Budak U 2: Back To Campus

Sinopsis:

Seorang senior, Daim yang terkandas beberapa subjek mula menyusahkan Hakimi apabila dia selalu memaksa Hakimi menyiapkan tugasan dan kerja rumahnya. Pada masa yang sama, Hakimi terpaksa bekerja sambil belajar untuk melunaskan hutangnya kepada Daim kerana Hakimi telah membeli motosikal Daim. Dugaan buat Hakimi menjadi lebih berat apabila motosikal itu telah dicuri.
    Pada masa yang sama, dilema kembali menyapa Hakimi berkenaan Citra. Dia mengesyaki sesuatu tentang Citra. Siapakah Citra yang sebenarnya? Adakah Hakimi berjaya mendapatkan motosikal baharu idamannya? Adakah dia akan terus membiarkan Daim membulinya?

_____________________

BACK TO CAMPUS adalah siri kedua trilogi ‘Budak U’ yang memaparkan suka dan duka perjalanan beberapa orang pelajar universiti. Novel berilustrasi hasil nukilan Khairy Tajudin ini mendapat sentuhan grafik daripada Faris Mohd Hazmin yang pernah bergandingan untuk novel Budak Komik dan Budak U: Langkah Pertama. Trilogi Budak U patut dibaca oleh semua pelajar sekolah menengah yang ingin tahu kehidupan sebenar pelajar universiti dan juga buat lepasan universiti yang ingin mengimbas kembali nostalgia lama.

Siri ini juga memberi pelbagai tip menarik kepada siswa dan siswi untuk berdikari di menara gading. Nantikan siri terakhirnya selepas ini!

GB0197
ISBN: 978-983-097-391-3
NO. BARKOD: 9 789830 973913
Harga: RM 13.00 (tidak termasuk pos)
Tebal: 248 ms

*Jika berminat untuk mendapatkannya terus daripada penulis melalui pos, cuma tambah RM 2 untuk setem.


Episod 1: Back To Campus
Keriangan mewarnai sebuah bilik kuliah di tingkat tiga Menara Kejuruteraan. Setiap pelajar berbual-bual mengenai pelbagai perkara sementara menunggu kehadiran pensyarah. Maklumlah, sudah lama tidak berjumpa sejak bercuti semester lepas.
            Dengan wajah yang muram dan rambut yang kusut masai, aku melangkahkan kaki masuk ke dalam bilik kuliah. Baju tidak sempat diseterika dan sekadar memakai selipar buatan Jepun. Aku tercungap-cungap kepenatan kerana terpaksa berjalan kaki dari kolej dan memanjat menara berkembar yang megah berdiri.
            “Kawan-kawan, jom kita balik! Pensyarah sudah lewat lima belas minit. Secara automatik kelas pada pagi ini terbatal!” Fauzan yang berbadan sasa seperti pemain ragbi, berwajah hitam manis dan berambut kemas membuat pengumuman selaku ketua kelas.
            “Eh, kamu semua hendak ke mana? Aku baru sahaja sampai!” Aku terpinga-pinga apabila ada beberapa orang rakan sekelas sudah berkira-kira untuk keluar dari kelas itu.
            “Keluarlah. Kelas batal. Mengapa kau lambat?” soal Sharfiz yang berambut kerinting dan kurus melidi.
            “Bukannya kau tidak tahu, jarak dari kolej ke sini jauh. Rafizal pun bukannya hendak tunggu aku untuk tumpangkan motor.” Aku menjeling ke arah Rafizal yang masih duduk.
            “Kau yang bangun lambat. Mana boleh tunggu lama-lama.” Rafizal menjawab.
            “Ah, sudahlah! Macam inikah kawan?” Aku agak marah kepada Rafizal yang tidak menunggu aku. Selalunya aku membonceng motosikal Rafizal untuk ke kelas setiap hari. Tapi, entah bagaimana, pagi ini aku terbabas, bangun lewat.
            Perbualan kami di muka pintu ditamatkan apabila pensyarah yang disegani, Dr. Asri menampakkan kelibatnya. Semua pelajar meluru masuk dan mengambil tempat masing-masing.
            “Maaflah, hari ini lewat sedikit,” ujar Dr. Asri.
            Ketika kami semua menunggu Dr. Asri mengeluarkan bahan pengajarannya, seorang lagi pelajar yang tidak kami kenali memasuki kelas dengan kelam kabut bagaikan rusa masuk kampung. Seluruh isi kelas memandang pelajar lelaki itu. Sungguh, kami tidak mengenalinya. Dia bukan pelajar kelas ini.
            “Siapa budak ini?” Aku bertanya Sharfiz yang duduk di sebelah aku.
            “Entah. Senior agaknya.”
            “Mengapa dia masuk sini?”
            Repeat paper!
            Aku megembalikan perhatian kepada Dr. Asri yang mula menulis sesuatu di papan putih. Beberapa minit kemudian, dia memandang kami seorang demi seorang sebelum mula bercakap.
            “Untuk pengetahuan kamu sekalian, sebenarnya subjek Lukisan Teknik ini tidaklah sukar sangat. Jika kamu boleh hadir ke setiap kali kuliah dan tutorial, menghantar setiap tugasan dan menjawab dengan baik untuk setiap kali ujian dan peperiksaaan, kamu akan lulus. Insya-Allah.”
            Kami mengangguk dan memahami setiap butiran kata Dr. Asri. Kemudian, dia meneruskan lagi.
            “Tapi, jika kamu malas dan tidak melakukan tiga perkara tadi maka nasib kamu mungkin sama seperti Daim.” Dr. Asri mencerlung ke arah pelajar lelaki yang baru masuk tadi. Kami juga memandang ke arahnya. Barulah kami tahu pelajar lelaki tadi bernama Daim. Dia tersengih seperti kerang busuk.
            Dr. Asri bukan sekadar pensyarah kami bagi subjek tersebut malahan dia juga merupakan Koordinator Pengajian Diploma. Segala data pencapaian kami ada dalam simpanan failnya.
            “Saya mendapat tahu, enam orang daripada kamu mendapat Anugerah Dekan pada semester lepas. Boleh angkat tangan, sesiapa yang berkenaan?”
            Kami saling berpandangan. Tiada siapa yang mahu mengangkat tangan padahal kami sudah tahu siapakah enam orang rakan kami yang mendapat CGPA melebihi 3.5. Di UiTM, seseorang yang mendapat CGPA 3.5 dan ke atas akan dikurniakan Anugerah Dekan.
            “Mengapa kamu semua segan? Saya cuma hendak tahu saja. Sila angkat tangan, siapa yang dapat Anugerah Dekan semester lepas!” kata Dr. Asri sambil tersenyum.
            Khairul, Sharfiz, Fakrul dan dua lagi rakan kami mengangkat tangan.
            “Eh, baru lima orang. Mana seorang lagi?”
            Kemudian, barulah aku mengangkat tangan dengan wajah tunduk ke bawah. Sebenarnya aku malu jika Dr. Asri melihat keserabutan rambut dan pakaian aku. Mungkin dia tidak percaya pelajar yang berserabut seperti aku mendapat Anugerah Dekan.
***
SEJURUS kelas selesai, aku dan rakan-rakan berkira-kira untuk keluar ke Seksyen 7. Senggang masa kuliah yang seterusnya ialah satu jam. Kami menggunakan kesenggangan masa itu untuk menikmati roti canai di kedai mamak.
            Sebelum aku melangkah keluar, Daim yang berbadan sasa persis ahli bina badan menarik tangan aku dan berkata, “Eh, berikan aku nombor fon kau!”
            “Abang hendak buat apa?”
            “Ish. Kau ini! Janganlah panggil aku ‘abang’. Gelilah! Panggil Daim saja, cukup! Berikan aku nombor fon kau. Bukan apa, senang aku hendak bertanya kau apa-apa nanti.”
            Aku tidak berfikir panjang. Lantas, aku memberikan nombor fon aku kepadanya. Kemudian, aku menyuruh dia membuat panggilan pendek supaya aku juga dapat menyimpan nombor dia.
            “Bagus. Selepas ini, aku hendak berguru dengan kau,” kata Daim.
            “Sepatutnya, saya yang perlu berguru dengan ‘abang’ Daim sebab abang senior. Ops! Silap. Bukan ‘abang Daim’ tetapi Daim. Hehe!”
            “Lagi satu, aku tidak suka kau guna perkataan ‘saya’. Kau cakap guna perkataan ‘aku’ saja. Tidak perlu hendak skema. Kita bukan budak sekolah!”
            “Okey Daim! Aku hendak bersarapan dulu. Jumpa lagi. Assalamualaikum.”
***
“BOLEH kau bagi tips untuk aku, bagaimana kau boleh skor Anugerah Dekan?” soal Rafizal tatkala dia melihat slip keputusan peperiksaan aku semester lepas ketika di dalam bilik kolej. Bilik Rafizal bersebelahan dengan bilik aku.
            “Pertama sekali, letakkan sasaran. Kedua, manfaatkan semua kekuatan dan peluang yang ada. Ketiga, baiki kelemahan dan yang keempat jangan lupa berdoa pada Tuhan.”
            “Macam pakar motivasi! Nampaknya, semester ini aku perlu berusaha lebih untuk mendapat AD seperti kau.”
            “Rilekslah, Rafi. Buat rileks-rileks pun boleh dapat AD juga.”
            “Amboi, seperti menyindir aku nampaknya!” Aku berkata begitu kerana Rafizal merupakan seorang yang paling rileks, tenang dan bersahaja antara kami semua.
            “Hahaha. Aku tidak berniat pun hendak sindir kau. I means not to study hard but study smart! Untuk mencapai gred yang cemerlang, usaha itu bermula sejak awal semester dan bukan ketika peperiksaan sahaja. Kita pun tahu, markah dalam peperiksaan akhir cuma enam puluh peratus. Lagi empat puluh peratus kita kena skor dalam ujian, kuiz dan tugasan.
            “Memang sah. Kau memang layak jadi penceramah motivasi!”
            “Sebut fasal motivasi, baru aku teringat … .”
            “Teringat apa?”
            “Cikgu sekolah lama aku minta aku beri ceramah kepada budak-budak sekolah yang bakal mengambil SPM. Kau hendak ikut sekali?”
            “Ish. Aku mana reti hendak beri ceramah, Hakimi. Lainlah kau, pelajar terbaik di sekolah kau. Budak AD pula. Aku rasa, kau memang layak beri ceramah itu … .”
            “Janganlah puji aku lebih-lebih, Rafi.”
            “… Lagi satu, pandai mengayat perempuan sampai ada yang tersangkut. Hahaha!” Rafizal cuba mengusik aku. Aku diam dan tersenyum.
            “Tolong cari untuk aku … seorang, boleh?” sambung Rafizal.
            “Sejak bila pula kau buang tebiat? Bukankah kau jenis orang yang tidak suka layan budak perempuan?” Aku menyindir.
            “Sekali air bah, sekali pantai berubah. Sedangkan pantai pun boleh berubah, inikan pula hati manusia, Hakimi.”
            “Erm, sudah pandai berpuitis!”
            “Berjangkit daripada kaulah.”
            Kata-kata Rafizal itu membuatkan aku teringat kembali kepada seseorang yang aku mahu lupakan. Namun, semakin dilupa, semakin diingat. Entah kenapa, aku sangat sukar untuk melupakan dia. Sepanjang cuti semester yang lalu, aku berharap sangat agar masa berlalu pantas supaya aku dapat bersua dengannya apabila semester baru dibuka.
            Aku segan untuk menghubunginya. Khuatir dikatakan aku ini lelaki yang terhegeh-hegeh. Aku malu kerana tersalah sangka terhadapnya dulu. Mungkin dia juga segan untuk menghantar SMS atau menelefon aku setelah aku meminta dia tidak menghubungi aku lagi. Aku tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan dia pada semester ini. Mungkinkah dia akan sudi berkawan dengan aku lagi setelah hatinya aku guris.
            Setelah lama terdiam, Rafizal menegur aku kembali, “Hai, jauh mengelamun. Ingat pada siapa?”
            “Tidak ada apa-apalah.”
bersambung … 

 

______________________________________
Sesiapa yang berminat untuk membeli terus daripada saya melalui pos, boleh menghubungi saya di talian 019-4702839
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

1 Response

  1. Terkenang zaman kat kampus. Lubuk ilmu tapi kalau malas dan lara membuang masa, maka ilmu entah kemana, sekadar nak lepas paper cukup2 makan. Justru, adik2ku & anak2ku sekelian pasang niat untuk usha gigih, jangan jadi pemuda/i lesu. InsyaAllah saya akan beli kedua2 Novel Sdra untuk dihadiah kpd anak saya di UIA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge