Kisah Sahabat Baik dan Jodoh
Pada suatu ketika, ada dua orang sahabat baik sedang merancang sesuatu. Seorang daripada mereka (Salman) meminta bantuan rakannya (Abu) untuk meminangkan seorang wanita untuknya. Lalu, Salman pun memberitahu sekian-sekian rumah dan sekian-sekian orang.
Maka, Abu pun menunaikan hajat Salman dengan pergi meminang perempuan tersebut untuk Salman. Namun, lain pula yang berlaku. Bapa perempuan itu berkata, ”Saya menyukai orang yang datang meminang, bukannya orang yang menyuruh meminang.”
Abu menjadi serba salah. Hendak diterima, bimbang sahabatnya kecewa. Hendak ditolak, rugi pula (peluang sudah berada di depan mata). Jadi, Abu pun menerima tawaran tersebut, maka berkahwinlah Abu dengan perempuan itu.
Apabila terserempak dengan Salman, Abu akan mengelakkan dirinya daripada bersua muka. Abu rasa bersalah kerana telah berkahwin dengan perempuan yang diminati oleh Salman. Selama beberapa hari, mereka tidak bertemu.
Akhirnya, Salman dapat juga berjumpa dengan Abu. Abu, dalam keadaan serba salah memohon maaf kepada Salman.
”Aku minta maaf, wahai sahabatku. Tidak patut aku mengahwini orang yang kau sukai.”
”Sebenarnya, akulah yang patut memohon maaf kepada kau, Abu. Sudah tertulis jodoh perempuan itu dengan kau tetapi aku yang pandai-pandai suruh meminang dia untuk aku.”
——————————————————————
Sekiranya semua manusia di dalam dunia ini berfikiran seperti Salman dan Abu, sudah tentu tidak ada masalah putus kawan hanya kerana dituduh “kawan makan kawan”.
Segala-galanya berpunca daripada iman yang kuat terhadap segala ketetapan Allah. Redhalah siapa jodoh anda. Hanya Allah yang tahu mengapa dia ditakdirkan untuk kita.