Novel: Khalifah

Preview Bab 1
 
Syeikh Muhammad Al-Malaisi, khalifah Darul Amal telah mendapat perkhabaran daripada ketua bahagian risikan yang telah menjelajah seluruh dunia bahawa terdapat beberapa buah negeri telah hancur akibat kesan nuklear. Tidak ada tersisa seorang pun penduduk. Di sebuah negeri yang lain, seolah-olah diterbalikkan kerana kaum di negeri itu mengamalkan homoseks. Masih terdapat sebuah negeri di sebelah Barat masih belum mendapat hidayat.
Khalifah berasa dukacita dan membuat pengisytiharan untuk menyiapkan satu jemaah bagi menyampaikan dakwah di negeri itu. Berita itu didendangkan ke seluruh pelusuk negeri oleh pengisytihar yang telah dilantik. Mana-mana rakyat yang berminat, mereka diminta menghadirkan diri di dataran tahrir untuk kesekian-sekian hari dan waktu.
Maka para pemuda, anak-anak, ibu-ibu, bapa-bapa telah datang beramai-ramai atas semangat jihad. Tauke kebun telah gadaikan kebun untuk keluar ke jalan ALLAH. Anak yang ibunya sakit ingin turut serta tetapi khalifah tidak membenarkannya. Si ibu memberikan anak kecil sebagai perisai. Isteri mengizinkan suami mereka pergi kerana ingin menjadi pemaisuri syurga. Kanak-kanak turut serta. Orang yang tua datang bertongkat, yang muda berjalan cepat, yang cacat mengesot, yang sakit ditolak. Pada zaman itu, harta mereka telah melimpah ruah. Mereka tidak lagi perlu bekerja kuat. Semua masjid penuh dengan manusia beribadat.
Khalifah meminta semua rakyatnya berdiri dan baginda mula bertitah, “Siapakah di antara kamu semua yang tidak pernah meninggalkan solat secara berjemaah semenjak baligh sila duduk.” Tiada siapa yang duduk.
            “Siapakah di antara kamu semua yang tidak pernah meninggalkan solat rawatib semenjak baligh?” Separuh duduk.
            “Siapakah di antara kamu semua yang tidak pernah meninggalkan solat tahajud sejak baligh?” Semua duduk.
            Semua mata tertumpu kepada seorang pemuda yang masih berdiri. Dia ialah putera khalifah yang sulung yang baru sahaja berumur 19 tahun tetapi telah menghafal seluruh isi Al-Quran beserta terjemahan dan semua hadis daripada 7 kitab sunan sittah sanadnya sekali.
            “Nampaknya cuma putera Iskandar sahaja yang layak memimpin jemaah ini.”
            “Tapi ayahanda, bukankah saya masih muda dan tiada pengalaman? Mengapa tidak diberi kepada orang lain yang lebih tua.”
            “Ayahanda menyukai sikap anakanda yang merendah diri. Memang pemimpin sebegini yang ayahanda cari.”
            Kemudian, khalifah memilih pula 9 orang pengiring. Masing-masing mengangkat tangan menyatakan kesediaan untuk turut berjihad.
         “Tuan, saya mempunyai seorang ibu yang sedang sakit tenat. Hanya saya yang berkhidmat kepadanya. Walaupun demikian, saya bersedia untuk turut berjihad. Adakah tuan membenarkan saya?”
            “Berkhidmatlah kepada ibumu, ia lebih utama bagi kamu,” jawab khalifah.
            Seorang wanita lalu bangun sambil mendukung bayinya. “Tuan, saya seorang wanita dan sudah tentu saya tidak layak untuk turut serta kerana saya ada mendengar Rasulullah bersabda bahawa menjaga keluarga di rumah lebih utama daripada berjihad.”
            “Ya, memang benar kata-katamu itu,” khalifah memintas.
            “Tapi saya belum mempunyai anak untuk dihantar berjihad. Bolehkah saya menyerahkan bayi ini kepada tuan untuk turut serta?” Wanita itu merayu lagi.
            “Apa yang aku boleh buat dengan bayi kecil yang baru lahir ini?” tanya khalifah.
            “Sekurang-kurangnya dia boleh menjadi perisai jika musuh melepaskan tombak, lembing atau panah!” jawab wanita itu penuh bersemangat.
            Khalifah terdiam seketika dan air mata mengalir membasahi pipi hingga janggutnya. “Saya sangat terharu dengan semangat kamu semua. Kamu semua tidak seperti nenek moyang kita yang mengutamakan dunia berbanding jihad,” tutur khalifah dalam nada yang sebak sambil mengesat air matanya.
***
***
Pasukan Jihad Muslimin telah pulang ke rumah untuk mengemaskan barang.
“Sayang, abang telah dipilih bersama jemaah dakwah untuk dihantar ke negeri Iblisia.  kata Dani kepada isterinya yang sarat mengandung sembilan bulan.
Isterinya kelihatan teruja lantas berkata, “Alhamdulillah abang, akhirnya Allah memilih abang sebagai daie. Biar saya kemaskan pakaian dan kelengkapan abang.”
“Selama abang tiada di rumah, sayang jagalah kandungan ini dengan baik. Perdengarkanlah al-Quran dan hadis-hadis kepada dia. Sayang jangan risau, bayi yang bakal lahir ini akan disambut oleh malaikat.”
“Insyaallah, abang,” jawab isterinya lalu mengemaskan barangan ke dalam beg.
“Lagi satu, selalulah berdoa semoga Allah menerima perjuangan kami dan hidayat tersebar ke seluruh alam,” pinta Dani lagi.
***
Di pasar, Haikal telah melelong beberapa ekor kambing miliknya pada harga yang murah. Dia telah diserbu dan kambing-kambing itu telah habis dijual dalam sekelip mata sahaja.
“Mengapa engkau menjual kambing-kambing itu dengan harga yang murah?” tanya rakannya, Zairi.
“Aku memerlukan sedikit bekalan untuk ke medan jihad pada esok hari. Jadi aku menjualnya dengan harga murah kerana aku memerlukan dinar segera bagi membeli pakaian dan bekalan untuk ke sana,” jelas Haikal.
“Kenapa kau tidak beritahu aku awal-awal? Nah dinar ini! Aku tidak dapat keluar kerana berkhidmat kepada ibuku. Jadi, aku infakkan dinar ini. Mudah-mudahan aku juga mendapat pahala.” kata Zairi sambil menghulurkan beberapa dinar emas kepada Haikal.
“Masyaallah! Alhamdulillah! Jazakallah!” tidak henti-henti Zairi bersyukur atas bantuan itu.
Syamil sedang bersolat di dalam masjid. Lama dia sujud seolah-olah sedang meminta sesuatu daripada Allah. Selepas memberi salam, dalam tangisan, kedengaran sayup-sayup doa Syamil, “Ya Allah, bantulah aku untuk aku membantu agama-Mu. Di negeri Iblisia, masih ada umat manusia yang tidak mentaati perintah-Mu. Aku berazam untuk berdakwah di sana tetapi aku fakir yang tiada punya keperluan apa-apa.”
Syamil tidak berganjak dari tempat solat itu. Mulutnya terkumat-kamit membaca surah Yasin yang telah dia hafal sejak berumur tujuh tahun. Tiba-tiba, bahu Syamil seperti disentuh seseorang.
“Adakah tuan bernama Syamil?” tanya seorang tua berjanggut putih dan lebat.
“Ya, saya Syamil. Ada apa, pak cik?” Syamil sedikit kehairanan mungkin kerana tidak pernah melihat orang tua itu sebelum ini.
“Pak cik telah diamanahkan oleh seseorang untuk menyampaikan bungkusan ini kepada tuan,” jawab orang tua itu sambil menghulurkan sebuah kotak kepada Syamil.
Syamil yang masih terpinga-pinga membuka kotak itu perlahan-lahan.
“Masyaallah!” jerit Syamil dengan kuat sekali. Tiba-tiba dia senyap semula.
“Tapi … siapa yang memberi kotak … ?” Belum sempat Syamil menghabiskan ayatnya itu, orang tua tadi kelihatan telah beredar dari situ. Syamil cuba mengejarnya sambil menjerit, “Pak cik! Pak cik! Tunggu dulu!.”
Orang tua itu tidak berpaling lagi dan terus hilang dalam sekelip mata sahaja.
***
Seluruh armada telah bersiap siaga dengan baju besi serta topi besi dan segak berada di atas pelana kuda. Seorang berkata kepada sahabatnya, “Seandainya bumi ini masih ada minyak, tentu kita boleh menggunakan semua jet pejuang terpantas untuk berjihad.”
            “Tiada yang kekal melainkan Allah. Nenek moyang kita dahulu berlumba-lumba mencipta pelbagai jenis jentera dan kenderaan tetapi semuanya sudah tidak boleh digunakan lagi sejak bumi ini kekeringan minyak sejak berpuluh-puluh tahun lalu.” Seorang sahabatnya mencelah.
            “Ya, betul. Orang dahulu mencipta nuklear untuk menggantikan minyak tetapi akhirnya nuklear itu meletup dan memusnahkan sebahagian bumi ini,” ujar sahabat yang memulakan bicara tadi.
            Ketika mereka sedang berbicara, datang seorang lelaki yang merupakan orang kanan khalifah lalu berkata, “Tuan putera, khalifah jatuh sakit dengan tiba-tiba.”
            “Betulkah berita yang tuan sampaikan ini?” tanya putera seolah-olah tidak percaya.
            “Ya, betul tuan. Tidak diketahui apa puncanya,” jawab lelaki itu.
            “Dengar sini semua para pejuang! Kalian semua diminta tunggu di sini sehingga saya datang. Saya ingin bertemu dengan khalifah,” ujar putera dengan nada yang kuat. Putera pun masuk ke dalam istana untuk bertemu khalifah.
            “Ayahanda, patutkah anakanda membatalkan misi ini?” tanya putera.
            “Jangan risau akan ayahanda. Allah sentiasa menjaga kita. Teruskan perjuangan ini. Di negeri sana masih ada manusia yang belum beriman. Ayahanda takut Allah akan menyalahkan kita kerana tidak menyampaikan risalah Islam kepada mereka,” jelas khalifah.
            “Tapi bagaimana anakanda mahu meninggalkan ayahanda dalam keadaan gering sebegini?” ujar putera dalam nada yang sedih.
            “Anakanda, pergilah. Allah sentiasa bersama-sama kita,” khalifah tetap dengan pendiriannya untuk menyuruh puteranya memimpin jemaah itu.
            “Baiklah ayahanda. Anakanda mohon maaf di atas semua kesalahan anakanda selama ini. Anakanda berangkat dulu.”
            Khalifah hanya mengangguk-angguk tanpa berkata sepatah pun perkataan. Dari sinar matanya, seolah-olah terpancar harapan yang menggunung. Putera terus berlari menuju kepada jemaah yang sedang menunggu. Dengan suara yang kuat putera bertempik, “Dengan lafaz bismillah, kita mulakan perjalanan kita dengan membaca doa.”
Apa pendapat anda, wajarkah saya jadikan kisah ini sebagai novel?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

4 Responses

  1. kavkiskey says:

    Wajar, membaca sekerat2 kisah2 pendek di atas mengingatkan saya mengenai kisah2 para sahabat…

  2. Ikasaharman says:

    Assalamualaikum<br />sy rasa akh khairy patut jadikan crita ni novel<br />inshaa Allah

  3. ank_ayah says:

    Ya,silakan..<br />Sungguh,mengalir air mata ini membacanya.. Subhanallah

  4. teruskan jer….lawan faisal tehrani dan konco2 syiah… mudah2han terasa nak wat perubahan bila baca citer enta…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge