Dakwah Hingga Hujung Nyawa
Lapangan terbang Buenos Aires menyambut ketibaan sekumpulan jemaah dari Malaysia yang seramai lebih kurang 10 orang. Seketika mereka ditegur oleh seorang lelaki Yahudi,” Adakah kamu semua datang ke sini untuk berjumpa dengan saudara seagama dengan kamu?”
”Ya. Begitulah hajat kami,” jawab salah seorang daripada mereka.
”Saya seorang doktor. Kebetulan saya baru saja mengeluarkan seorang pesakit saya yang beragama Islam daripada hospital. Dia mungkin akan menemui maut dalam beberapa hari lagi. Saya rasa eloklah kamu menziarahinya,” kata lelaki Yahudi itu.
”Di manakah kami dapat berjumpa dengannya?”
”Rumahnya terletak 700 kilometer dari sini. Ini alamatnya.” Doktor Yahudi itu menuliskan alamat pada sekeping kertas lantas menyerahkan kepada ketua jemaah.
Setelah bermesyuarat, jemaah tersebut telah mencapai kata putus untuk menziarahi saudara Islam itu walaupun terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh dengan menaiki bas. Setibanya di sana, mereka tercari-cari rumah saudara Islam tadi. Amat sukar mencari penganut agama Islam di sempadan Argentina ini. Tapi, takdir Allah tetap menemukan mereka.
Daniel (bukan nama sebenar), lelaki Islam yang sudah berada di hujung-hujung nyawa menyambut kedatangan jemaah tersebut dengan gembira. Masih ada orang yang sudi menziarahinya walaupun tidak ada hubungan saudara. Hanya hubungan atas dasar agama.
Di rumah Daniel, tergantung dan terpapar segala jenis berhala dan kalimah. Ada kalimah Allah. Ada gambar Jesus. Ada berhala agama-agama lain. Perkara ini telah menimbulkan kesedihan di hati ahli jemaah lalu mereka bertanya,”Mengapa perlu ada banyak Tuhan di rumah ini?”
”Saya mungkin akan mati dalam masa beberapa hari lagi. Setiap masa, saya memohon perlindungan daripada semua Tuhan ini agar saya terus hidup,” jawab Daniel.
Para jemaah beristighfar untuknya dan menerangkan kepadanya mengenai Tuhan yang sebenar-benar Tuhan yakni Allah Yang Maha Esa. Lantas, mereka mengajaknya kembali mengucapkan kalimah syahadah. Daniel masih tersekat-sekat dalam mengucapnya kerana kalimah itu sudah lama dilupakannya. Para jemaah mengambil keputusan untuk bermalam di rumah Daniel selama tiga hari dan membimbingnya kepada agama yang sebenar.
Pada hari yang ketiga, malaikat maut datang menjemput nyawanya. Tatkala berlawan dengan sakaratul maut dan nyawa hampir dicabut, terdengar jelas keluar daripada mulutnya satu perkataan yang bernilai lebih daripada seisi langit dan bumi.
”Allah … ”
_________________________________________________
Penulis: Ini adalah sebuah cerita benar seperti yang saya dengar daripada Ustaz Abdullah di Masjid Seri Petaling. Apa yang boleh diambil iktibar daripada cerita ini ialah:
– Pentingnya ada jemaah yang keluar untuk berdakwah ke serata alam kerana setiap masa, ribuan manusia mati tanpa bawa kalimah.
– Setiap orang Islam akan dipertanggungjawabkan atas nasib saudara mara mereka di seluruh dunia. Jika ada seorang manusia yang mati tanpa iman, seluruh umat Islam akan dipersoalkan.
– Apabila orang Islam tidak mahu bekerjasama dalam dakwah, maka Allah boleh hantar sesiapa sahaja sebagai pembantu walaupun seorang Yahudi.
masya-Allah, <br />dah lama tak jumpa ustaz Abdullah