Keutamaan Mengetahui Kisah Para Sahabat dan Adab Terhadap Mereka
Para Sahabat RHUM telah ditakrifkan oleh ulama sebagai; Orang Islam yang beriman yang hidup di zaman Rasulullah SAW dan pernah melihat Rasulullah SAW. Mereka merupakan orang yang paling dikasihi oleh Nabi SAW dan orang yang paling faham dalam setiap perkara dalam agama.
Umat Islam pada hari ini kurang memberi perhatian terhadap kisah kehidupan manusia-manusia hebat ini. Pada masa yang sama, muncul pula golongan yang membuat fitnah kepada Para Sahabat RHUM terutamanya golongan Syiah, orientalis dan ahli sejarah yang mempunyai niat buruk. Sehubungan itu, adalah menjadi satu kewajipan kepada kita yang mengaku mencintai Allah dan Rasul untuk menghormati Para Sahabat, bersangka baik terhadap mereka dan tidak mengkritik mereka.
Penulis memetik tulisan Qadi Iyadh RAH iaitu, “Jika kita mendakwa menghormati dan memuliakan Rasulullah SAW, kita juga perlu menghormati Para Sahabat Nabi SAW. Sebagai seorang Muslim, kita wajib membayar setiap hutang yang kita hutangi terhadap mereka dengan mengikuti jejak langkah mereka dan memohon ampun untuk mereka.”
“Tidak syak lagi bahawa mereka mempunyai perbezaan yang tersendiri dan kita tidak berhak untuk mengkritik mereka. Kita mestilah berhati-hati ketika menerokai kisah-kisah palsu yang direka-reka oleh golongan Syiah, golongan pembid’ah atau ahli sejarah yang mempunyai niat yang tidak elok terhadap Para Sahabat RHUM. Pada masa yang sama, janganlah sesekali mencurigai kejujuran dan keikhlasan mereka. Sekiranya terlintas di fikiran kita sesuatu peristiwa di dalam sejarah yang mungkin merendahkan martabat mereka, hendaklah kita mengaitkannya dengan motif-motif yang baik (bersangka baik). Sepatutnya, kita sentiasa berbicara mengenai kebaikan mereka dan memelihara lidah kita yang tidak bertulang ini daripada berkata sesuatu yang mungkin memburukkan Para Sahabat RHUM.”