MENGAPA MAHARAJA AURANGZEB MENGURUNG SHAH JAHAN?

mujaddiddariIndia_front

 

Menyedari bahaya yang mungkin timbul akibat kelemahan ayahnya, Aurangzeb iaitu putera Shah Jahan telah ‘mengurung’ ayahnya di Red Fort. Para orientalis telah memutar belitkan tindakan ini dan menuduh tindakan Aurangzeb sebagai kejam. Hakikatnya, Aurangzeb memberi layanan yang baik terhadap ayahnya dengan menjaga kebajikan dan keselamatannya. Setiap keinginan Shah Jahan dipenuhi dan Aurangzeb turut menyediakan seorang guru agama bernama Syaikh Muhammad al-Hasani untuk mengajar agama kepada ayahnya. Di sisi ayahnya juga terdapat adik perempuan Aurangzeb yang setia menjaganya iaitu Jehan Ara.

Tindakan inilah yang disifatkan oleh Prof. Hamka, “Jika berlaku kejam, itu adalah kerana cinta kepada agama semata-mata.” (Sejarah Umat Islam, Prof. Hamka)

Tidak seperti saudara Aurangzeb yang lain, Aurangzeb bersikap keras terhadap golongan Syiah dan Hindu. Ketika dilantik menjadi Gabenor di Deccan pada usia 18 tahun, Aurangzeb menunjukkan penentangannya terhadap aliran Syiah yang dianuti oleh kerajaan Bijapur. Pada zaman itu, terdapat dua buah kerajaan yang tidak mengiktiraf kerajaan Mughal iaitu kerajaan Bijapur dan Golkanda. Keadaan ini memaksa Aurangzeb menjatuhkan Raja Bijapur. Namun, disebabkan kebimbangan Shah Jahan terhadap kemaraan Aurangzeb, beliau memecat puteranya itu. Namun, jawatan sebagai gabenor Deccan dikembalikan beberapa tahun selepas itu.

Sekembalinya Aurangzeb ke Deccan, beliau menyusun semula pentadbiran dan menyusun sumber pendapatan sehingga Deccan muncul sebagai sebuah wilayah yang kaya raya. Beliau juga turut menguatkan barisan ketenteraan untuk meluaskan wilayahnya. Namun, sampailah khabar angin ke telinga Shah Jahan bahawa Aurangzeb mahu mendirikan kerajaan sendiri dan tidak mahu mengiktiraf kerajaan ayahnya. Fitnah itu dibawa oleh golongan Hindu dari suku Maratha yang tidak berpuas hati dengan penguasaan Aurangzeb di Deccan. Disebabkan faktor-faktor inilah, Aurangzeb terpaksa ‘mengurung’ ayahnya daripada mendapat apa-apa berita daripada musuh yang mahu memecah-belahkan keluarga mereka. Sehinggakan, musuh-musuh Aurangzeb menganggap beliau sebagai anak raja yang gila kuasa.

Para pengkaji sejarah kurang melihat kebaikan dan maksud tersembunyi daripada tindakan-tindakan Aurangzeb. Mereka tidak melihat bagaimana saudara-saudara Aurangzeb yang lain sangat liberal terhadap hal akidah, bidaah dan khurafat yang berleluasa sejak zaman Akhbar Khan. Bagi Aurangzeb yang berakidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, segala bentuk bidaah, khurafat termasuk ajaran Syiah dan Deen Ilahi perlu dihapuskan dan penganut Islam perlu kembali ke jalan yang sepatutnya.

Namun, apabila manusia tidak memahami kebenaran, mereka menganggap tindakan Aurangzeb sebagai keras dan zalim. Padahal, banyak kebaikan Aurangzeb yang digelapkan oleh ahli sejarah Barat.

Mereka lupa, ketika Aurangzeb menjadi gabenor di Deccan, beliau telah menurunkan kadar cukai yang membebankan rakyat terutama para petani. Namun, para pemimpin tempatan tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana penurunan cukai akan menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

 

Aurangzeb Menjadi Raja

Aurangreb atau nama asalnya Mahyudin Muhammad Aurangzeb menaiki takhta menggantikan Shah Jahan pada tahun 1067 H / 1658 M. Beliau memakai gelaran Alamgir yang bermaksud Pemegang Alam. Ketika itu, Shah Jahan belum meninggal dunia dan masih dalam penjara. Seperti yang dikisahkan, Aurangzeb terpaksa mengambil takhta daripada abangnya Dara Shukoh kerana abangnya itu berfahaman liberal dan mahu meneruskan penyelewengan agama yang pernah dilakukan oleh moyang mereka, Akhbar Khan. Dua orang lagi putera Shah Jahan iaitu Syuja’ dan Murad tidak layak untuk kedudukan tersebut kerana mereka gemar berfoya-foya. Memandangkan para pembesar negara juga tidak menyukai Dara Shukoh, Syuja’ dan Murad maka mereka semua bersepakat untuk melantik Aurangzeb sebagai Maharaja Mughal yang keenam. Para ulama juga menyetujui pelantikan tersebut dan mereka menyatakan sokongan secara terang-terangan.

 

PENJARA YANG MENYELAMATKAN ...

PENJARA YANG MENYELAMATKAN …

Menentang Saudara-saudaranya

Ketika ayahnya sedang sakit tenat di Delhi, Dara Shukoh sedang bersiap-siap mengambil alih takhta. Aurangzeb pula menyiapkan angkatan tentera yang besar untuk memerangi Dara Shukoh. Dengan sokongan daripada para pembesar, ulama dan rakyat jelata, beliau kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Mughal yang keenam di Agra. Setelah pengisytiharan tersebut, Aurangzeb terus melancarkan peperangan terhadap ketiga-tiga orang saudaranya satu persatu.

Mulanya, Aurangzeb telah berpakat dengan adik bongsunya Murad untuk mengalahkan Dara Shukoh dalam satu peperangan di Samugarh pada tahun 1067 H / 1658 M. Dara Syukoh kalah dalam peperangan itu lalu melarikan diri dan bersembunyi sehingga tidak dapat dikesan. Kemudian, Aurangzeb memenjarakan Murad kerana adiknya itu seorang yang pemabuk dan suka mengikut hawa nafsu.

Kemudian, Aurangzeb meneruskan penentangan terhadap Syuja’ yang juga seorang pemabuk dan gemar berfoya-foya. Maka, berlakulah pertempuran di Khajwah, berhampiran Allahabad pada tahun 1068 H / 1659 M. Setelah dikalahkan, Syuja’ melarikan diri sehingga dikatakan dia lari sampai ke Burma. Tiada lagi berita mengenainya selepas itu.

Tidak lama kemudian, Dara Syukoh keluar dari tempat persembunyiannya untuk menentang Aurangzeb. Walaupun bergabung dengan Gabenor Gujerat, Dara Syukoh tetap dapat dikalahkan oleh Aurangzeb sehingga dia terpaksa dipenjarakan lalu dikenakan hukuman mati. Dua tahun kemudian, Murad pula melakukan pembunuhan tanpa hak dan Aurangzeb terpaksa menjatuhkan hukuman mati ke atas Murad.

 

Pandangan Islam terhadap Aurangzeb

Di sisi pengkaji sejarah Islam, Aurangzeb dilihat sebagai pemerintah Islam yang berusaha menghidupkan kembali Islam sebagai asas pemerintahan serta menyebarluaskan dakwah ke seluruh India. Beliau mengembangkan institusi-institusi Islam seperti masjid, madrasah dan sekolah-sekolah agama di seluruh India. Kesan-kesan liberal dalam agama yang dibawa oleh Akhbar Khan dihapuskan sedikit demi sedikit serta mengawal pembinaan kuil Hindu yang tidak mendapat kebenaran.

Aurangzeb adalah seorang pemerintah yang warak serta suka mendampingi ulama dan menjadikan mereka pusat rujukan dalam pentadbirannya. Tidak seperti raja Mughal lain yang hidup dalam kemewahan, Aurangzeb memilih untuk hidup dalam kesederhanaan. Beliau juga mencintai ilmu, suka membaca dan mempunyai ilmu yang mendalam berkaitan Fiqh mazhab Hanafi. Pada zaman beliau, para ulama diminta membukukan fatwa yang kemudian dikenali sebagai Fatwa Alamgiri. Alamgir adalah gelaran bagi Aurangzeb yang membawa maksud ‘Penguasa Alam’.

Beliau juga melarang penjualan minuman keras secara terbuka, perayaan dan hiburan yang berlebihan di istana dan mengambil semula masjid-masjid yang dijadikan kuil oleh penganut Hindu. Inilah antara sebab Aurangzeb tidak disukai oleh penganut Hindu.

Selain itu, Aurangzeb cuba menyingkirkan pengaruah kaum Rajput dalam istana yang kebanyakan mereka beragama Hindu. Sejak zaman Akhbar Khan, kaum Rajput mendapat kedudukan istimewa dalam kerajaan Mughal sehingga pengaruh mereka sedikit sebanyak telah menggalakkan lagi liberalisasi agama. Berbeza dengan Akhbar Khan yang meletakkan Rajput pada kedudukan yang istimewa disebabkan isterinya berasal dari kaum Rajput, Aurangzeb pula cuba menjauhi mereka. Beliau mengenakan kembali jizyah ke atas kaum Rajput yang beragama Hindu seperti mana yang dikehendaki dalam agama Islam.

Pada tahun 1678, Aurangzeb telah menyelamatkan janda dan anak Raja Jaswant Singh yang tewas dalam pertempuran. Aurangzeb mengasuh mereka dengan ajaran Islam dan tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati kaum Rajput. Mereka bertindak menyerang Aurangzeb sehingga memaksa beliau menandatangani perjanjian keamananan dengan mereka. Dalam perjanjian itu, kaum tersebut dibebaskan daripada kewajipan membayar jizyah.

Selain Rajput, Aurangzeb juga ditentang oleh kaum Maratha yang diketuai oleh Sivaji. Mereka mahu menggulingkan kerajaan Mughal untuk mendirikan kerajaan Maratha. Meskipun tidak berjaya menguasai India, Sivaji berhasil mendirikan kerajaan Maratha di Surat pada tahun 1664.

Aurangzeb turut menerima tentangan daripada kaum Sikh dan ancaman bangsa Afghan sehingga mengheret beliau ke dalam kancah peperangan yang tidak henti-henti meskipun beliau sudah berusia 80 tahun. Pelbagai mehnah dan tribulasi terpaksa dihadapi oleh beliau demi memastikan agama Islam dilaksanakan dalam pemerintahannya sehinggalah beliau kembali ke rahmat Allah pada tahun 1707. Maka pergilah seorang raja yang sanggup berkorban seluruh kehidupannya demi agama. Semoga beliau dirahmati Allah SWT.

 

Rumusan

Orientalis Barat seringkali menenggelamkan nama Aurangzeb di belakang nama Akhbar Khan. Mereka terlalu mengagung-agungkan Akhbar Khan yang dianggap cemerlang dalam pemerintahannya. Anggapan mereka itu hanya berdasarkan faktor fizikal dan keduniaan. Namun, hakikat yang sebenar, Akhbar Khan adalah pemerintah yang merosakkan agama Islam.

Mujurlah setelah berakhirnya zaman Akhbar Khan, empayar Moghul mendapat pemerintah yang baharu iaitu Jahangir yang dilihat membantu usaha Syaikh Ahmad Sirhindi membetulkan keadaan agama dan umat Islam. Pada mulanya, golongan Syiah dalam istana menaruh rasa tidak puas hati terhadap reformasi yang didendangkan oleh Syaikh Ahmad Sirhindi. Lalu, mereka menghasut Jahangir untuk menangkapnya. Namun, Allah SWT telah menukarkan hati Jahangir yang benci menjadi cinta.

Mungkin dalam entri yang lain dapat saya kongsikan kisahnya …

SHARE … KEEP IN TOUCH

mujaddiddariIndia_back

 

Dapatkan kedua-dua buku ini pada harga RM 40 (semenanjung) dan RM 44 (sabah/sarawak). Harga termasuk pos.

Whatsapp 019-4702839

 

dua2

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge