Tersirat Di Sebalik Ramadhan
Ramadhan datang lagi tahun ini. Kehadiran 1 Ramadhan 1432 H bertepatan dengan 1 Ogos 2011 Masehi. Mari kita selak hal-hal yang tersirat di dalam bulan ini yang jarang-jarang diambil peduli.
1. Inilah satu-satunya bulan di mana ramai orang Islam begitu mengambil tahu hari-hari dalam kalendar Hijriah. Orang Islam begitu peka mengenai hari-hari yang dilalui setiap hari sehingga datang 1 Syawal. Tidak ramai orang yang mengambil tahu hari-hari pada bulan-bulan Hijriah yang lain.
2. Inilah satu-satunya bulan di mana umat Islam berbondong-bondong pergi ke masjid untuk solat tarawih walaupun dia tidak menunaikan solat fardhu dengan sempurna. Solat fadhu yang lepas-lepas pun masih belum di-qada.
3. Malangnya, masjid hanya dimakmurkan ketika solat tarawih tetapi bukan pada waktu Maghrib dan Subuh. Pada waktu Maghrib, hanya tinggal Tok Imam, Bilal dan Siak. Orang lain berbuka puasa di rumah sehingga ketinggalan solat berjemaah. Selepas sahur, tidur balik sehingga ketinggalan solat Subuh. Istighfar!
4. Memang bulan ini bulan berkat. Atas kefahaman itu, sejak sebelum bulan puasa ini lagi sudah ada tempahan baju raya, kuih raya, perabot dan kelengkapan rumah. Peniaga untung besar (untung dunia) sehingga terlupa mengutip untung akhirat. Muhasabah!
5. Pada bulan ini sahaja ada zakat fitrah. Tiada zakat fitrah pada bulan-bulan yang lain. Tahun ini, saya perlu membayar zakat fitrah untuk dua lagi insan iaitu isteri dan anak. beberapa tahun lepas, sebelum boleh berdikari, ayah yang bayarkan zakat ini.
6. Diharapkan momentum iman dan amal yang meningkat mendadak pada bulan ini akan berterusan ke bulan-bulan yang lain. Insya-Allah.