Episod 4- Ibu dan Ayah Permata Hati

Aku bangga dengan ayah kerana dia mampu membina rumah menggunakan tulang empat kerat dia sendiri daripada sekecil-kecil pondok sampailah sebesar-besar rumah macam ada sekarang ini. Kami pernah hidup di dalam rumah yang berdinding buluh, berlantai papan dan beratap nipah sehinggalah rumah ini diselimuti batu-bata dan atap zink. Dalam fasiliti yang serba kekurangan ini, kami masih boleh belajar dengan sempurna dan kami telah membuktikan anak buruh kasar juga ingin berjaya di masa hadapan.
Pucuk ulam, sayur rebung, ikan air tawar dan makanan-makanan bervitamin tinggi adalah di antara menu rutin kami. Kami membesar bersama-sama makanan yang bebas dari bahan kimia. Aku tidak mungkin akan melupakan setiap masakan emak yang dimasak di atas dapur kayu dan periuk tembaga. Rasanya lebih sedap jika dibandingkan dengan masakan yang dimasak menggunakan teknologi canggih. Menurut emak, pada era pemerintahan Jepun di Tanah Melayu dulu lagi susah. Nenek dan datuk aku dulu pernah makan ubi kayu cecah kelapa parut dan gula kerana beras tidak ada.
Aku agak nakal ketika kanak-kanak. Aku rasa orang lain pun begitu. Emak selalu melarang aku mandi di sungai tetapi aku terjun juga. Sudah beberapa kali aku hampir-hampir lemas, tetapi tidak juga serik. Ada sebab emak melarang aku mandi di sungai. Pertama atas faktor keselamatan dan yang kedua atas faktor kebersihan. Maknanya, jika aku bermandi di sungai, mungkin baju dan seluar akan kotor dan mungkin akan menyusahkan emak kerana dia yang akan mencuci pakaian itu. Tambahan pula pada masa itu emak hanya mampu menyental dengan tulang empat keratnya sahaja menggunakan sabun cap kapak.
Ayah aku suka menternak manakala emak pula minat bertani dan menanam pokok bunga. Ayam, itik, kambing dan lembu adalah antara haiwan peliharaan yang menghilangkan kesunyian di kediaman kami. Kami sekeluarga menjaga haiwan-haiwan tersebut bersama-sama. Kebiasaannya, setelah pulang dari sekolah pada sebelah petang, aku akan membawa kambing-kambing dan lembu-lembu itu makan di sekitar kawasan yang ditumbuhi rumput-rumput yang hijau dan segar. Kadang-kadang Angah dan Achik akan melakukannya jika aku tiada di rumah. Emak pula akan menjamu ayam dan itik dengan lebihan makanan terutamanya nasi sejuk dan hampas kelapa. Lebihan makanan itu tidak elok jika dibuang begitu sahaja, nanti akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak kerana membazir.
Pada zaman tersebut, masyarakat di kampungku tidak begitu berminat untuk menternak secara komersil. Ayam dan itik dipelihara sekadar untuk tujuan sara diri manakala lembu dan kambing dibesarkan bagi menghabiskan rumput dan rumpai supaya tidak menjadi semak-samun. Mungkin ada seorang dua yang menternak dalam kuantiti yang banyak sebagai bekalan daging segar di pasar serta bagi tujuan korban dan aqiqah. Masyarakat moden kontemporari sudah membuka mata mereka dan melihat sektor penternakan juga mampu membawa pulangan yang lumayan.
Emak memang seorang yang rajin dan jarang aku melihat dia duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa. Ada-ada sahaja kerja yang dia hendak buat. Sambil menanak nasi, sempat lagi dia pergi tanam pokok pisang. Emak memang pantang kalau tengok anak-anak dia tidur sehingga tengahari kerana tabiat itu boleh menghilangkan keberkatan rezeki.
Emak suka berkepit dengan cangkul dan parang. Aku selalu menjadi pembantunya untuk membuat batas bagi tujuan penanaman sayur-sayuran. Sayur-sayur yang sangat digemari oleh kami ialah bayam, kangkung, kacang dan kucai. Kami juga menanam untuk dimakan sendiri tetapi jika hasil tanaman berlebihan, kami akan menjualnya kepada penduduk kampung.
Kadang-kadang emak selalu mengajakku masuk ke hutan berhampiran rumah untuk mencari rebung. Bukan aku sahaja malah semua adik-beradikku pernah melalui denai-denai di dalam hutan buluh tersebut untuk tujuan yang sama. Rebung itu juga kadang-kadang menjadi asbab rezeki untuk kami. Aku pernah menjual rebung di Pasar Changlun dan membekalkannya kepada pengusaha-pengusaha kedai makan. Tatkala tiba musim kenduri, semua anak beranak akan sibuk masuk ke hutan mencari rebung untuk memenuhi tempahan yang bertali arus. Rebung itu ada yang dijual secara mentah atau dimasinkan terlebih dahulu.
Selain bercucuk tanam, emak juga rajin membuat kuih. Apabila ada kenduri di kampung aku, maknanya melimpah ruahlah rezeki emak. Ada dua jenis kuih tradisi yang paling popular ketika majlis walimah iaitu peneram dan kuih kapal terbang. Tradisi masyarakat kampung, tiap-tiap rumah kenduri akan menyediakan kuih-muih. Di kampung aku, kenduri secara bergotong-royong masih lagi diamalkan di bawah satu syarikat pinggan mangkuk. Ayah aku di antara manusia yang agak sibuk apabila ada kenduri kerana ayah dilantik sebagai setiausaha. Orang kampung tidak kira tua atau muda akan datang untuk bergotong-royong atau sekurang-kurangnya datang untuk menyibuk. Posisi tugas yang paling aku gemari ialah membasuh pinggan mangkuk dan membancuh air.
Pada zaman sekarang, majlis walimah secara hidangan di meja semakin pudar dan mungkin akan pupus. Masyarakat sekarang lebih menyukai sistem layan diri dan katering yang lebih mudah dan cepat walaupun melibatkan kos yang tinggi. Selain itu, cara ini juga dapat membuka peluang perniagaan yang luas dalam sektor perkhidmatan makanan.
Sebagai anak sulung, aku bertanggungjawab untuk menunjukkan contoh terbaik kepada adik-adikku. Walaupun kami menjalani kehidupan yang sederhana sedari kecil, aku tetap mempunyai impian dan sentiasa merancang masa hadapan yang lebih terjamin. Bukannya aku tidak bersyukur dengan kebahagiaan yang dikecapi tetapi aku mempunyai cita-cita untuk membalas setiap jasa emak dan ayah dengan berkongsi kesenangan bersama mereka seandainya aku telah dewasa kelak. Aku tidak sanggup melihat mereka terus bekerja keras sehingga tua untuk menyara kehidupan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge