Novel: Saya Tunggu Awak Memang Best!



PROLOG

“Assalamualaikum, ustazah. Boleh saya jumpa sekejap?” Satu suara yang sangat dikenalinya menyapa. Hanna menoleh. Pintu bonet belakang keretanya ditutup perlahan.

“Waalaikumussalam. Ya Rafiq? Ada apa?” balas Hanna sambil tersenyum tawar. Patutlah Rafiq tidak mahu bertemunya di dewan kuliah tadi. Rupa-rupanya mahu berjumpa secara peribadi.

“Ustazah tiba-tiba tarik diri daripada mengajar kami, adakah saya puncanya? Ustazah memang sengaja nak jauhkan diri dari saya bukan?” Rafiq terus mengutarakan persoalan yang mengganggu fikirannya dari tadi.

Hanna tunduk. Soalan itu sebenarnya menuntut jawapan yang terlalu bersifat peribadi. Dia tidak mahu menjawabnya, tetapi dia tahu Rafiq akan terus bertanya selagi tidak mendapat jawapan yang dapat memuaskan hati. Lama juga Hanna terdiam, mencari-cari penjelasan yang sesuai.

“Tak. Bukan sebab awak, Rafiq. Tapi sebab Allah.” Akhirnya terkeluar juga kalimah-kalimah hakiki daripada mulut kaunselor muda itu.

“Sebab Allah? Saya tak faham.” Seperti dijangka, Rafiq terus menyoal. Hanna tersenyum lagi.

“Lepas apa yang dah berlaku, saya rasa lebih baik kalau saya jauhkan diri dari awak. Bukan sebab benci. Tapi itulah keputusan yang sebaik-baiknya. Kalau betul awak jatuh cinta, saya akan cuba bantu awak lupakan saya,” ulas Hanna cuba berterus terang. Namun hanya dia yang tahu, jarak yang cuba dibinanya itu bukan untuk Rafiq sahaja, malah untuk membenteng perasaan dan dirinya juga. Dia tidak mahu lebih jauh terlibat. Dia tidak mahu hatinya terjerat! Kekeliruan perasaan yang mengganggunya ini membuatkan dia sangat penat!

“Lupakan ustazah? Tak akan! Mustahil saya boleh lupa pada satu-satunya wanita yang berjaya buat saya jatuh cinta!” Ketegasan Rafiq sewaktu menuturkan kata-kata itu membuatkan Hanna terasa semakin tertekan. Dia tidak mahu lagi membicarakan sebarang soal yang melibatkan hati dan perasaan.

“Boleh tak awak berhenti mengarut, Rafiq? Saya tak suka nak dengar! Saya tak berminat dengan semua ni! Awak faham tak?” bentak Hanna dengan suara yang tinggi.

“Saya tak mengarut. Saya cuma beritahu apa yang saya rasa. Saya jujur pada diri saya sendiri. Ustazah yang cuba putar belit keadaan. Cuba nak sembunyikan apa yang ustazah rasa. Betul bukan? Ustazah pun cintakan saya? Selalu teringatkan saya? Saya boleh rasakannya!” Kata-kata Rafiq itu membuatkan Hanna tersentak. Dia tidak sangka Rafiq berani menuturkan kata-kata seperti itu.

“Astaghfirullahal ‘azim. Awak memang sakit, Rafiq! Awak dah gila tahu, tak? Saya ini ustazah awak! Kalau awak tak ada rasa malu pada saya, awak perlu malu pada Allah! Awak orang baik-baik. Orang ada ilmu. Awak tahu semua hukum-hakam. Kenapa nak cakap yang bukan-bukan macam ini? Ingat Allah, Rafiq! Mengucap banyak-banyak!” ujar Hanna dengan nada suara yang sangat tegas.

Rafiq terdiam seketika mendengar nama Allah disebut. Pandangannya ditundukkan. Tidak sanggup rasanya ingin bertentang mata dengan Hanna. Dia tiba-tiba terasa malu dengan tindakan dan kata-katanya tadi. Barangkali dia terlalu takut kehilangan Hanna hinggakan dia gagal mengawal emosinya sendiri. Ya Allah! Apa dah jadi? Kenapa hatinya begitu berkecamuk seperti ini? Rafiq meraup rambutnya berkali-kali. Resah benar dia.

“Boleh tak awak ke tepi sikit. Saya nak masuk ni. This conversation is over!” Sekali lagi Hanna cuba berlagak tegas meminta Rafiq beredar daripada bersandar pada pintu keretanya. Mendengar permintaan Hanna yang agak keras itu, Rafiq mengangkat semula kepalanya lalu memandang tepat ke wajah Hanna. Pandangan mereka bertakup beberapa ketika.

“Ustazah bencikan saya?” soalnya. Hanna menarik nafas lagi. Dia cuba bertegas untuk mendepani situasi ini namun nada suara Rafiq yang sayu itu benar-benar menyentuh hati wanitanya. Hanna berasa serba salah pula.

“Rafiq, saya kenal awak hampir dua tahun. Saya tahu awak baik orangnya, dan ya, saya mengaku yang saya sayangkan awak. Cuma awak perlu ingat, sayang saya tak lebih daripada seorang guru pada muridnya, seperti sayang seorang Muslim kepada rakan seperjuangannya. Cuma setakat itu, Rafiq! Saya harap awak cukup jelas sekarang.” Rafiq memejamkan mata. Tidak lebih daripada seorang guru pada muridnya? Jawapan Hanna itu umpama kaca yang merobek hatinya. Namun dia tahu itulah kebenaran yang terpaksa dia telan.

“Kalau betul ustazah tak ada perasaan istimewa pada saya, kenapa perlu jauhkan diri? Kenapa sampai perlu tarik diri daripada mengajar kuliah. Kalau Ustazah tak suka saya, janganlah sampai kawan-kawan yang lain pun turut sama menjadi mangsa,” protes Rafiq. Dia masih berharap Hanna akan mengubah keputusannya. Dia masih berharap agar pensyarah berwibawa itu masih sudi mengajar mereka. Jika tidak kerana mulutnya yang terlalu lancang meluahkan isi hati, tentu Hanna masih ingin mengajar mereka lagi. Namun sekarang, dia terpaksa akur pada kesilapannya sendiri. Nasi sudah menjadi bubur. Silap dia kerana terburu-buru cuba mencatur.

“Rafiq, awak tahu tak? Kita tak akan lemas jika terjatuh ke air yang dalam, tapi kita akan lemas kalau terus berada di dalamnya. Awak faham apa maksudnya? Ia umpama pesanan Nabi agar menjaga pandangan. Terlihat yang haram untuk kali pertama adalah satu kesilapan yang dimaafkan. Namun mengulangi kesilapan yang sama adalah dianggap sengaja mengundang kemurkaan Tuhan.

“Memang betul, Rafiq. Rasa kasih, rasa sayang, rasa cinta semuanya daripada Allah. Namun ujian perasaan sangat mudah terjatuh ke dalam tipu daya syaitan. Jika kita tahu di situ sudah ada bahaya yang menanti, jangan terlalu yakin pada kemampuan kita sendiri. Kita harus cuba untuk lari daripada situasi yang boleh menjerat diri kita sendiri. Malu jadi orang berilmu kalau nak lulus ujian macam ni pun kita tak mampu!” tegas Hanna lagi. Dia lihat Rafiq mengerutkan keningnya. Seperti ada rasa tidak puas hati yang mahu diluahkan oleh lelaki itu.

“Saya faham, ustazah! Saya dah cuba sedaya upaya saya untuk buang perasaan ni. Tapi makin saya cuba lupa, makin teringat. Makin saya cuba menjauh, terasa makin dekat. Saya buntu, ustazah!” luah Rafiq lagi.

“Masya-Allah, letihnya saya nak bercakap tentang perkara ni! Listen to me, Rafiq! I’m married, okay? Saya ada suami yang sangat baik dan cintakan saya. Saya juga ada anak-anak yang sangat memerlukan ibu bapanya. Kalau pun awak betul-betul sukakan saya, dan saya pun betul-betul sukakan awak, lalu apa? Awak nak kita bercinta? Awak nak suruh saya bercerai dengan suami saya? Atau awak nak saya diam-diam curang terhadap dia? Tell me, Rafiq! Apa yang awak harap sebenarnya?”

Tinggi nada suara Hanna menyindir lelaki yang sedang tercegat di hadapannya. Hanna tidak mahu berbincang panjang lebar tentang perkara itu lagi. Dia mahu meletakkan tanda noktah sahaja pada perasaan Rafiq, sekali gus menjadi noktah juga pada perasaan keliru yang sedang membelenggunya. Bukan Rafiq sahaja terpaksa bertarung dengan ujian ini, malah dia juga sudah terlibat sama. Hanna tidak sanggup meneruskannya lagi.

“Sudahlah Rafiq! Jangan keruhkan lagi keadaan. Saya cuma ingin buat perkara yang betul dan saya harap awak boleh bantu saya. Saya bukan benci awak. Sungguh, saya betul-betul sayangkan awak, Rafiq. Tapi sayang saya sekadar sayang seorang sahabat seperjuangan yang sama-sama mahu berjuang untuk dakwah. Saya sayangkan awak kerana Allah. Kalau betul awak sayangkan saya, jangan jadikan saya isteri yang derhaka. Kalau betul awak cintakan saya, jangan hantar saya ke pintu neraka. Tolonglah!” Hanna hampir menangis sewaktu menuturkan kata-kata itu. Dia dan Rafiq tidak pernah bercinta namun rasa sakit yang dirasainya ketika itu seperti seseorang yang baru sahaja putus cinta. Masya-Allah! Betapa peritnya!

“Hanna … .” Lemah sahaja suara Rafiq memanggil wanita yang sedang bertakhta di hatinya itu. Melihat wajah Hanna yang sudah pun merah menahan tangis itu membuatkan dia gagal meneruskan kata-katanya. Jauh di sudut hati, dia harus mengakui kebenaran yang diketengahkan oleh Hanna. Kebenaran yang sudah diketahuinya selama ini namun sengaja dia butakan hati gara-gara hanyut melayan perasaan sendiri. Dia benci apabila Maria curang terhadapnya, tapi rupa-rupanya tanpa sedar, dia sendiri sedang cuba menjuruskan Hanna pula ke jalan yang sama. Betapa jahatnya dia! Astaghfirullahal ‘azim. Rafiq mengeluh perlahan. Hatinya terbuku dengan sikap dan kebodohannya sendiri.

“Maafkan saya, Rafiq. Saya terpaksa pergi sekarang. Cubalah pujuk hati awak agar lupakan saya. Cuba sibukkan diri. Dekatkan diri pada Allah. Mungkin sekarang, hati awak rasa terseksa, tapi awak perlu yakin satu perkara. Setiap ujian ada tempoh tamatnya, Rafiq. Semua ni akan berlalu juga. Kuatkan hati awak. Saya doakan satu hari nanti hubungan antara kita akan kembali normal dan formal macam biasa. Saya harap awak akan kembali memandang saya macam seorang cikgu yang berkongsi ilmu. Tak lebih daripada itu. Take your time, Rafiq! Time is all you need.”

Hanna menyuarakan hasratnya perlahan. Nada suara yang sinis dan tegas sebelum ini sudah bertukar menjadi lebih lembut dan memujuk. Seboleh mungkin dia cuba menyeimbangkan suasana. Dia perlu membuat Rafiq faham dan mengikut keputusannya, namun dalam masa yang sama, dia cuba untuk tidak berkasar pula. Dia tidak mahu hati Rafiq kian terluka dengan kata-katanya. Kasihan lelaki sebaik itu.

“Saya faham, Hanna. Saya minta maaf sebab jauh sangat saya libatkan awak dengan perasaan saya. Betul cakap awak. Memang tidak ada pilihan lain. Inilah yang terbaik untuk saya. Semoga Allah redha.” Suara sayu Rafiq mengakhiri pertemuan mereka. Tanpa diminta, lelaki itu mula melangkah meninggalkan Hanna di sisi keretanya. Air mata Hanna mengalir laju mengiringi pemergian Rafiq. Entah kenapa, dia begitu terkesan dengan perpisahan itu. Hatinya diselubungi rasa sebak yang teramat sangat. Di dalam kereta, Hanna mula menangis teresak-esak.

***
Rasulullah SAW telah bersabda, mafhumnya:

Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hendak mencari keredhaan manusia, Allah akan memurkainya dan Allah akan menjadikan setiap yang diredhainya itu benci terhadapnya.

Dan orang yang mencari keredhaan Allah, walaupun dibenci oleh manusia nescaya Allah akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu redha terhadapnya sehingga keredhaan Allah itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya, nescaya ia mendapat perhatian Allah.

(Riwayat at-Tabrani)


***

BAB 1

“Ada apa-apa soalan lagi?” kata-katanya terhenti seketika sambil matanya meliar memandang seisi kuliah. Tiada respons. “Baiklah. Kalau tak ada apa-apa, kita berhenti di sini. See you all next week, Insya-Allah. Assalamualaikum.”

Sebaik sahaja Hanna menamatkan kuliahnya pagi itu, serentak kedengaran bunyi hingar-bingar pelajar-pelajar bangun dari kerusi masing-masing. Ada yang terus menderu ke pintu keluar. Ada pula yang bergegas ke pentas mengerumuni Hanna, bertanyakan pelbagai persoalan yang segan hendak ditanyakan di khalayak ramai tadi.

“Ustazah, tentang projek kursus semester ni, AJK program dah berbincang. Kami bercadang nak anjurkan satu seminar. Kita buat pengajian sistem pondok macam zaman dulu. Tapi kita buat jangka pendeklah. Mungkin dalam seminggu dua. Maknanya, peserta cuba menghabiskan pemahaman daripada sesuatu kitab sepanjang tempoh seminar tu. Apa pendapat Ustazah?”

Rafiq, ketua kursus Pengajian Islam Eksekutif, yang dianjurkan oleh Universiti Al-Quran Malaysia atau UAM yang dijalankan secara separuh masa itu mula bersuara. Tatkala itu, pelajar-pelajar lain semakin beransur-ansur meninggalkan meja Hanna. Suasana bilik kuliah mulai tenang. Kini hanya tinggal Hanna dan tiga orang AJK kuliah itu sahaja. Rafiq adalah ketuanya, manakala Safiah dan Amir adalah timbalan bersama.

“Pengajian sistem pondok? Maksud awak bagaimana? Saya tak berapa jelas lagi dengan idea ni.” Hanna mengerutkan keningnya. Wajah seorang demi seorang pelajar kuliah eksekutif yang berada di hadapannya itu direnungnya sekilas. Dia menjangkakan mereka mungkin lebih berusia daripadanya atau setidak-tidaknya mungkin sebaya. Maklumlah pelajar separuh masa, rata-ratanya sudah mempunyai kerjaya masing-masing. Kebanyakan pelajarnya sekadar mengikuti program ini untuk menambah kelayakan akademik untuk tujuan kenaikan pangkat atau mungkin menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mendapatkan kerjaya yang lebih baik.

“Begini, Ustazah. Dalam sistem pengajian pondok zaman dulu, biasanya mereka mengaji menggunakan kitab khusus. Tok guru akan mengajar satu kitab sampai habis, barulah disambung kitab yang lain pula. Kadang-kadang sampai bertahun-tahun. Maklumlah, sekali perjumpaan biasanya belajar sekadar satu atau dua jam sahaja. Itu pun mungkin seminggu atau sebulan sekali. Tapi menerusi program yang nak kita buat ni, kalau belajar lima hingga enam jam sehari macam waktu pejabat, mungkin tempoh masa pengajian dapat disingkatkan. Silap-silap mungkin seminggu saja dah selesai mutalaah ilmu daripada sesuatu kitab tu,” sampuk Safiah menerangkannya dengan panjang lebar.

Hanna mengangguk perlahan. Hatinya tertarik dengan cadangan mereka. Okey, dia sudah dapat menangkap ideanya. Pengajian kilat atau kuliah ekspres? Hmm..betul juga. Zaman sekarang, semua orang mahu cepat. Dalam kesibukan dengan kerjaya, sebenarnya masih ramai orang awam di luar sana yang mahu menambah ilmu agama. Namun, kebanyakan mereka menghadapi masalah kekangan masa. Jika diatur dengan baik, mungkin mereka boleh memohon cuti untuk memberi tumpuan pada pengisian jiwa sekali-sekala. Boleh tahan juga cadangan pelajar-pelajarnya.

“Secara ringkasnya, cadangan kami begini, Ustazah. Kita pilih satu kitab yang popular. Kemudian, kita jemput seorang penceramah yang berpengalaman mengajar kitab itu hingga tamat,” tambah Amir, sekadar mengulang apa-apa yang dikatakan oleh Safiah tetapi disampaikan penuh semangat. Hanna tersenyum melihat keterujaannya.

“Okey, saya setuju! Cadangan yang bernas. Tahun lepas, pelajar saya ada membuat persembahan teater Islam tentang perjuangan Rasullullah. Tahun ini, kalau kita anjurkan seminar dengan konsep yang awak semua cadangkan, bermakna ada kelainannya dan mungkin lebih banyak manfaatnya. Sangat menarik! Oh, ya Rafiq! Sudahkah awak semua berbincang nak buat seminar pengajian tentang kitab apa?”

Hanna menghalakan pandangannya kepada Rafiq, ketua kuliah itu. Walaupun dia yakin dari segi umur, Rafiq sebenarnya lebih tua beberapa tahun daripadanya. Namun seperti biasa tiada gelaran hormat seperti abang, encik atau tuan yang digunakan untuk memanggil pelajar-pelajarnya. Hanna lebih selesa memanggil nama mereka sahaja. Selaras.

“Kitab Bidayatul Hidayah, karangan Imam al-Ghazali. Ustazah rasa bagaimana? Sesuai tak? Kitabnya pun tak tebal, bukan? Kalau kita fokus pengajian lebih kurang enam jam sehari, saya menjangkakan bahawa lima hari pun boleh tamat pengajiannya,” jawab Rafiq penuh yakin.

Hanna tersentak mendengar cadangan tersebut. Bidayatul Hidayah? Masya-Allah! Ah, kebetulan pula! Baru sahaja pagi semalam dia mendapat tugasan untuk menghuraikan kitab ini sebagai isi tambahan kepada tesis PhD yang sedang diikutinya. Subhanallah. Ini suatu peluang yang sangat baik. Kalau seminar ini diadakan, Hanna yakin dia boleh menyiapkan tesisnya dengan lebih berkualiti dan terperinci.

“Bagaimana Ustazah? Setujukah kalau kita pilih untuk mutalaah kitab tu?” Pertanyaan Safiah memutuskan lamunan Hanna.

“Eh, saya setuju sangat! Bidayatul Hidayah adalah satu kitab yang sangat bagus pengisiannya. Kitab ini disebut-sebut sebagai rumusan kepada kitab terulung Imam Al-Ghazali yang bernama Ihya’ Ulumiddin. Hebat kitab ni! Jadi rujukan ulama terdahulu dan terkemudian. Oh, ya! Untuk pemilihan penceramah, saya cadangkan awak cuba dapatkan Sheikh Shirazi al-Banjari. Dia memang pakar dalam huraian kitab ini dan pernah menulis terjemahannya ke dalam Bahasa Malaysia. Saya rasa, bagus juga kalau kita jadikan kitab terjemahannya sebagai rujukan khas sepanjang seminar tu nanti. Kalau tak silap saya, kitab terjemahan tersebut diterbitkan oleh Syurga Ilmu Publishing.” Lebar senyuman Hanna tatkala menuturkan kata-kata tersebut.

“Syurga Ilmu Publishing? Subhanallah! Itu syarikat kawan saya, Ustazah. Nanti, saya hubungi dia. Wah, senang nampaknya kerja kita!” sampuk Rafiq sambil ketawa.

“Insya-Allah, Rafiq. Kerja baik pasti Allah tolong. Cuma kena ingat, walaupun jalan bermula dah nampak, matlamat pun sudah jelas, tapi liku-likunya pasti ada.” Pesan Hanna cuba mengendurkan sedikit keterujaan mereka. Dia mahu mereka lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal melanda projek mereka itu.

“Insya-Allah, Ustazah. Kami akan harungi dengan penuh semangat. Ustazah doa-doakanlah ya! Doa Ustazah lebih mustajab daripada doa kami,” usik Safiah nakal sambil disambut gelak ketawa mereka.

“Semoga masin mulut awak, Safiah! Okeylah. Kalau tak ada apa-apa lagi, kita bersurai di sini. Rafiq, tolong maklumkan kepada saya sebarang perkembangan, ya. Awak semua ada masa sebulan sahaja dari sekarang untuk tempoh perlaksanaan projek. Jadi, jangan leka. Kalau teruk presentation awak nanti, silap-silap satu kelas dapat D!” ugut Hanna sambil bergurau.

“Jangan risau, Ustazah. Confirm A! Tengoklah siapa ketua projek yang kami pilih. Segak, hebat lagi berwibawa! High class leader!” Amir menepuk kuat belakang Rafiq menyebabkan tubuhnya terdorong sedikit ke hadapan. Hampir sahaja tubuhnya melanggar Hanna.

“Masya-Allah! Maaf Ustazah, maaf.” Rafiq mengangkat kedua-dua tangannya seperti orang menyerah diri. Dia sendiri agak panik kerana tidak menjangka tindakan Amir yang tiba-tiba sahaja menolaknya ke arah Hanna. Rafiq segera melangkah beberapa tapak ke belakang.

“Awak ni Amir! Lain kali jangan bergurau macam tu! Adab dengan guru kena sentiasa dijaga, okey! Apatah lagi gurunya perempuan. Batas-batas syariat masih tetap ada.” Merah padam muka Hanna dibuatnya. Mujurlah Rafiq tidak terlanggarnya. Hanya beberapa inci sahaja lagi wajahnya hampir bertemu dengan wajah Rafiq tadi. Dia menggeleng-geleng. Kesal.

“Maaf, Ustazah. Saya pun tak tahulah sama ada saya tolak hero kita ni terlalu kuat atau dia ni sebenarnya yang lembik sangat.” Amir masih sempat berseloroh meskipun jauh di sudut hatinya berasa sangat bersalah dan malu apabila ditegur seperti itu.

“Lembik? Huh, pandailah kau! Baling batu sembunyi tangan!” Bentak Rafiq tidak berpuas hati sambil menumbuk bahunya perlahan. Amir dan Safiah ketawa geli hati melihat perlakuan Rafiq yang keanak-anakan itu. Hanna juga kembali tersenyum.

“Okey, jumpa lagi semua. All the best with your project! Semoga berjaya.” Hanna mula mengangkat buku-bukunya dan menyandang beg tangan hitam miliknya, sedia untuk meninggalkan dewan kuliah. Safiah pantas menghulurkan tangan untuk bersalam lalu disambut mesra oleh Hanna.

“Syukran kathira, Ustazah. Assalamualaikum.” Hampir serentak ketiga-tiga pelajarnya itu bersuara mengiringi langkah Hanna yang meninggalkan mereka.

“Waalaikumussalam,” balas Hanna perlahan, sekadar didengari oleh dirinya sendiri. Dia sebenarnya masih terasa malu dengan insiden yang berlaku antara dia dengan Rafiq sebentar tadi. Namun sejurus teringat tentang Seminar Bidayatul Hidayah yang bakal dianjurkan, hatinya berbunga riang. Seminar ini dianggap peluang dan ruang yang diberi Allah untuknya. Peluang untuk dia menambah ilmu dan iman di dada. Ruang untuknya mengembangkan potensi dirinya. Hanna tersenyum-senyum sendiri.


***

“Allah akan memberi petunjuk kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenalkan-Nya kepada mereka. Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
(Muhammad: 47: 5 – 7)


ANDA MINAT NOVEL INI?


BOLEH BELI DARIPADA SAYA

RM 30 TERMASUK POS

SMS 019-4702839
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge