Episod 2 – Memoir Sekolah Rendah
Pagi ini amat sejuk sekali. Ayam sudah berkokok berkali-kali. “Ah … malasnya hendak ke sekolah,” bisik hati kecilku. Lantaran itu selimut ku tarik dari hujung kepala hingga ke hujung kaki seperti mayat yang dikafankan.
“Sambung mimpi lagi bagus,” hati kecilku terus menghasut untuk meneruskan tidur. Tidak sedikit pun aku terkesan dengan bunyi bising kokokan ayam jantan.
Tiba-tiba aku terdengar ada suara mengejutkan aku,“Along, bangkit! Sudah pukul berapa ni? Nanti lambat pula ke sekolah,” jerit emakku dari dapur. Dengan kudrat separuh sedar aku bangun dari tempat tidur lantas mencapai tuala dan terus ke telaga.
“Alamak, sejuknya!” ucapku terketar-ketar apabila setitis air yang aku ceduk terkena kulitku yang halus dan mulus. “Ah, tak mahu mandilah!” protesku dalam diam.
“Along, dah mandi kah?” tanya emak. “Sejuk … ” aku menjawab dengan terketar-ketar.
“Nah! Ambil air hangat yang mak jerang ni dan campurkan dengan air telaga,” emak aku terus memaksa aku mandi juga.
Beginilah kebiasaan aku pada pagi hari sebelum ke sekolah. Pada zaman ini tidak ada pancuran air panas di bilik air. Terpaksalah jerang air panas dan campur dengan air telaga kalau hendak mandi.
“Mengapa kita perlu ke sekolah? Seandainya kita tidak ke sekolah, adakah kita akan mati? Sudahlah kena bangun awal pagi dan kena siapkan kerja rumah yang cikgu bagi. Jika kerja rumah gagal disiapkan maka nanti cikgu akan denda di khalayak ramai. Adakah ini suatu keadilan?. Aku diberi kerja rumah, dipaksa untuk siapkan dan akan didenda jikalau gagal menyiapkannya. ” Itu adalah antara rungutan-rungutan aku ketika di sekolah rendah.
Aku tidak tahu bagaimana kanak-kanak lain yang sebaya denganku berfikir pada era tersebut. Mungkinkah murid-murid darjah satu zaman sekarang sudah mempunyai kesedaran betapa pentingnya pelajaran kepada mereka?. Sekiranya ada, aku fikir itu adalah satu fenomena yang luar biasa.
Ramai bebudak zaman aku terutamanya yang berada di kawasan terpencil, jauh dari kemudahan infrastruktur dan pengangkutan mengalami kesulitan untuk pergi ke sekolah. Ada juga yang mampu tetapi malas. Ibu bapa mereka pun sudah berputus asa untuk terus memaksa anak-anak ke sekolah. Aku bersyukur mendapat ibu bapa yang bertanggungawab walaupun ayah hanya mampu menghantar aku sekolah dengan motosikal kapcai berkuasa 70 cc.
Aku terharu melihat emak sanggup bangun awal sebelum subuh untuk menyiapkan sarapan buat kami sekeluarga. Tidak pernah dia berputus asa membesarkan kesemua anak-anaknya. Setiap kedutan di wajahnya adalah natijah kasih sayang yang dicurahkan kepada kami.
Apabila sudah sampai di sekolah, rasa malas bertukar menjadi seronok kerana boleh berjumpa ramai kawan. Ramai budak-budak datang ke sekolah bukan untuk belajar tetapi hendak bermain. Aku masih ingat, antara permainan yang paling diminati ketika itu ialah tindih-tindih pemadam, tudung botol, kejar-kejar dan lompat getah. Memang kanak-kanak suka bermain dan tidak mengenal erti letih.
Sewaktu rehat, murid-murid lain akan pergi makan di kantin tetapi aku dan rakan-rakanku akan pergi bermain lompat getah di belakang blok sekolah. Setelah puas bermain, baru pergi makan. Pada zaman itu, harga makanan lebih murah berbanding sekarang. Aku hanya dibekalkan dengan lima puluh sen sehari tetapi cukup untuk membeli nasi yang berharga tiga puluh sen dan air yang berharga dua puluh sen.
Tiba di rumah, baju sekolah yang berwarna putih bersih telah bertukar menjadi comot akibat terlalu aktif ketika di sekolah. Setiap hari aku terpaksa mendengar leteran emak. Aku belum faham betapa letihnya emak hendak menyental baju yang kotor dengan cara tradisional kerana pada masa tersebut emak belum mampu membeli mesin basuh.
Pada sebelah petang ada Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) di sekolah. Aku mula menghadiri kelas tersebut semasa darjah empat setelah ayah membelikan aku sebuah basikal mini. Maka berkayuhlah aku dengan basikal mini itu ke sekolah yang lebih kurang tiga kilometer dari rumah.
Aku masih ingat sewaktu aku di darjah tiga, aku langsung tidak boleh membaca Al-Quran sedangkan ramai murid-murid lain telah menguasainya. Mungkin kerana kesedaran itu, aku gagahkan juga menghadiri kelas tersebut sehingga aku mampu membaca Al-Quran dengan lancar.
Setelah kelas tamat pada pukul 5.00 petang maka aku pun bergegas balik ke rumah. Selalunya aku tidak terus pulang ke rumah sebaliknya akan singgah di rumah kawan-kawan sekampung untuk melengkapkan aktiviti bermain pada hari tersebut.
Antara permainan yang paling digilai di kampung aku pada zaman tersebut ialah bermain guli, gasing, wau dan “cap plum”. “Cap plum” ialah sejenis permainan tembak menembak menggunakan alat yang diperbuat daripada buluh dan pelurunya dari biji cenerai atau kertas yang dibasahkan. Ia boleh mengeluarkan bunyi yang kuat. Pelurunya jikalau terkena badan akan mengakibatkan kepedihan. Mungkin kerana ia agak berbahaya, ramai ibu bapa melarang anak-anak mereka bermain “cap plum”. Akhirnya permainan ini mungkin akan pupus ditelan arus kemodenan dan digantikan dengan permainan yang dipanggil paint ball.