Air Mata Umat: Di Manakah Kita?
Umat ini telah terbentuk dengan penuh susah payah. Untuk menjadikan umat ini, Rasulullah saw dan Sahabat-Sahabat r.anhum telah banyak berusaha dan menanggung penderitaan. Musuh-musuh Islam yakni Yahudi dan Nasrani sentiasa berusaha supaya orang-orang Islam tidak berkekalan sebagai satu umat, bahkan berpecah belah.
Hari ini orang-orang Islam sudah kehilangan sifat umat. Ketika dahulu, semasa mereka hidup sebagai satu umat, hanya dengan bilangan mereka beratus ribu orang sudah cukup untuk menguasai satu dunia. Mereka pada masa itu tidak mempunyai walaupun sebuah rumah dari batu bata. Masjid pun tidak dibina dengan batu bata. Lampu pun tidak dinyalakan di dalam masjid. Lampu telah dinyalakan di dalam Masjid Nabawi hanya selepas sembilan tahun sesudah Hijrah. Orang yang paling awal telah menyalakan lampu di dalam Masjid Nabawi ialam Tamim Dari r.a. Sementara itu, kira-kira seluruh kaum Arab telah memeluk agama Islam. Manusia dari pelbagai kaum, yang bercakap dalam berbagai-bagai bahasa, dan dari berbagai-bagai kabilah telah menjadi satu umat yang bersatu-padu. Apabila kesemua perkara telah diselesaikan, maka barulah lampu telah dinyalakan di dalam Masjid Nabawi. Tetapi cahaya dari lampu hidayat telah dibawa oleh Baginda Rasulullah saw sudah tersebar ke seluruh tanah Arab, bahkan ke kawasan-kawasan di luar daripadanya juga. Umat sudah terbentuk. Selepas itu Umat telah bangun dan ke mana sahaja mereka tuju, maka negara demi negara telah jatuh di bawah kaki mereka.
Umat ini telah dibentuk secara begini; iaitu, tidak seorang pun di kalangan umat ini menjadi pembantu kepada keluarganya, bangsanya, saudara-maranya, partinya, kaumnya, tanahnya; tidak seorang pun yang menjadikan tujuannya mengawasi harta-benda atau anak-isteri; tetapi setiap seorang di kalangan mereka hanya melihat apakah kehendak Allah dan Rasul-Nya. Pada zaman orang Islam hidup sebagai satu umat, di mana-mana pun jika seorang Islam dibunuh, maka seluruh umat telah terkesan, bersimpati dan merasai kepedihan. Kini beribu-ribu dan berjuta-juta orang Islam telah disembelih tetapi kita tidak merasai apa-apa jua.
Umat bukanlah nama satu kaum atau satu golongan manusia yang bermastautin di satu kawasan. Tetapi beratus-ratus bahkan beribu-beribu kaum yang tinggal di kawasan yang berlainan bersatu-padu menjadi satu umat. Sesiapa yang menganggap bahawa dia berasal daripada sesuatu kaum atau sesuatu daerah, dan orang lain berasal daripada sesuatu kaum atau sesuatu daerah yang lain, maka dia seolah-olah telah menyembelih umat ini, menghancur-leburkan serta merosakkan hasil usaha baginda Rasulullah saw dan para Sahabat r.anhum. Apabila berasing-asingan dan berpecah-belah, kita sendiri telah menyembelih umat ini terlebih dahulu. Yahudi dan Nasrani hanya mengerat umat ini yang sudah tersembelih. Sekiranya orang-orang Islam, hari ini menjadi umat semula, maka semua kekuatan di seluruh dunia sekalipun, tidak boleh menggerakkan walaupun sehelai bulu roma umat ini. Bom atom atau pun roket sekalipun, tidak boleh membinasakan mereka. Tetapi sekiranya mereka dengan semangat perkauman dan kedaerahan meneruskan fahaman menghancur-leburkan umat, maka demi Allah, senjata-senjata dan tentera-tentera kamu tidak boleh selamatkan kamu dari kemusnahan.
Hari ini orang-orang Islam di seluruh dunia telah dihimpit dan dibunuh dengan sebab kehilangan perasaan umat. Mereka telah mensia-siakan pengorbanan Baginda Rasulullah saw. Saya bercakap tentang perkara ini dengan kepiluan di dalam hati saya, bahawa satu-satunya sebab kesemua kebinasaan dan kemunduran ini adalah kerana umat tidak lagi berkekalan sebagai satu umat yang bersatu-padu; bahkan mereka telah lupa apa itu UMAT dan bagaimanakah baginda Rasulullah saw. telah membina umat ini!
Hadrat Syah Ismail Syahid rah.a., Hadrat Syed Ahmad Syahid rah.a., dan rakan-rakan mereka kesemua adalah satu jamaah yang unggul dan paling baik dari segi keagamaan mereka. Apabila mereka sampai ke kawasan sempadan [yakni utara-barat Pakistan yang diduduki oleh kaum Pathan], orang-orang di sana telah menjadikan mereka pembesar-pembesar mereka. Maka syaitan telah menimbulkan di dalam hati beberapa orang Islam di sana bahawa, “Mereka ini orang-orang luar, mengapakah mereka diberi kesempatan untuk mengetahui kami?” Maka mereka telah mula menentang orang-orang Islam yang teguh mengamalkan agama ini. Beginilah caranya orang-orang Islam menghancurkan perasan umat oleh sebab kedaerahan mereka. Maka Allah Taala telah memberikan pembalasan dan penyeksaan dengan memberi kuasa kepada orang-orang Inggeris ke atas mereka. Ini merupakan azab daripada Allah Taala.
Ingatlah! Bahawa perkataan, kaumku, daerahku, saudaraku dan yang seumpamanya, semuanya adalah perkataan yang memecahbelahkan umat! Perkataan dan semangat sebegitu rupa adalah sangat-sangat dibenci oleh Allah Taala sehingga sedikit kesilapan dari segi ini oleh seorang Sahabat yang begitu tinggi darjatnya seperti Saad ibnu Ubadah r.a. [yang jika tidak diberhentikan dengan serta-merta pada masa itu juga, maka akan wujud perpecahan antara Ansar dan Muhajir] telah dibalas oleh Allah Taala di dunia.
[Kami telah membunuh ketua kaum Khazraj: Saad ibnu Ubadah;
Kami telah menjadikannya sasaran anak panah kami yang telah memasuki jantungnya!]
Daripada peristiwa ini didapati suatu contoh dan pengajaran bahawa walaupun seseorang itu mempunyai serba-serbi kebaikan, tetapi jika ia melakukan kesilapan dengan menyebabkan perpecahan umat, maka Allah Taala tetap akan menghancurkannya.
Umat akan menjadi umat yang sebenar apabila setiap individu dan golongan di kalangan umat ini tanpa membeza-bezakan, memegang usaha yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah saw. Dan ingatlah bahawa perkara yang memusnahkan perasaan umat adalah keburukan dari segi muamalat dan muasyarat. Apabila satu individu atau satu golongan di kalangan umat ini menzalimi dan tidak berbuat adil dengan yang lain, tidak menunaikan hak-haknya, menyakitinya, memperkecilkannya atau menghinanya maka timbullah perpecahan dan perasaan umat akan hancur. Sebab inilah saya berkata bahawa umat ini tidak dapat dibentuk dengan hanya kalimah dan tasbih. Umat akan menjadi umat yang sebenar melalui pengislahan muamalat dan muasyarat, melalui menunaikan hak-hak semua pihak dan melalui bersifat ikram terhadap sekalian orang. Bahkan apabila untuk menunaikan hak-hak orang lain, hak-hak sendiri dikorbankan, baharulah Umat ini akan dapat dibentuk. Baginda Rasulullah saw, Hadrat Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Hadrat Umar r.a. telah membentuk umat ini dengan cara mengorbankan kesemua kepunyaan mereka dan menanggung bermacam-macam kesusahan.”
Di Madinah, pada zaman itu, ada dua kabilah Ansar, iaitu Aus dan Khazraj. Di antara kedua-duanya telah terjadi pergaduhan dan peperangan sejak ratusan tahun. Apabila Rasulullah saw telah berhijrah dan sampai ke Madinah, orang-orang Ansar telah dikurniakan Allah dengan Islam. Maka dengan berkat Baginda dan Islam, pergaduhan dan peperangan itu telah terhenti dan Aus dan Khazraj telah hidup dengan aman dan damai. Melihat keadaan itu, orang-orang Yahudi telah membuat satu perancangan jahat supaya Aus dan Khazraj bergaduh dan berperang semula. Di dalam satu majlis yang dihadiri oleh orang dari kedua-dua kabilah tersebut, salah seorang (mengikut perancangan jahat tersebut) telah menyalakan api (menegangkan keadaan) dengan membaca satu syair mengenai peperangan mereka yang lama. Maka pada mulanya, mereka bertikam lidah antara satu sama lain dan akhirnya senjata telah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak. Salah seorang telah segera mengadu kepada Baginda Rasulullah saw. Baginda saw. dengan serta merta datang ke tempat kejadian, lalu bersabda, “Kamu hendak berperang sesama sendiri, sedangkan aku masih berada di kalangan kamu?” Baginda telah berkhutbah dengan ringkas tetapi penuh dengan semangat dan perasaan susah hati. Mereka telah memahami kesilapan masing-masing. Mereka telah sedar bahawa syaitan telah memerangkap mereka dengan perancangan jahat. Kedua-dua belah pihak telah menangis dan memeluk antara satu sama lain. Ayat suci telah diturunkan oleh Allah Taala:
[
يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله حق تقاته و لا تموتن إلا وأنتم مسلمون ](Seolah-olah Allah memaksudkan) “Wahai orang-orang yang beriman! Takutilah Allah sepertimana yang harus kamu takuti kepada-Nya dan sampai ke nafas kamu yang terakhirlah kamu hidup sebagai hamba yang menyerah diri dan mentaati Allah.”
Jadi, apabila manusia sentiasa ingat pada Allah, takut kepada kemurkaan-Nya dan sentiasa mentaati-Nya, maka syaitan pun tidak ada kesempatan untuk menyesatkannya dan Umat akan terselamat daripada semua pergaduhan dan keburukan yang lain.
[
واعتصموا بحبل الله جميعا ًولاتفرقوا واذكروا نعمت الله عليكم إذ كنتم أعداء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا ً و كنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها ](Seolah-olah Allah memaksudkan) “Dan berpeganglah kamu sekalian secara berjemaah dengan tali Allah yakni kitab Allah dan agama-Nya dengan teguh”; yakni dengan sifat IJTIMA’IYYAT yang sempurna serta sifat perasaan Umat, berpegang kepada agama dan berpautlah kepadanya. Jangan menjadi berpecah-belah atas perkauman atau kedaerahan atau dari segi bahasa. Dan janganlah melupakan ihsan Allah yang mana Allah Taala telah menghapuskan permusuhan yang telah berkekalan sesama sendiri di kalangan kamu dan telah menyatukan hati-hati kamu dan telah menjadikan persaudaraan satu sama lain. Semasa kamu berperang sesama sendiri, kamu sebenarnya telah menghampiri neraka sehingga kamu telah hampir jatuh ke dalamnya; Allah Taala telah memegang kamu dan telah menyelamatkan kamu dari neraka.
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Aali ‘Imran: 104)
Di kalangan Umat harus ada satu golongan yang tugasnya patut menyuruh manusia kepada agama dan segala jenis kebaikan; mereka harus meneruskan usaha untuk iman, untuk kebaikan dan kebajikan, mereka perlu usaha atas solat, atas zikir, atas ilmu yang telah di bawa oleh Rasulullah saw. Mereka juga perlu usaha untuk selamatkan manusia daripada keburukan dan segala jenis maksiat. Melalui usaha sedemikian rupa Umat akan berkekalan sebagai umat yang bersatu-padu.
Sesiapa yang selepas menerima kesemua nasihat-nasihat ini, dan masih meneruskan untuk mengikut jalan syaitan, berjalan secara berasingan, menimbulkan perlawanan dan merosakkan perasaan dan perpaduan Umat, maka bagi mereka ada penyeksaan yang keras.
Mereka yang telah memecahbelahkan dan menjalani perbuatan yang memecahbelahkan, telah menghancurkan perasaan Umat, maka pada hari kiamat mereka akan bangkit dari kubur masing-masing dengan muka yang hitam; mereka akan diberitahu bahawa kamu telah mengambil cara-cara orang kafir setelah kamu dikurniakan dengan Iman dan Islam. Jadi, rasailah kamu di sini azab neraka sepertimana telah kamu kufurkan. Dan mereka yang ikut jalan yang betul, wajah-wajah mereka akan bercahaya dan berseri-seri. Untuk selama-lamanya mereka akan berada di dalam rahmat Allah Ta’ala dan syurga.
Saudara-saudaraku dan teman-temanku sekalian!
Kesemua ayat-ayat ini telah diturunkan pada masa orang-orang Yahudi telah cuba untuk memecahbelahkan orang-orang Ansar dan menjadikan dua kabilah Ansar bermusuhan antara satu sama lain. Di dalam ayat-ayat tersebut, perpecahan, pergaduhan dan berperang antara satu sama lain di kalangan Umat telah disifatkan sebagai kufur dan telah diberi ancaman untuk azab di akhirat.
Pada hari ini, di seluruh dunia telah berlaku usaha untuk memecahbelahkan perasaan sebagai satu Umat. Jalan penyelesaian dan perkara yang boleh mengatasinya ialah hendaklah kamu menyibukkan diri kamu sendiri dalam usaha Baginda Rasulullah s.a.w. Hendaklah kamu mengajak orang-orang Islam ke masjid. Hidupkanlah perbincangan tentang iman. Dirikanlah halqah Ta’lim dan Zikir. Bermesyuaratlah mengenai usaha agama. Telah terbukti bahawa pelbagai kaum, keturunan dan manusia dari berbagai-bagai daerah dan yang bercakap berbagai-bagai bahasa telah bersatu padu melalui amalan-amalan ini di Masjid Nabawi.
Perasaan perpaduan Umat akan hidup apabila kamu akan mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang memberi peluang kepada syaitan untuk memecahbelahkan kamu. Apabila tiga orang duduk bersama-sama, maka hendaklah kamu ingat bahawa yang keempat bersama kamu adalah Allah s.w.t. Apabila ada empat atau lima orang duduk bersama-sama, maka hendaklah kamu selalu ingat bahawa Allah s.w.t bersama-sama kamu sebagai yang kelima atau yang keenam; Dia mendengar setiap perkataan kamu dan Dia melihat sama ada kamu berbincang untuk perpaduan umat ataupun kamu memecahbelahkan umat. Adakah kamu sedang mengumpat atau menghasut, atau membuat perancangan jahat untuk orang lain.
Umat ini telah dibentuk dengan tumpahan darah Baginda Rasulullah s.a.w dan kelaparan Baginda s.a.w, sementara kita hari ini memecahbelahkan umat atas perkara-perkara kita yang kecil. Ingatlah bahawa meninggalkan solat Jumaat pun tidak akan datang begitu banyak keburukan seperti yang berlaku akibat memecahbelahkan Umat. Apabila akan datang perasaan perpaduan Umat di kalangan orang-orang Islam, maka tidak sekali-kali mereka akan dihinakan di dunia ini.
Kekuatan Russia dan Amerika juga akan menunduk di hadapan mereka. Dan perasaan Umat akan hanya datang apabila diamalkan atas ayat:
أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
“Bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman.”
(Surah al-Maidah: 54)
Yakni, setiap orang Islam disisi orang Islam yang lain akan mengecilkan, merendahkan, dan menghinakan diri dan akan berkelakuan lemah-lembut terhadapnya. Di dalam tabligh harus kita melatihkan diri untuk perkara ini. Apabila akan datang sifat (
أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ ) di kalangan orang-orang Islam, maka di dunia mereka akan menjadi:أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “… berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir …”
(Surah al-Maidah: 54)
Yakni, dia akan dimuliakan berbanding dengan orang kafir. Dia akan dikurniakan Allah s.w.t dengan kehebatan dan kemenangan ke atas orang-orang kafir, sama ada kafir itu kafir Eropah ataupun kafir Asia.
