TIPS PENULISAN: APAKAH SIFAT YANG PERLU ADA PADA SEORANG PENULIS?
- Seorang penulis mestilah mengamalkan ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupannya. Amalan seseorang penulis mempengaruhi apa yang ditulis. Seorang yang homoseksual akan menulis novel yang menyokong LGBT walaupun dia rasa tulisan dia benar (konon-kononnya atas nama hak asasi). Seorang yang menyukai perkara-perkara maksiat akan menulis novel yang mendorong ke arah maksiat. Tolonglah, jangan rosakkan minda pembaca dengan tulisan-tulisan anda. Anda akan dipersoalkan di dalam kubur dan akhirat kelak.
- Penulis mesti sentiasa memperbaiki tulisannya dari semasa ke semasa. Sebenarnya, tidak ada mesin atau bengkel yang boleh mencipta penulis yang hebat dengan segera. Ia memakan masa. Lihatlah Ramlee Awang Mursyid, setelah lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia penulisan, barulah masyarakat mula menyedari kehebatan novel thriller beliau. Jadi, teruskan menulis dengan menggunakan kaedah-kaedah yang betul.
- Penulis mesti selalu melatih dirinya agar menulis secara berdisiplin. Banyakkan menulis menggunakan tatabahasa yang betul dan ejaan yang standard meskipun anda mahu menzahirkan gaya penulisan yang santai. Jangan menganggap tatabahasa dan ejaan sebagai penghalang kreativiti. Penulis yang kreatif mampu menulis secara kreatif walaupun diletakkan 1001 halangan.
- Membaca+membaca+membaca+menulis = penulis. Penulis perlu menjadi seorang pembaca yang baik. Sekurang-kurangnya, penulis perlu mencintai tiga perkara dalam hidupnya iaitu: penulis, buku dan kerja-kerja penulisan.
- Setiap penulis diuji dengan apa yang ditulis. Dari situlah penulis akan ditarbiah oleh penulisannya sendiri. Sebab itulah penulis perlu menulis perkara-perkara yang baik agar dia menjadi seorang yang baik.
- Penulis perlu mempunyai kesungguhan dan istiqamah. Kita tidak menyedari bakat kita sehinggalah kita selesai menulis. Jadi, menulislah walaupun pada mulanya anda tidak yakin. Lama-lama, anda akan menjadi yakin setelah mendapat komen membina daripada rakan-rakan anda yang membaca manuskrip anda.
- Setiap penulis mempunyai kontrak sosial dengan pembaca. Pembaca mempunyai hak untuk menamatkan kontrak tersebut atau meneruskannya. Kita tidak tahu sama ada novel pertama kita diterima oleh pembaca, selagi kita tidak tahu adakah pembaca novel kita yang pertama itu akan membeli novel kita yang seterusnya. Jadi, berhati-hatilah dalam menghasilkan novel yang pertama kerana jika pembaca sudah cop anda sebagai novelis cabul, nama anda akan menjadi busuk.
- Setiap penulis perlu mempunyai niat yang jelas, minat yang mendalam dan kesungguhan. Jangan cepat puas hati dengan sambutan hangat sesebuah novel kita kerana banyak nama-nama yang dulunya mekar kini hampir hilang serinya dan digantikan dengan penulis-penulis baharu yang lebih agresif.
- Setiap penulis mesti sedia menerima teguran sama ada pahit atau manis. Lagi pahit lagi bagus hatta kutukan karma sekalipun. Pujian melangit hanya akan mengangkat anda ke langit buat seketika kemudian anda akan jatuh ke tanah. Kedebuk!
- Penulis perlu bersifat hemah tinggi dan menghargai. Jangan apabila sudah mahsyur, sudah mula lupakan jasa baik editor dan syarikat penerbitan yang bersusah-payah menyediakan periuk nasi untuk kita.
- Penulis perlu menulis kebenaran, bukannya kebatilan. Kebenaran akan menghasilkan keindahan manakala kebatilan akan menzahirkan kebusukan dan pencemaran. Sekali lagi saya rayu, elakkan menulis novel-novel cabul. Please!
Sekian untuk kali ini. Selamat menulis perkara-perkara kebaikan.