LAYANAN MAULANA ZAKARIYYA TERHADAP AHLI HADIS/SALAFI

Syeikh al-Hadith Hadrat Aqdas Maulana Muhammad Zakariyya RAH. berkata, “Di awal permulaan pengajaranku, seorang ahli hadis yang namanya aku telah lupa, selalu datang ke bilikku. Semestinya masih ada beberapa buah buku yang terhasil daripadanya seperti ‘Mizanul Syariat’ yang terlantar di dalam bilikku. Walaupun beliau buta, beliau telah mengumpulkan hadis-hadis itu di dalam bentuk buku-buku yang kecil serta sedikit ulasannya. Misalnya mengenai bab wuduk, bab tayamum, bab haid dan sebagainya. Beliau telah menulis sendiri kesemuanya dan juga mencetaknya sendiri serta menjualnya sendiri. Bilamana beliau datang ke Saharanpur, beliau tinggal di tempatku dan di Deoband beliau adalah tetamu Maulana Anwar Shah Kashmiri RAH. Beliau mempunyai kebiasaan pergi ke kelas dan menghadiahkan sebuah buku kepada pengajar-pengajar. Disebabkan Hadrat Anwar Shah RAH dan aku, maka para pengajar sangat mengenalinya. Kebanyakan pengajar selepas menerima satu naskhah percuma, mereka masih membayarnya dengan 3 anna dan selalunya menggalakkan para pelajar supaya turut membelinya.”

“Bagaimanapun ramai memberi alasan agar tidak mahu membelinya kerana buku-buku kecil itu hanya mengandungi hadis-hadis yang digemari oleh ahli hadis. Walaubagaimanapun, aku pernah membeli 25 ke 30 naskhah, sementara Maulana Anwar Shah RAH membeli sebanyak 150 naskhah dan kami berdua pernah membayarnya lebih daripada harga yang dinyatakan. Kami merasakan sebagai satu tanggungjawab memandangkan khidmatnya terhadap hadis dan juga tanggungjawab kami sebagai tuan rumah kepada tetamu.”

“Mungkin ada beberapa naskhah di perpustakaanku yang mana terdapat nama dan alamatnya. Kebiasaanya ada seorang budak yang membawanya sebagai penunjuk jalan. Pada waktu malam, beliau selalu duduk denganku apabila beliau membuat pengiraan (terhadap penjualannya). Beliau tidak pernah memberitahu pada sesiapa akan harga buku-buku itu. Sesiapa yang mahu (membelinya), maka bolehlah memberi seberapa yang mungkin, dan beliau akan terima apa-apa sahaja yang diberi dengan senang hati.”

“Beliau begitu sederhana dan pada masa itu hubunganku dengan ahli hadis adalah baik. Mereka selalu datang kepadaku di Deoband dan Saharanpur. Terdapat ramai pelajar ahli hadis, tetapi mereka tidak pernah mendedahkan pegangan mereka sebagai ahli hadis. Aku memberitahu mereka supaya janganlah menyembunyikan mazhab mereka daripadaku. Mereka boleh datang ke rumahku pada bila-bila masa sahaja untuk membincangkan masalah mereka. Sesetengah pelajar (dari mereka) datang kepadaku untuk berbai‘ah.”

“Sebahagian daripada mereka sehingga menyatakan jika aku berkehendak kepada mereka, maka mereka akan berhenti daripada melakukan raf ‘ul-yadain(mengangkat tangan), amin bil Jahar (mengaminkan dengan kuat) dan sebagainya. Tetapi aku memberitahu mereka, “Kamu sedang melakukan perkara-perkara tersebut dengan hasrat yang tinggi untuk melaksanakan perintah-perintah dan amalan-amalan Rasulullah SAW. Betapa pula aku dapat menghalang kamu dari melakukannya.”

AHLI HADIS / SALAFI DENGAN KITA

Hadrat Syeikhul Hadith RAH berkata, “Aku tidak ada rasa permusuhan dengan mana-mana ulama ahli hadis (salafi), selagi mana mereka tidak mengeluarkan perkataan-perkataan yang melukai dan memperendah-rendahkan Imam-imam kita. Dalam fikiranku, syari‘at hanyalah apa yang terkandung di dalam firman-firman Allah SWT dan perbuatan utusan-Nya SAW. Tetapi di dalam mengamali hadis tersebut dan membuat kajian silang terhadap hadis, maka kajian para Imam itu adalah terlebih dipilih daripada pengkaji-pengkaji muda sepertiku. Kemudian juga, zaman para Imam itu adalah terlebih hampir dengan zamanya Baginda Rasulullah SAW daripada zaman para ulama hadis. Di atas alasan inilah fatwa daripada para Imam itu lebih diterima untuk menolak atau menerima hadis sehingga kepada fatwa Muhaddithin dan pengkaji seperti kita.”

“Imam Ahmad bin Hanbal RAH ialah guru, ustaz dan Imam kepada Imam al-Bukhari RAH yang terkenal, sedangkan Imam Ahmad adalah merupakan pelajar terkenal kepada Imam asy-Syafi‘i RAH. Imam asy-Syafi‘i RAH pula adalah merupakan pelajar masyhur bagi Imam Malik RAH. Imam asy-Syafi‘i RAH ada mencatatkan bahawa beliau menjadi ahli hukum setelah mengkaji kitab-kitab karangan Imam Muhammad RAH iaitu pelajar terkenal kepada Imam Abu Hanifah RAH. Selanjutnya bahawa, terdapat 22 rantaian periwayatan hadis di dalam Sahih al-Bukhari, yang setiap satunya mengandungi 3 orang sahaja yang terhubung dengan Baginda Rasulullah SAW. Daripada 22 periwayatan ini, 20 daripadanya mengandungi periwayat-periwayat samada mereka itu sebagai pelajar kepada Imam Abu Hanifah RAH atau (mereka itu) para pelajar daripada pelajarnya (Imam Abu Hanifah RAH).

“Dan bagi kita zaman ini, kita adalah seperti monyet yang duduk dengan sekeping halia, lalu mengelar diri sebagai penjual sayur.”

Rujukan : Aap Beeti (5) & Ikhtilaf al-A’immah. Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya. Nawwarallahu Marqadahu.

Semoga Allah SWT mencahayakan kuburan Hadrat Syeikh. Amin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge