Khairy Tajudin Dalam Akhbar KOSMO!


Berikut ialah isi kandungan temuramah asal 

1.     Ceritakan mengenai latar belakang diri anda.
Nama penuh saya Mohd Khairi bin Tajudin. Saya dilahirkan pada 2 September 1983 di Hospital Besar Alor Setar, Kedah. Maknanya, sekarang saya sudah berumur 30 tahun. Saya membesar di Kg. Lembah Keriang, Changlun, Kedah.
Saya mula bersekolah tadika di Tabika KEMAS Kg. Baru, Changlun. Kemudian, masuk sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara. Selepas UPSR, saya masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun. Hanya selepas PMR, barulah saya diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis.
Selepas tamat SPM, saya sambung belajar di UiTM Kampus Arau dalam bidang Diploma Kejuruteraan Mekanikal. Saya belum memiliki cita-cita pada waktu itu. Tidak tahu arah tuju. Ambil Kejuruteraan Mekanikal kerana di sekolah dulu belajar jurusan Sains Teknologi. Itu sahaja alasan saya yang paling munasabah. Tidak minat pun untuk menjadi jurutera atau juruteknik.
                Selepas habis Diploma, saya bekerja di kantin PLKN, UUM. Sepanjang tempoh itu, saya mengutip pengalaman pahit manis sebagai seorang ‘abang kantin’. Sebelum Subuh sudah bangun, pukul 12 tengah malam baru habis kerja. Budak-budak makan enam kali sehari. Bayangkan, berapa banyak gelas dan ‘tray’ yang saya kena basuh. Letihnya.
                Selepas penat bekerja, barulah saya tahu nikmatnya belajar di universiti. Saya sambung semula pengajian peringkat ijazah di UiTM Shah Alam tapi bertukar kursus kepada HOTCAT (Pengurusan Perkhidmatan Makanan). Saya membawa cita-cita, selepas habis belajar nanti, saya mahu memiliki perniagaan makanan sendiri. Saya hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Sehingga kini, saya belum lagi merealisasikan cita-cita itu. Cuma saya mengutip lagi pengalaman bekerja sambilan di sebuah restoran makanan Barat. Dave’s Deli nama restoran itu. Sekarang, sudah ditutup dan digantikan dengan nama baru.
                Selepas tamat belajar, saya terus bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan Streamyx. Pendek cerita, saya ialah operator yang menjawab panggilan telefon daripada pengguna Streamyx yang mengalami masalah internet. Selama tujuh bulan saya bekerja di situ. Selepas itu, saya mengembara ke bumi orang selama empat bulan. Melihat dunia yang luas dan mengutip pengalaman yang lebih banyak.
                Pulang dari perantauan, saya mula menternak kambing. Pada waktu itu, saya mula berfikir untuk bekerja sendiri dan memanfaatkan sepenuhnya kawasan rumah yang terbiar dengan semak-samun. Namun begitu, rezeki daripada kambing tidak begitu mengujakan. Saya terpaksa jual semua kambing itu dan mula menternak ayam pula. Pendapatan daripada penternakan ayam agak menggalakkan. Sambutannya baik tetapi saya dan para penternak seluruh Malaysia terpaksa menghadapi wabak hawar atau sampar yang meragut nyawa unggas-unggas dari Johor sampai ke Perlis. Saya terkedu seketika.
                Sewaktu saya mahu bangkit daripada peristiwa hawar itu, saya dihubungi oleh seorang kawan yang telah lama saya kenal sewaktu di UiTM iaitu saudara Azlan Ismail. Azlan mempelawa saya untuk menulis buku. Dia cakap, dia suka baca blog saya berkenaan penternakan ayam (shawnagrofarm.wordpress.com) dan dia yakin, saya boleh menulis buku berkaitan dengannya. Pada masa yang sama, dia juga mempelawa saya menghubungi editor perolehan di Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB) iaitu saudara Amir bin Abdul Hamid untuk menghantar sinopsis. Pada waktu itu, saya rasakan bahawa saya sudah nampak ke mana hala tuju saya selepas ini!

2. Latar belakang tentang bidang penulisan. Sejak bila bermula, bagaimana dan apakah buku pertama En. Khairi?
Sebelum saya terdedah dengan dunia penerbitan buku, saya hanya tahu menulis dan melukis dalam buku conteng. Saya pernah bercita-cita untuk menulis novel ketika berada di universiti tetapi ia hanya satu angan-angan kerana saya tidak berusaha untuk merealisasikannya.
Namun begitu, pada bulan Mac 2011, saya menghadiri Kursus Penulisan Novel Islami yang dikendalikan oleh Tuan Haji Zakaria Sungib, seorang editor senior di GISB. Habis kursus, saya terus hantar sinopsis kepada editor perolehan, saudara Amir bin Abdul Hamid. Setelah sinopsis dinilai, saya diberi tempoh tiga bulan untuk menyiapkan manuskrip itu. Saya tidak membuang masa. Dalam masa tidak lebih daripada 20 hari, saya menyiapkan manuskrip pertama yang pada mulanya diberi nama GOL! Ia ialah sebuah novel berkenaan perjuangan anak-anak murid Sekolah Agama Rakyat (SAR) memburu kejuaraan bola sepak tujuh sebelah. Saya mendapat idea itu berdasarkan pengalaman saya bekerja di SAR. Sekarang ini pun, saya masih lagi di sekolah itu.
                Maka, dalam masa tiga bulan selepas itu, terbitlah Tariq Unitedyang menggantikan judul asalnya atas nasihat penyunting, Cik Liana Omar yang sangat berpengalaman. Selepas itu, saya terus mengorak langkah menulis novel seterusnya iaitu Budak Komik dan Budak U.

3. Bagaimana lazimnya En. Khairi mencari idea untuk menghasilkan sesebuah novel/ karya?
Saya banyak mengambil idea daripada pengalaman hidup saya sendiri sejak di bangku sekolah hingga sekarang. Saya memerah sehabis mungkin memori saya sejak zaman kanak-kanak. Di samping itu, saya selalu berbual-bual dengan rakan-rakan yang pernah mengharungi hidup bersama-sama saya untuk berkongsi kisah-kisah lama. Bagi memantapkan lagi karya, saya berbincang dengan penulis-penulis lain dan juga editor. Setiap idea yang muncul, akan dicatatkan dalam buku idea. Kemudian, ditumpahkan sedikit demi sedikit di atas papan kekunci.
Contohnya, dalam novel Budak Komik, saya menulis berdasarkan pengalaman saya ketika belajar di sekolah menengah. Pada zaman itu, saya memang seorang kaki komik. Saya pernah menghasilkan komik buatan tangan saya sendiri untuk bacaan rakan-rakan tetapi saya tidak pernah menghantarnya ke mana-mana syarikat penerbitan kerana saya merasakan bahawa lukisan saya tidak begitu cantik. Setelah saya dewasa, barulah saya sedar bahawa sebenarnya saya telah mensia-siakan bakat saya. Jadi, saya menulis Budak Komik untuk menggalakkan remaja memanfaatkan bakat yang sedia ada ke jalan yang betul.
            Selain itu, novel Budak U juga dihasilkan berdasarkan pengalaman saya ketika belajar di UiTM (kampus Arau dan Shah Alam). Novel ini dihasilkan dalam bentuk trilogi (terdapat 3 siri). Saya mengajak rakan saya iaitu saudara Faris Mohd Hazmin untuk bergandingan dengan saya bagi menghasilkan novel berilustrasi kerana dia pandai melukis. Dia merupakan rakan sekelas saya ketika di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis. Setelah perbincangan kami bersama-sama penerbit mencapai kata sepakat, maka kami bersama-sama menghasilkannya. Setakat ini, dua siri Budak U iaitu Budak U: Langkah Pertama dan sekuelnya, Back To Campus sudah berada di pasaran. Siri terakhirnya mungkin akan terbit dalam tahun ini. Insya-Allah.
 
4. Siapakah idola En. Khairi dalam bidang penulisan ini?
Boleh dikatakan, saya tidak memiliki idola yang khusus. Sesiapa sahaja yang mengecap kejayaan  dalam bidang ini, saya akan jadikan sumber inspirasi. Saya suka mendengar nasihat daripada orang lama dalam penulisan, para trainer kursus penulisan, penulis-penulis lain, rakan-rakan, para peminat dan sesiapa sahaja yang rapat dengan saya. Setiap buah fikiran mereka saya hargai. Jika anda meminta saya untuk memberikan nama penulis yang saya kagumi, saya akan katakan bahawa penulis yang saya kagumi ialah Maulana Yusuf al-Kandahlawi yang telah menghasilkan kitab Hayatus Sahabahmenggunakan ingatannya sendiri. Selain itu, saya turut mengagumi Maulana Zakariya al-Kandahlawi yang menghasilkan kitab Kisah Para Sahabat. Kisah-kisah yang ditulis oleh mereka selalu menjadi rujukan saya.

5. Berapakah masa yang diambil untuk menulis atau menghasilkan sesuatu karya?
Ia bergantung kepada ketebalan sesebuah karya dan isi-isi yang hendak disampaikan. Jika karya itu memerlukan kajian yang mendalam dan pembacaan lanjutan, maka saya perlu memberikan masa yang lebih untuk mencari maklumat berkaitan. Bagi novel awal remaja yang santai seperti Tariq United, saya cuma memerlukan dua minggu untuk menaip. Masa yang selebihnya saya gunakan untuk memperbaiki manuskrip yang sedia ada hingga saya berpuas hati. Sebelum menulis, semua idea sudah ada di dalam kepala. Saya hanya perlu menulis sahaja. Namun begitu, menulis juga memerlukan kerja-kerja berfikir. Jadi, saya menulis sambil berfikir.
            Bagi novel Budak Komik, saya menulisnya dalam masa sebulan. Bagi novel trilogi Budak U, saya memerlukan masa empat bulan untuk menyiapkan ketiga-tiga siri itu.

6. Apakah cabaran dan kesukarannya?
Apa yang penting bagi saya ialah masa dan tenaga. Saya berhadapan dengan kesuntukan masa untuk membahagikan tugas di sekolah sebagai guru dan sebagai ketua keluarga ketika berada di rumah. Untuk perkara ini, saya perlu menetapkan jadual menulis yang mesti saya patuhi. Saya perlu kurangkan masa rehat dan tidur dan saya hanya akan rehat setelah mencapai sesuatu target. Contohnya, jika saya menetapkan bahawa dalam satu hari, saya perlu menulis satu bab, maka saya akan berusaha untuk menyiapkan satu bab pada hari itu juga. Bagi mengembalikan tenaga, saya melakukam aktiviti-aktiviti outdoor dan santai.

7. Apakah projek penulisan masa akan datang? Novel atau puisi dan jika novel, apakah genre akan datang?
Sejak akhir-akhir ini, saya lebih cenderung untuk menulis buku-buku sejarah Islam dan berkenaan tokoh-tokoh yang masyhur. Antara karya terbaharu saya yang sudah berada di pasaran ialah Himpunan 20 Kisah Keajaiban Para Sahabat Nabi. Buku-bulu lain dalam genre ini yang bakal menyusul ialah Bintang di Langit, Himpunan Kisah Keunggulan Para Sahabat Nabi, Himpunan Kisah Pahlawan Islam dan Himpunan Kisah Para Wali. Buku-buku tersebut sudah siap ditulis dan hanya menunggu masa untuk disunting dan dicetak. Saya mempunyai perancangan untuk menulis banyak lagi buku-buku sejarah Islam di samping menghasilkan novel yang bercorak Islami untuk pembaca yang lebih matang.

8. Ceritakan juga pengalaman bidang penulisan yang tidak dapat dilupakan.
Saya baru dua tahun dalam bidang ini tetapi sudah hampir 10 judul sudah selesai ditulis. 5 buah daripadanya sudah berada di pasaran. Ia suatu yang menggembirakan saya.
            Selain itu, pertama kali bertemu para peminat dan penulis lain di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 adalah satu pengalaman yang menyeronokkan. Pelbagai manfaat dapat diambil sekaligus saya lebih terdorong untuk sentiasa menulis.
            Selain menulis dan menyunting, saya dan rakan-rakan juga turut mengadakan bengkel penulisan kepada remaja dan orang awam yang berminat. Setakat ini, kami sudah mengendalikan dua buah kursus di sekolah bersama-sama Faris Mohd Hazmin dan juga dari pihak penerbit iaitu Galeri Ilmu Sdn Bhd. Semakin lama, saya rasa bidang penulisan ini semakin luas dan bukan semata-mata menulis novel.

9. Apakah kegemaran/ isian waktu lapang  En. Khairi selain menulis novel? (blogging, berniaga, kembara, sukarelawan….)
Saya tidak mempunyai banyak masa terluang kerana hampir keseluruhan masa terluang saya dihabiskan di depan komputer. Jika ada masa lapang, saya akan habiskannya bersama-sama keluarga atau bergaul dengan alim ulama dan rakan seperjuangan. Selain itu, saya suka melayari internet ketika saya sedang menggunakan computer untuk mengelakkan kebosanan. Saya juga mempunyai blog sendiri sebagai medan untuk saya tulis apa-apa yang terlintas di fikiran. Alamat blog saya ialah http://www.khairitajudin.blogspot.com

10. Selaku seorang penulis, apakah agaknya pengalaman bersama peminat yang tidak dapat dilupakan? terbaik dan paling pahit?
Saya selalu ber-chatting atau berkomunikasi dengan mereka melalui FACEBOOK. Banyak testimonial dan idea yang diberikan oleh mereka dapat memberi semangat kepada saya dan mendatangkan idea yang bagus. Setakat ini, belum ada pembaca yang merungut mengenai novel-novel saya. Jadi, belum ada pengalaman pahit. Mereka mengharapkan agar saya terus menulis kerana mereka suka membaca novel-novel saya.
11. Belajar bidang kejuruteraan mekanikal, pengurusan perkhidmatan makanan dan kini bergelar guru, mana-mana daripada pengetahuan ini membantu dalam penghasilan karya En. Khairi?
Dalam penghasilan novel trilogi Budak U, saya menjadikan seorang pelajar kejuruteraan mekanikal sebagai watak utamanya (Hakimi). Di sampingnya ada rakan kepada watak utama iaitu seorang pelajar pengurusan perkhidmatan makanan (Ali). Kedua-dua watak ini saya adaptasikan daripada pengalaman saya dalam kedua-dua jurusan tersebut. Jadi, mudahlah bagi saya untuk menulis mengenai perjalanan watak kerana saya sudah melalui pengalaman sebagai kedua-dua watak itu.
Selain itu, terdapat juga watak daripada jurusan Perakaunan (Citra), jurusan Grafik (Nuar), mat rempit (Joki), pelajar sekolah menengah (Zaqyah) dan banyak lagi. Semua watak ini saya adaptasikan daripada watak individu-individu di sekeliling saya. Ada juga watak-watak rekaan yang lahir daripada imaginasi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge