Maulana Zakariyya Tidak Pernah Belajar Hadis Melainkan dengan Berguru
Diceritakan ketika memasuki tahun akhir pengajian hadis, Maulana Zakariyya r berazam tidak akan meninggalkan sebuah hadis pun tanpa berguru. Begitu juga sahabat sekelasnya iaitu Maulana Hasan Ahmad r. Mereka juga memastikan diri agar sentiasa berwuduk. Tetapi, masalah timbul ketika sesi pembelajaran kelas berlangsung iaitu mereka terpaksa ke tandas kerana membuang air atau terbatal wuduk kerana kelas pengajian hadis memakan masa hampir empat hingga lima jam untuk sesi pagi dan tiga jam untuk sesi petang. Pada masa itu juga mereka mungkin perlu ke tandas untuk membuang air kecil atau memperbaharui wuduk. Untuk memastikan mereka tidak ketinggalan daripada mendengar semua hadis di hadapan gurunya itu, mereka berdua membuat satu perancangan.
Kata Maulana Zakariyya r kepada sahabatnya iaitu Maulana Hasan Ahmad r, jika beliau terpaksa keluar, sahabatnya perlu ajukan soalan kepada gurunya. Sekiranya gurunya itu selesai menjawab, Maulana Zakariyya r meminta sahabatnya ajukan soalan yang seterusnya sehinggalah beliau pulang dan masuk semula ke kelas supaya gurunya itu tidak berpindah perbincangan ke hadis yang lain. Jika sahabatnya keluar, Maulana Zakariyya r akan membuat perkara yang sama.
Suatu hari, Maulana Hasan Ahmad r terpaksa keluar kelas untuk mengambil wuduk kerana telah batal. Beliau memberi isyarat kepada Maulana Zakariyya r dengan soalannya itu sebagaimana yang mereka janjikan sebelum ini. Maulana Zakariyya r memulakan soalannya berkenaan dengan pandangan Ibn Humam dalam kitab Fathul Qadir. Gurunya tersenyum sambil ketawa melihat gelagat soalan seumpama itu. Mengetahui maksud Maulana Zakariyya r dengan soalannya itu, gurunya lantas berkata kepada Maulana Zakariyya r, “Tidak mengapa, sementara kita tunggu Hasan Ahmad datang, aku akan ceritakan kepada kamu satu kisah, tidak payahlah aku bersusah payah untuk menjawab jawapan dari pertanyaan kamu ini.”
Kesimpulan kisah ini, Maulana Zakariyya r tidak akan tinggalkan satu hadis pun yang beliau pelajari dan beliau dengari di mana gurunya ketika itu ialah ayah beliau sendiri iaitu Maulana Muhammad Yahya al-Kandahlawi r. Begitulah kesungguhan seorang ulama yang mengutamakan kehadiran dan berguru semasa menuntut ilmu. Maka tidak hairanlah dengan perlakuan sebegitu, ilmu yang dituntutnya mendapat keberkatan dan diberkati sepanjang masa.
(Ashraf Shahrulail, Maulana Zakariyya al-Kandahlawi: Pencinta Sunnah)