan perempuan baguskah?” Aku cuma protes di dalam hati. “Orang lain tak sibuk pun. Yang dia nak tunjuk kuasa ni apahal?” 
Aku biarkan sahaja peristiwa tersebut berlalu tanpa mengambil endah apa yang berlaku. Senario seperti itu boleh berlaku di mana-mana. Orang lama akan tunjuk kuasa dengan orang baru. Perkara yang kecil dijadikan alasan mudah untuk membuli orang yang lemah.
***
Malam itu Farouk meminta pertolongan dari aku, “Khairi, boleh tak tolong potong rambut aku ni?”
 “Aku tak berapa pandailah, Farouk. Malam-malam ni tak elok gunting rambut,” aku menjawab. 
 “Tolonglah, rambut aku dah berserabut ni,” Farouk terus merayu.
 “Okay, i try.” Aku terus mencapai gunting dan sikat dari dalam almari.
 Ketika sedang asyik menggunting rambut, tiba-tiba aku tergunting sedikit cuping telinga Farouk.
“Adoi!” jerit Farouk.
“Maaf, tak berapa nampak tadi, sakit tak?” Aku terasa sedikit bersalah.
“Nevermind. Small matter only,” Mujurlah dia tidak menyalahkan aku.
Tatkala itu jam telah menunjukkan pukul 11.00 malam. Aku rasa semakin mengantuk. Tiba-tiba datang pula Muzammil sambil tersenyum-senyum dan berkata, “Selepas Farouk gunting rambut aku pula, boleh?”.
“Maaflah Mil, aku dah mengantuk ni. Tadi baru terpotong telinga Farouk. Takut-takut nanti telinga hang pulak kena kerat.” Jawapan aku itu membuatkan Muzammil beredar dari situ. Aku agak kecewa kerana tidak dapat menolongnya pada malam itu.
Sebenarnya, itulah kali pertama aku menggunting rambut. Selepas hari itu ramai pula rakan-rakan yang datang minta tolong untuk menggunting rambut. Kadang-kadang mereka memberiku seringgit sebagai upah atau membelanja aku makan mee segera. Banyak juga habuan yang aku dapat hasil kerjaya sebagai penggunting rambut amatur.
Selain menggunting rambut, aku juga mencari pendapatan sampingan melalui penjualan kemeja-T secara tempahan. Bagi tiap-tiap baju yang ditempah, aku akan mendapat komisen dua ringgit. Sesekali berlaku sedikit masalah apabila ada seorang budak yang enggan membayar setelah mendapat bajunya. Jika dia masih dalam sekolah mungkin masih dapat dicari tetapi budak itu telah bertukar sekolah dan membawa baju itu sekali. Kejadian itu menjadi satu pengajaran buatku agar lebih berhati-hati.
Satu lagi sumber duit poket aku adalah dengan menjual sticker (pelekat). Aku menoreh sendiri sticker itu menggunakan pisau pemotong yang khas. Ada beberapa orang rakan menyuruh aku membuat sticker yang menyerupai wajah mereka apabila mereka teruja melihat sticker wajahku di atas meja di dalam kelas.
Tatkala pelajar lain mendapat duit poket yang diberi oleh waris mereka tiap-tiap bulan, aku sudah mampu menanggung belanja sendiri. Aku tahu, adik-adikku yang masih di bangku sekolah lebih memerlukan duit daripada ayah dan emak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge