Tips Penulisan: Penulis Bertanggungjawab Terhadap Apa yang Ditulis
Setiap apa yang kita tulis menggambarkan apa yang terbuku dalam hati dan fikiran kita. Pembaca akan menilai seseorang penulis berdasarkan apa yang dia tulis.
Jika seseorang penulis itu suka menulis perkara-perkara yang humor, pembaca boleh mengagak bahawa penulis itu seorang yang humor. Jika dia menulis perkara yang bersifat Islami, pembaca boleh mengagak bahawa penulis itu mungkin berjiwa Islami. Begitu juga, jika sesebuah novel itu menceritakan mengenai adegan-adegan cinta yang tidak halal, agak-agak, apakah yang pembaca akan katakan terhadap penulis itu?
Maka, berhati-hatilah dalam setiap perkataan, frasa mahupun ayat yang kita tulis. Adakah kita suka para pembaca melabelkan kita sebagai penulis novel cabul?
Penulis perlu mempunyai sifat bertanggungjawab dalam setiap isi tulisannya. Jika penulisan boleh mempengaruhi pembaca untuk menyerap nilai-nilai yang murni, mengapa kita harus memilih untuk menulis nilai yang merosakkan?
Ramai penulis tersalah faham maksud dakwah dalam penulisan. Sebagai contoh, dia berkeinginan untuk menyedarkan pembaca bahawa pergaulan bebas dan hubungan cinta luar nikah boleh membawa kepada kemudaratan. Maka, dia pun menulis adegan-adegan, babak-babak ghairah dan akibat-akibat yang berlaku akibat pergaulan bebas dan hubungan yang terlarang itu. Secara tidak langsung atau tidak dia sedari, sebenarnya, dia bukan MENYEDARKAN pembaca tetapi MEMPROMOSIKAN cara hidup yang tidak sihat itu. Meskipun dia tegas berkata, “Saya hanya mahu sedarkan pembaca!” tetapi hakikatnya, pembaca tidak SEDAR bahkan semakin ghairah. Jadi, tekniknya tersilap.
“Jika kamu mahu menghentikan kemungkaran, maka tutuplah kemungkaran itu. Jika kemungkaran itu disebarkan, kemungkaran akan semakin tersebar!”
Begitu juga yang berlaku dalam akhbar-akhbar yang memaparkan kisah-kisah sensasi sebegini setiap hari untuk tatapan pembaca. Apa kesannya kepada pembaca? Adakah setelah kita membaca berita-berita LUCAH seperti itu, kita akan semakin menjauhi kelucahan? Atau pun pembaca semakin terangsang?
Untuk menjadi penulis yang IKHLAS, kita perlu tahu, apa kehendak ALLAH. Jangan salah faham maksud IKHLAS. IKHLAS bukan bermakna kita menulis apa sahaja yang terbuku dalam hati dan berkata, “Aku tidak mahu hipokrit. Aku ikhlas menulis kisah ini supaya pembaca mengambil iktibar.”
Sebelum ini, mungkin anda telah membaca artikel saya berkenaan, “MEMBETULKAN NIAT SEMASA MENULIS”. Niat perlu selari dengan tindakan. Meskipun niat kita baik, tetapi ia tidak menghalalkan cara.
INGAT! NIAT TIDAK MENGHALALKAN CARA!
Jadi, untuk mempromosikan kehidupan yang murni, penulis perlu menulis sisi bersih masyarakat dan meminimumkan sisi gelap dalam masyarakat. Masih ada banyak lagi isu yang boleh kita ketengahkan. Mengapa asyik isu CINTA sahaja yang penulis mampu ketengahkan?
Pembaca sekarang semakin bijak menilai kualiti. Fikirlah sendiri. Kita mendidik pembaca ke arah kebaikan atau sekadar menjamu nafsu
mereka?
SERTAI KAMI dan KONGSI …
Betul tu. Apa yang kita tulis mempengaruhi diri dan orang lain.
Hanif Abdul Bahar recently posted…Jejak Ketamadunan dalam Al-Quran vol 2