Episod 5 – Back To Secondary School
“ Ustaz, apakah tanda-tanda seseorang itu telah baligh?” tanya seorang murid di dalam kelas.
“ Antara tanda-tanda baligh ialah seseorang itu ditumbuhi jerawat di mukanya, suaranya bertukar menjadi garau dan mungkin mengalami mimpi basah,” jawab ustaz itu.
“ Mimpi basah tu macam mana ustaz? Kencing waktu tidurkah? ” murid tersebut terus bertanya disertai gelak tawa oleh rakan-rakannya yang lain.
“ Mimpi basah tu maknanya kamu bermimpi sesuatu yang menyeronokkan sehingga mengeluarkan air mani, ” terang ustaz itu lagi.
“ Bagaimana rupa air mani tu, ustaz? ” murid yang lain pula bertanya.
“ Air mani tu warnanya putih dan baunya seperti mayang kelapa,” jelas ustaz secara ringkas.
Situasi seperti tadi mungkin berlaku di kebanyakan sekolah rendah. Soalan demi soalan secara bertubi-tubi akan ditanya oleh murid-murid selagi mereka tidak faham tentang sesuatu. Aku juga tergolong dalam kategori murid yang banyak bertanya. Aku tidak tahu apa perasaan guru-guru yang mendapat anak murid seperti aku.
Aku tidak ingat tarikh yang tepat aku dikira sebagai baligh. Aku lupa apakah mimpi yang telah aku alami. Aku juga tidak tahu suara aku sudah bertukar menjadi garau sehinggalah ada orang yang menegur, “ Amboi, suara jantan dah keluar dah!.”
Jerawat mula naik di muka. Jika sebelum ini aku tidak begitu kisah dengan penampilan diri tetapi sejak itu, aku menghabiskan masa yang lama di depan cermin. Aku menghabiskan masa yang lama untuk menyikat rambut. Emak juga perasan dengan perubahan itu dan selalu menegur, “ Dah handsome dah … .”
Dahulu duit belanja yang diberi oleh ayah untuk ke sekolah dimasukkan sahaja di dalam kocek seluar tetapi sekarang sudah pandai simpan dalam dompet. Penyikat rambut akan sentiasa berada di dalam poket belakang seluar.
Tidak dapat dinafikan bahawa kaum perempuan memang lebih cepat matang dan baligh lebih awal berbanding lelaki. Seawal darjah empat, mereka sudah pandai membetulkan anak tudung dan memakai baju sekolah yang bersih sedangkan murid-murid lelaki ketika itu masih berpakaian comot.
***
Pada suatu petang di padang sekolah ketika sesi latihan acara merentas desa aku bercakap dengan guru rumah sukan, “ Cikgu, emak saya tak bagi saya masuk lari-lari ni. Masa kecil-kecil dulu saya pernah masuk hospital.”
“ Kenapa (masuk hospital) ? ” tanya Cikgu Md Akhir.
“ Emak saya cakap saya ada penyakit lemah pinggang. Tak boleh lari-lari nanti sakit pinggang,” jawabku dengan penuh harapan agar aku dikecualikan daripada menyertai acara itu.
“ Oh! Kalau begitu awak tak payah lari … ,” jawab Cikgu Md Akhir lantas membuatkan aku sedikit lega kerana tidak perlu berlari jauh.
“ Tapi awak kena berjalan kaki sampai habis trek, ” Cikgu Md Akhir melontarkan ayat tersebut dengan senyuman hingga ke telinga.
“ Baiklah, cikgu, ” balasku dengan sedikit rasa tidak puas hati dan terus beratur di garisan bersama murid-murid yang lain.
Sepanjang di sekolah rendah aku hanya mampu mewakili Rumah Kuning dalam acara lontar peluru. Itu pun tidak pernah memenangi sebarang pingat. Aku akui pada masa itu aku masih belum mempunyai semangat kesukanan yang tinggi. Walaupun begitu, aku lebih gemar melibatkan diri dalam lapangan yang lain. Aku pernah menyertai pertandingan syarahan peringkat sekolah, menganggotai kumpulan marhaban dan memasuki pertandingan melukis poster sempena Hari Kebangsaan peringkat negeri.
***
Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan memperolehi “A” dalam semua mata pelajaran kecuali Bahasa Inggeris mengiringi aku meninggalkan Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara dengan penuh kenangan indah. Masing-masing bercakap mengenai sekolah menengah yang bakal mereka pilih untuk melanjutkan pelajaran. Ibu bapa pula sibuk mengambil borang dari sekolah-sekolah pilihan mereka. Ramai juga rakan-rakanku yang menyambung pengajian di sekolah agama dan ada juga yang memasuki sekolah berasrama. Aku tiada pilihan melainkan ke sekolah menengah berhampiran disebabkan keadaan kewangan keluargaku yang tidak begitu stabil. Walaupun begitu, aku tetap memasang azam untuk ke sekolah yang lebih baik selepas PMR kelak.
Kenakalan semasa di sekolah rendah terbawa-bawa ke sekolah menengah tetapi pada tahap yang tidak memudaratkan diri, keluarga, bangsa, agama dan negara. Kenakalan sekadar menghilangkan tekanan terhadap pelajaran. Aku tidak mahu menjadi pelajar yang berada di dalam kotak-kotak kecil sahaja. Sesekali aku melompat keluar dan masuk balik. Meskipun begitu, pelajaran tetap menjadi tumpuan utama dan aku sentiasa memastikan aku berada dalam carta tiga teratas setiap kali keputusan peperiksaaan diumumkan. Alhamdulillah, berkat doa dan usaha, setiap tahun aku naik pentas untuk menerima hadiah dan menjadi pelajar terbaik PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun.
Aku suka menjalinkan hubungan yang mesra dan erat dengan semua guru di sekolah. Tidak pernah sekali pun aku berlawan cakap dengan cikgu kerana melawan guru akan menghilangkan keberkatan ilmu.
Suatu hari Sir Ishak yang merupakan guru pengawas telah menemuiku dan berkata, “Khairi, i want to offer you to become a prefect. Can you? ”
“Insyaallah, let me decide and give the result later,” jawabku.
Tidak lama selepas itu, aku datang ke sekolah dengan memakai pakaian seragam berwarna biru menandakan aku sudah menjadi pengawas sekolah.
Sejak itu aku didatangi sepucuk surat berbau wangi dari pengirim perempuan yang tidak aku kenali. Aku hanya mengenali posmennya sahaja. Di dalam lembaran itu, pengirim telah menyatakan minatnya untuk menjadikan aku sebagai abang angkatnya.
“Ini semua kerja mengarut ni!” kataku spontan setelah membacanya.
“Ah! Sudahlah. Di rumah aku sudah ada empat orang adik yang tidak terjaga. Nak tambah lagi buat apa? ” getus aku di dalam hati sambil merenyuk surat tersebut.
Beberapa hari selepas itu, si posmen tersebut yang juga seorang perempuan datang memarahiku dengan katanya, “ Sampai hati hang buat macam tu. Orang ikhlas nak kawan pun tak mau!.”
Aku hanya diam dan tidak sempat menepis semburan itu.
***
Dunia permainan kanak-kanak semakin kutinggalkan. Aku tidak lagi bermain permainan-permainan yang tidak mencabar dan beralih pula kepada arena yang lebih menguji daya maskulin seorang lelaki. Sekalipun tidak pernah layak mewakili sekolah, tetapi aku sangat meminati sukan bola sepak. Aku bermain sekadar untuk mengeluarkan peluh sahaja dan bukannya untuk mewakili negara dalam Kejohanan Piala Dunia.
Aku tiada kasut sukan yang berjenama. Kadang-kadang aku gunakan kasut sekolah lama yang telah lusuh untuk bermain bola. Aku segan untuk meminta duit daripada ayah kerana aku tahu dia tidak mampu memberinya. Aku pernah menjahit sendiri kasut sekolahku yang koyak rabak dengan benang berwarna hitam.
Suatu hari ketika aku mengayuh basikal untuk ke kedai, aku singgah di ladang milik seorang penduduk tempatan di kampungku.
“ Mak cik, ada kerja kosong tak di sini? ” aku bertanya Mak Wan.
“ Hendak kerjakah?” balas Mak Wan
“ Jika ada kekosongan, saya nak kerjalah. Cari duit belanja sekolah sedikit,” jawabku pula.
“ Okay, esok boleh mula kerja.”
Jawapan Mak Wan itu telah menjadi asbab rutin harianku bertukar daripada padang bola ke ladang sayur. Tiap-tiap hari selepas pulang dari sekolah dan hujung minggu, aku menghabiskan masa lapangku di sini. Aku tinggalkan hiburan-hiburan yang melalaikan dari kaca televisyen dan pergi membanting tulang di ladang sehingga senja.
Duit upah sehari sepuluh ringgit yang aku perolehi digunakan untuk membeli pakaian sekolah, buku-buku dan membantu meringankan beban keluarga. Aku tidak perlu lagi meminta duit belanja untuk ke sekolah.
***
Laungan azan dari surau menghambat burung-burung supaya pulang ke sarang.
“ Mak, along nak pi surau dulu, ” aku meminta izin daripada emak sambil menghidupkan enjin motosikal.
“ Tunggu sat, mak nak tumpang pi sekali,” jawab emak sambil mencari-cari kain telekungnya.
Surau lama di kampung itu menjadi tempat kami solat berjemaah. Sejak kehadiran seorang ustaz di kampung aku, orang kampung semakin ghairah ke surau. Kalau ustaz tidak ada, masing-masing segan ke surau kerana tidak mahu disuruh menjadi imam.
“ Pak Kob, pi naik jadi imam. Ustaz tak ada malam ni,” kata Haji Ibrahim.
“ Haji la kena jadi imam sebab dah sampai Mekah. Saya ni tak sampai lagi,” Pak Kob cuba menolak tawaran itu.
“Duduk main tolak menolak macam ni bila nak boleh solat? ” Tok Awang cuba menyampuk sambil menolak aku ke tempat imam. Tanpa membuang masa, aku terus mengangkat takbiratul ihram.