Teguran Maulana Abul Hasan an-Nadwi Kepada al-Ustaz Abul A’la al-Maududi (Pengasas Parti Islam India)

Setelah empat tahun kejatuhan Empayar Usmaniah di Turki, umat Islam hidup dalam tekanan. Penjajah Inggeris terus menindas umat Islam. Di India, umat Islam di sana tidak terkecuali. Pelbagai pihak terutamanya golongan ulama telah bangkit untuk menentang imperialisme Barat. Kemudian, pada tahun 1928 iaitu setelah empat tahun kejatuhan Khilafah Islamiah, Maulana Muhammad Ilyas dari India bangun menggerakkan usaha dakwah. Sebelum itu pun, usaha dakwah telah dimulakan oleh para ulama yang lain namun kurang menjadi bagi mengatasi masalah umat Islam di India pada masa itu. Lama kelamaan, dakwah Maulana Muhammad Ilyas mendapat sambutan bukan sahaja di India malahan di seluruh penjuru dunia.

Kesan daripada dakwah ini, timbullah pula sekumpulan ulama dan pemimpin Islam yang mahu memperjuangkan Islam. Antaranya ialah al-Ustaz al-Maududi yang telah menyalurkan buah fikirannya menerusi artikel di majalah Tarjumanul Quran. Beliau mempengaruhi pembaca untuk menolak cara hidup Barat yang sekular dan kembali menghayati cara hidup Islam yang syumul.

Apa yang dilakukan oleh al-Ustaz al-Maududi ini adalah lantaran kekagumannya terhadap kefahaman dan kebijakan Maulana Muhammad Ilyas. Beliau pernah bersama-sama Maulana Abul Hasan dan Maulana Manzur Nukmani berkunjung ke Nizamuddin, Delhi untuk bertemu Maulana Muhammad Ilyas untuk mengetahui secara langsung mengenai usaha dakwahnya itu. Setelah terkesan dengan penerangan Maulana Muhammad Ilyas, al-Ustaz al-Maududi menulis dalam majalahnya Tarjumanul Quran yang berisi penghargaan yang tinggi terhadap usaha dakwah dan tabligh yang diperkenalkan oleh Maulana Muhammad Ilyas.

Maka, lahirlah Jamaat Islami yang diasaskan oleh al-Ustaz Abul A’la al-Maududi pada tahun 1941. Tidak lama selepas itu, Justeru, Maulana Abul Hasan menyertai Jamaat Islami. Namun, beliau meninggalkan parti tersebut setahun kemudian disebabkan perbezaan pendapat yang ketara antara beliau dengan pengasasnya, al-Ustaz al-Maududi. Meskipun begitu, Maulana Abul Hasan terus mengutus surat kepada al-Ustaz dan menyatakan beberapa kritikannya dengan penuh kasih sayang. Ramai ulama pada zaman itu mengkritik al-Ustaz secara terbuka, namun Maulana Abul Hasan hanya menegurnya melalui surat. Sebab utama para ulama  mengkritik al-Ustaz adalah kerana mereka menganggap beberapa pendapatnya terpesong daripada landasan Salafus Soleh.

Meskipun begitu, Maulana Abul Hasan masih berhubungan dengan al-Ustaz. Seringkali apabila beliau ke Pakistan, beliau akan menziarahi al-Ustaz. Hal ini menunjukkan, sekalipun mereka berbeza pendapat tetapi perkara tersebut tidak merenggangkan persahabatan mereka. Namun, setelah 36 tahun meninggalkan Jamaat Islami, akhirnya Maulana Abul Hasan terpaksa mengkritik al-Ustaz al-Maududi secara terbuka. Penentangan itu dinyatakan menerusi sebuah kitab bertajuk, ‘Tafsiran Politik Terhadap Islam Menerusi Tulisan al-Ustaz al-Maududi dan asy-Syahid Sayyid Qutub’.

Setelah siap dicetak, beliau menghantar sebuah naskah kepada al-Ustaz diiringi surat yang diolah dengan bahasa yang cukup halus. Beliau menyatakan keterpaksaannya menulis kritikan itu demi agama yang tercinta. Surat dan naskah tersebut disingkapi oleh al-Ustaz al-Maududi dengan dada yang lapang. Lalu, beliau membalas surat tersebut.

“Sesungguhnya saya tidak dapat mengatakan bahawa saya bersetuju dengan semua kritikan dan pandangan yang tuan berikan. Namun, saya pasti akan memberikan perhatian terhadap apa yang tuan ketengahkan. Saya tidak berasakan saya berada lebih tinggi daripada kritikan orang lain dan saya tidak menganggap saya terlepas daripada kritikan orang lain.”

Sejak itu, al-Ustaz masih terus mengharapkan agar Maulana Abul Hasan terus memberikan pandangannya terhadap setiap tulisan al-Ustaz al-Maududi. Ini satu contoh yang dapat dijadikan ikutan oleh mana-mana tokoh politik mahupun pemimpin masa kini yang sedia dikritik. Namun, biarlah kritikan itu dengan penuh kasih sayang dan didahului dengan niat yang ikhlas demi menjaga agama yang tercinta. Bukanlah dengan niat menjatuhkan pihak lawan demi menaikkan nama sendiri.

Pada 22 September 1979, al-Ustaz al-Maududi meninggal dunia. Ketika itu, Maulana Abul Hasan sedang berada dalam sebuah majlis bersama-sama beberapa orang sahabat al-Ustaz daripada Jamaah Islami cawangan India. Justeru, Maulana Abul Hasan mengubah haluan majlis dengan memperkatakan mengenai jasa-jasa dan kebaikan yang dilakukan oleh al-Ustaz. Langsung beliau tidak membangkitkan apa-apa mengenai keburukan si mati. Memang begitulah yang disarankan oleh Rasulullah SAW.

Sejak mengenali Maulana Muhammad Ilyas, Maulana Abul Hasan menjadi sangat tertarik dengan usaha dakwah yang dilakukannya. Beliau kagum melihat bagaimana penduduk Mewat yang terkenal sebagai kejam dan ganas seperti Arab Badwi itu akhirnya berubah menjadi Muslim yang soleh. Bukan sekadar itu, malahan Maulana Muhammad Ilyas telah merekrut mereka menjadi pendakwah yang dihantar ke seluruh dunia. Justeru, Maulana Abul Hasan beranggapan dakwah cara ini adalah sangat praktikal dan menepati cara Rasulullah SAW.

~JOM KITA SHARE~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge