Preview Budak U: Bab 2
Episod 2: Gerbang Dunia Baru
Nasib aku agak baik pada hari itu. Dalam kata lain, Allah mentakdirkan aku bernasib baik. Mungkin itu lebih tepat. Bukan mungkin tetapi pasti. Ali berpatah balik kepada aku yang sedang duduk di tempat duduk. Katanya, “Bapa saudara saya ajak awak naik keretanya.”
Aku agak terkejut. Baru sebentar tadi kami berkenalan. Dengan tidak semena-mena, aku berpeluang menumpang kereta bapa saudara Ali untuk masuk ke kampus. Secara tidak langsung, aku dapat menjimatkan duit untuk tambang teksi atau bas awam ke kampus. Mungkin inilah kelebihan sifat peramah yang ada pada aku. Sifat peramah itu membolehkan aku mendapat manfaat daripada orang yang baru aku kenali. Alhamdulillah.
“Saya rasa elok kita ke rumah saya dahulu. Selepas mandi dan sarapan, saya hantar Ali dan Hakimi ke kampus, okey?” Bapa saudara Ali yang aku belum tahu namanya bertanyakan aku dan Ali.
Ali yang duduk di kerusi hadapan memandang Aku. Aku memandang Ali sambil mengangguk. Ali pun memberitahu bapa saudaranya, “Okey, kita ke rumah pak cik dulu.”
Aku ternampak tag nama tergantung pada cermin pandang belakang di bahagian hadapan kereta. Tercatat namanya, Mohd Kamal. Barulah aku tahu nama bapa saudara Ali itu.
Hari semakin cerah. Aku melontarkan pandangan ke luar. Perjalanan dari stesen bas menuju ke rumah Encik Kamal mengambil masa beberapa minit sahaja. Sepanjang perjalanan itu, aku melihat kilang-kilang di kiri dan kanan jalan. Banyak betul kilang di sini. Aku terfikir, jika aku sudah menjadi jurutera nanti, adakah aku akan bekerja di kilang-kilang seperti ini?
Sepanjang perjalanan itu juga, aku tidak banyak bercakap. Hanya Ali dan Encik Kamal yang berbual-bual dan bertanya khabar masing-masing. Aku sekadar memasang telinga mendengar perbualan mereka sehinggalah kami sampai di rumah Encik Kamal.
Rumahnya besar, dua tingkat dan letaknya pula di lot selekoh. Setahu aku, rumah yang berada di lot selekoh lebih mahal berbanding rumah-rumah yang lain. Mungkin kerana keluasan tanahnya lebih. Jika rumah ini mahal, tentu pemiliknya juga memiliki gaji yang besar. Jika bergaji kecil seperti ayah aku, mana mungkin boleh membeli rumah semahal ini? Aku ingin bertanya kepada Encik Kamal mengenai kerjayanya tetapi aku agak segan. Nantilah, aku akan mendapatkan jawapannya daripada Ali.
“Ali, Hakimi, marilah masuk,” pelawa Encik Kamal.
Aku dengan segan silu masuk ke dalam rumahnya bersama-sama Ali.
“Jemputlah duduk,” pelawa Encik Kamal lagi sambil mengemas-ngemas sofanya yang agak tidak tersusun. “Biasalah, rumah orang bujang. Berseleraklah sedikit.”
Aku agak terkejut dengan perkataan ‘bujang’ itu. Rupa-rupanya Encik Kamal masih belum berkahwin. Aku fikirkan dia sudah berkahwin dan mempunyai anak. Aku mengagak umurnya mungkin dalam lingkungan 30-an. Patutlah boleh duduk di rumah yang besar. Tidak perlu sara anak dan isteri, fikirku.
“Hakimi, jika awak hendak mandi, boleh gunakan bilik air yang hujung itu. Ali, gunalah bilik air mana pun. Buatlah macam rumah sendiri. Saya hendak sediakan sarapan untuk kita,” kata Encik Kamal.
Encik Kamal pun bergegas ke dapur. Aku mencuit bahu Ali. “Bapa saudara awak kerja apa? Dia tidak kerjakah hari ini?”
“Dia sudah ada bisnes sendiri,” jawab Ali.
Aku mengangguk. Tidak pula aku bertanyakan kepadanya bisnes apa. Bimbang dikatakan penyibuk dan suka ambil tahu hal orang. Tambahan pula, aku baru sahaja berkenalan dengan Ali dan Encik Kamal. Tidak manis rasanya aku mengorek semua hal berkenaan mereka bagaikan polis yang menyiasat suspek. Lebih baik aku mandi dahulu. Badan pun sudah berbau.
***
KAMI sudah sampai di Dewan Seri Budiman, tempat yang dicatatkan dalam surat tawaran sebagai tempat pendaftaran untuk pelajar baru. Aku dan Ali mengheret beg masing-masing. Encik Kamal baru sahaja meninggalkan kami. Katanya, dia tidak dapat menunggu lama di situ kerana ada hal yang perlu diuruskan. Aku fikir, apabila sudah ada bisnes boleh balik rumah, rehat dan tidur. Bisnes, pekerja yang uruskan. Sebenarnya tidak. Orang bisnes lebih sibuk berbanding orang makan gaji. Kemudian, barulah aku teringat bahawa bisnes itu berasal daripada perkataan ‘busy’ dan ‘ness’. Jika diterjemahkan menjadi ‘kesibukan’. Mudahnya aku berfikir.
“Ali, di mana kaunter pendaftaran?” tanyaku kepada Ali.
“Mungkin di sana agaknya. Ramai orang sedang beratur di situ,” jawabnya sambil menunjukkan ke arah pintu dewan itu.
“Jom kita ke situ,” ajakku.
Memang betul. Di situ ada papan tanda tertulis ‘Kaunter Pendaftaran’. Ramai bakal pelajar beratur di situ. Mereka diperiksa oleh beberapa orang pengawal keselamatan. Aku tertanya-tanya, mengapa perlu ada pemeriksaan? Kami bukan seludup barang pun. Hendak mendaftar jadi pelajar universiti sahaja.
Ali beratur di depan aku. Apabila sampai giliran kami, para pengawal keselamatan itu melihat kami dari hujung kaki sehingga hujung rambut. Pengawal keselamatan itu menunjukkan isyarat ‘masuk’ kepada Ali dengan mimik muka ‘sepuluh sen’. Ali pun masuk ke dalam dewan. Aku mengekori Ali. Dengan tidak semena-mena, bahu aku disentuh oleh pengawal keselamatan dan dia meminta aku ke tepi. Aku tidak dibenarkan masuk.
“Kamu ini datang dari hutan belantara mana? Kamu tahu ini universiti, bukannya hutan. Kamu tidak baca buku sahsiah pelajar? Rambut kena potong pendek. Baju mesti masuk dalam seluar. Kena pakai kasut, bukannya selipar!” Aku dimarahi oleh pengawal tersebut. Pada tag yang dipakainya terukir nama ‘Kassim’.
“Err … maaf pak cik. Saya tidak tahu,” kataku. Aku lihat ramai bakal pelajar memerhatikan aku. Ada yang ketawa dan tersengih. Malunya.
“Apa pak cik pak cik? Bila masa pula saya kahwin dengan mak cik kamu?” Dia terus memarahiku. Aku diam.
“Sekarang, saya mahu awak pergi potong rambut, pakai kasut dan masukkan baju ke dalam seluar. Jika tidak, awak tidak dibenarkan mendaftar!” arahnya lagi.
Hah? Di mana aku hendak potong rambut pagi-pagi begini? Aku pun bukannya tahu kedai gunting rambut di sini.
“Tapi, di mana saya hendak potong rambut? Bolehkah saya masuk daftar dulu, kemudian baru saya pergi gunting rambut?” Aku memohon pertimbangan.
“Tidak boleh! Ini undang-undang. Hari pertama pun kamu sudah bikin masalah. Kamu nampak bilik itu?” Dia menunjukkan aku sebuah bilik yang berada tidak jauh dari situ.
“Ya, nampak,” jawabku.
“Kamu pergi potong rambut kamu di situ. Ada tukang gunting tengah tunggu kamu.” Pengawal tadi memberikan arahan seterusnya. Aku akur. Dengan wajah yang kemerah-merahan, aku mengheret beg menuju ke bilik itu. Malunya aku, ramai orang perempuan tengok. Jatuhlah saham aku.
Saat aku sampai di bilik itu, aku lihat beberapa orang budak lelaki sedang menunggu giliran untuk menggunting rambut. Mungkin mereka juga sama seperti aku, berambut panjang lalu disuruh datang ke sini untuk memendekkan rambut.
Aku melabuhkan punggung di sebelah seorang budak lelaki. Seperti biasa, aku akan menggunakan keramahanku untuk memulakan bicara. Aku memberi salam sambil menghulurkan tangan. Dia menjawab salam aku tetapi enggan bersalaman. Mungkin dia tidak perasan bahawa aku menghulurkan tangan. Aku mengelak untuk menuduh dia sombong.
“Potong rambut?” Soalku kepadanya.
“Bukan. Tengah tunggu mi goreng.” Selamba sahaja jawapannya. Padan muka aku. Siapa suruh bertanya soalan seperti itu? Jika sudah berada di tempat gunting rambut, tentulah hendak gunting rambut.
Aku mula berfikir bahawa budak itu sedang berada dalam emosi yang tidak stabil. Rambutnya yang panjang rebounding itu bakal dipotong sebentar lagi. Mungkin sebab itu dia tidak mahu bercakap dengan aku. Aku pun tidak mahu bertanya lagi.
Beberapa detik kemudian, barulah dia menegur aku, “Woi budak, kau nama apa?”
Bahasanya agak kasar tetapi aku jawab juga soalan itu, “Nama aku Hakimi, kau?”
“Call me Joki. Faster than bullet! Nice to meet you,” jawabnya sambil menghulurkan tangan kepada aku. Aku lantas menyambut huluran tangan itu dengan dahi berkerut.
“Faster than bullet?” Aku inginkan kepastian. Motto apa yang dipakainya. Aku pun tidak faham.
“Hah! Hah! Hah!” Joki ketawa.
Aku bertanya, dia ketawa pula. Main-main. Tadi, bukan main sombong lagi.
“Nanti kau akan faham!” ujar Joki sambil menepuk bahuku.
Selepas itu, Joki bangun dan duduk di kerusi tempat gunting rambut. Tukang gunting rambut itu pun mula memotong rambutnya menggunakan gunting elektrik. Aku asyik memerhatikan skil tukang gunting itu yang pada pendapat aku, dia tidak pandai menggunting rambut. Menggunting rambut seperti memotong rumput. Tahu sodok sahaja. Tidak ada skil langsung. Aku nampak ketidakpuasan hati terpancar pada wajah Joki. Mungkin dia terkilan rambutnya dipotong, sama seperti aku. Dalam masa beberapa minit, wajahnya yang pada mulanya agak ganas menjadi seperti muka pelawak. Aku tergelak sambil menutup mulut.
“Hakimi, giliran kau pula!” Joki memberitahu aku sejurus selepas kepalanya selesai digondolkan. Jika dia tidak beritahu pun aku sudah tahu. Cuma tinggal aku seorang yang belum kena.
“Abang, boleh buat stail artis Hollywood?” Aku bertanya kepada tukang gunting rambut itu. Aku memanggilnya ‘abang’ disebabkan wajahnya yang masih muda pada fikiranku.
“Banyak cantik muka kau! Kau fikir aku ini siapa?” Balas tukang gunting rambut itu.
Aku terkesima. Betul juga katanya. Bagaimana aku boleh tidak perasan bahawa dia juga adalah seorang pengawal keselamatan? Pakaian seragamnya terlindung di sebalik kain apron. Agak fleksibel tugas seorang pengawal keselamatan. Jadi tukang gunting rambut pun boleh.
Aku pun duduk diam-diam di atas kerusi itu. Menurut sahaja kehendak si tukang gunting rambut itu menggondolkan kepala aku.
***
AKU sudah tidak macho lagi. Rambutku telah dipotong pendek bagaikan seorang budak yang skema. Sia-sia aku simpan rambut panjang supaya kelihatan macho dan kacak. Akhirnya, kena potong. Aku terkilan.
“Ha! Macam ini baru pelajar universiti. Rambut pendek dan kemas.” Pengawal yang bernama Kassim tadi menegur aku. Dia masih kenal lagi wajah aku walaupun sudah dipotong rambut.
“Sekarang kamu boleh masuk,” arahnya.
“Terima kasih, encik,” jawapku.
Aku tercari-cari kaunter Fakulti Kejuruteraan Mekanikal. Akhirnya aku temui kaunter itu yang berada bersebelahan dengan kaunter Fakulti Kejuruteraan Elektrik. Aku terus masuk ke dalam barisan untuk beratur bersama-sama bakal pelajar yang lain.
Setelah selesai menyerahkan dokumen-dokumen yang diminta, aku bergerak pula ke kaunter pendaftaran kolej kediaman. Setiap pelajar yang baru mendaftar diberikan kunci bilik dan baju batik. Selepas itu, aku tidak tahu lagi hendak ke mana.
Aku mencari-cari kelibat Ali mahupun Joki. Setakat ini, cuma mereka berdua orang yang aku kenal. Setelah puas melilau di dalam dewan dan kawasan sekitarnya, batang hidung mereka pun aku tidak nampak. Aku buntu. Lantas, aku memberanikan diri bertanya kepada pengawal yang bernama Encik Kassim. “Encik, selepas ini kena buat apa pula?”
“Buat apa lagi? Pergi ke kolej kamu sahajalah,” jawabnya.
“Oh, yakah? Baiklah, saya pergi sekarang. Terima kasih.” Aku cepat-cepat beredar dari situ dengan mengheret beg yang sangat berat. Aku sendiri pun tidak tahu di mana kolej yang dimaksudkan.