Preview Budak U (Bab 3): Aku Budak Nakal

Episod 3: Aku Budak Nakal
Aku kepenatan. Aku membaringkan tubuh di atas tilam yang empuk. Agak berpeta tilam itu namun tidak aku ketahui peta negara mana. Hendak dikatakan peta dunia, bukan peta dunia. Mungkin peta planet lain.
            Aku ditempatkan di Kolej Perindu. Tadi, aku melilau mencari kolej penginapan ini. Rupa-rupanya kolej ini berada agak jauh dari tempat pendaftaran. Penat aku berjalan jauh sambil mengheret beg yang berisi pakaian dan beberapa kelengkapan peribadi. Mujurlah aku membawa beg yang mempunyai roda. Jika aku menggalas beg yang digunakan oleh pengembara, mungkin boleh jatuh bahu aku.
            Aku menjadi penghuni pertama yang memasuki bilik bernombor 204. Daripada nombor bilik itu, dapat diketahui bahawa ia berada di tingkat dua dan bilik yang keempat. Ada dua buah katil di dalam bilik itu. Ini bermakna, bilik ini bakal dihuni oleh dua orang manusia. Aku ternanti-nanti, siapakah insan bertuah yang menjadi rakan sebilik dengan aku.
            Disebabkan terlalu bosan duduk seorang diri di dalam bilik itu, aku pun keluar dan berlegar-legar di sepanjang koridor.  Aku memerhatikan gelagat para pelajar lain. Melalui pemerhatian ini, aku melihat pelbagai ragam manusia. Ada yang mengendong beg besar seperti aku. Dari atas, aku nampak seorang budak yang membawa bersama-samanya Teddy Bear berwarna merah jambu. Hampir-hampir aku menyangka budak itu tersilap masuk kolej disebabkan perwatakannya yang mirip-mirip seorang perempuan. Rupa-rupanya dia lelaki yang lemah lembut.
            Budak itu berjalan menuju ke arah aku. Hatiku berdebar. Adakah dia akan menjadi rakan sebilik dengan aku?
            “Abang, boleh tumpang tanya? Bilik 204 di mana?” Dia bertanyakan aku soalan itu dan membahasakan diri aku sebagai ‘abang’. Memang sah, budak ini adalah rakan sebilik aku. Disebabkan dia sudah memanggil aku ‘abang’, maka aku pun berlakon sebagai seorang senior.
            “Bilik 204? Oh, adik kena turun balik. Kemudian, naik blok yang satu lagi. Cari bilik itu di tingkat dua,” jawapku dengan membahasakan dirinya sebagai ‘adik’.
            “Oh, bukan di sini, ya?” Soalnya balik. Dia terperasan angka 204 yang tertulis pada pintu bilik.
            “Bukan. Memang nombor bilik sama untuk setiap blok tetapi ini blok untuk budak senior sahaja. Budak junior blok sebelah sana,” jawapku lagi. Aku berlagak seperti seorang senior.
            “Oh, yakah? Terima kasih,” balasnya.
            Budak itu pun mengendong begnya turun bersama-sama Teddy Bear merah jambunya. Aku mengetap bibir menahan tawa. Lama-kelamaan, terburai juga ketawa dari mulutku. Cepat-cepat aku menutup mulut.
            Aku berjalan-jalan lagi melihat bilik-bilik yang lain. Tidak semena-mena, ada suara menjerit nama aku, “Hakimi! Hakimi!”
            Aku tercari-cari dari mana datangnya suara itu. Aku ternampak kelibat Ali sedang melambai-lambaikan tangannya dari tingkat bawah. Aku membalas lambaian tersebut lalu berlari mendapatkannya.
            “Di sini awak rupa-rupanya,” kataku.
            “Saya pun cari awak juga tadi. Awak sudah makan tengah hari atau belum?” Ali menyoal aku.
            “Belum,” jawapku ringkas.
            “Jom kita pergi makan dahulu di kafe,” Ali mengajak.
            “Boleh juga, perut saya pun sudah mula menyanyi sekarang,” balasku pula.
            Aku dan Ali menuruni tangga untuk ke kafe berhampiran. Tanpa disangka, kami terserempak budak yang mengendong Teddy Bear merah jambu tadi.
            “Abang, puas saya cari bilik 204 di blok sana. Tidak ada pun,” rungutnya.
            “Tidak ada? Ish, peliknya. Tidak mengapalah. Awak pergi masuk bilik 204 di blok ini dulu. Nanti saya uruskan hal awak dengan pegawai asrama.” Sekali lagi aku berlakon sebagai seorang senior yang prihatin.
            “Terima kasih abang senior!” Katanya sambil tersenyum lalu naik ke tingkat dua dengan riang gembira.
            Ali memandang aku kehairanan. Aku tersengih.
***
“PERHATIAN kepada semua pelajar baru, anda semua diminta berkumpul di dataran kolej sekarang!”
            Suara seorang fasilitator minggu orientasi bergema di corong-corong speaker lantas mengejutkan aku dari tidur. Aku membuka mata. Budak Teddy Bear merah jambu sudah bersiap-siap untuk turun beratur di bawah. Dia sudah tahu siapa aku yang sebenar. Aku pun telah memohon maaf kepadanya pada tengahari tadi kerana telah mengenakannya. Mujurlah dia tidak kisah.
            “Hakimi, sila bangun. Sudah lewat. Fasilitator sudah panggil kita beratur di bawah,” kata budak itu.
            “Awak pergilah dulu. Nanti saya turun,” kataku yang masih erat memeluk bantal.
            “Okey, Ayu turun dulu, ya.” Budak merah jambu yang menjadi rakan sebilik aku itu membahasakan dirinya dengan nama ‘Ayu’. Nama sebenarnya bukan ‘Ayu’ tetapi Razif.
            Aku meneruskan tidur. Dalam beberapa ketika, pintu bilik aku dibuka oleh seseorang yang tidak aku kenali. Dia ialah seorang fasilitator.  “Woi, turun! Tidak dengar arahankah?”
            Aku terkejut lalu cepat-cepat bangun. Dengan wajah baru bangun tidur, aku mencapai tuala dan mahu bergegas ke bilik mandi. “Tunggu sekejap. Saya mahu mandi dulu.”
            “Baru hendak mandi?” Jerkah fasilitator itu sambil mencekak pinggangnya.
Aku tidak mempedulikan jerkahannya. Aku meneruskan niatku untuk mandi. Disebabkan tergesa-gesa, aku mandi ala kadar sahaja. Asalkan mandi.
Setelah bersiap-siap, aku pun bergegas ke dataran kolej. Semua pelajar baru sudah berada di dalam barisan masing-masing. Aku cuba untuk terus masuk ke dalam barisan tetapi seorang fasilitator menahan aku. Aku disuruh berdiri di depan bersama-sama seorang lagi pelajar baru. Aku mengenalinya.
“Joki!” Jeritku.
“Kau lagi. Asyik muka kau sahaja buat masalah,” balas Joki.
“Kau pun sama,” balasku pula.
Seorang fasilitator sedang memberikan penerangan mengenai pelbagai perkara berkaitan kolej, sahsiah pelajar dan undang-undang universiti. Aku rasa seperti kembali ke zaman sekolah. Gaya percakapan fasilitator itu tidak ubah seperti pengetua sekolah aku dulu. Mungkin fasilitator ini adalah anaknya, fikirku.
Pada petang itu maka bermulalah sesi orientasi secara rasminya. Aku dan Joki dikenakan hukuman ketuk ketampi sebanyak 50 kali disebabkan lewat turun ke bawah. Aku tidak kisah. Asalkan ‘macho’. Joki juga begitu, kami menjalankan hukuman ketuk ketampi itu dengan penuh riang gembira.
Setelah itu, semua pelajar baru bergerak ke masjid untuk menunaikan solat Asar. Sambil menapak, aku berbual-bual dengan Joki.
“Kau duduk bilik mana?” Aku menyoalnya.
“203,” jawab Joki ringkas.
“Eh! Sebelah bilik aku rupanya.” Aku membalas. Joki masih dengan wajah ketatnya. Senyum pun tidak, apa pun tidak.
Ketika kami sedang rancak berbual, sekali lagi aku dan Joki dijerkah oleh seorang fasilitator lain, “Budak dua orang di belakang sana, jalan cepatlah! Lambat, macam itik!”
Aku mahu mempercepatkan langkah tetapi Joki menarik tangan aku lalu berkata, “Buat apa cepat-cepat? Lambat-lambat pun sampai juga. Kau jangan jadi budak skema.”
“Ya, betul … betul.” Aku menyokong. Aku memang pantang dipanggil skema.
Para fasilitator memandang kami berdua dengan wajah tidak puas hati. Kami tetap mengekalkan halaju yang sama sehingga sampai ke tangga masjid.
***
SELESAI solat, semua pelajar diberikan tag nama bersaiz kad pengenalan. Kami diminta menulis nama masing-masing di atas tag nama tersebut. Sekali lagi aku dan Joki bertindak nakal.
            “Kita jangan tulis nama sebenar. Tulis nama olok-olok saja,” Joki memberikan cadangan.
            “Ya, betul. Aku pun terfikir seperti kau juga. Memang kepala otak kita sama,” aku menyokong.
            Joki menulis nama ‘Rossi’ manakala aku menulis nama ‘Shawn’. Wah, memang glamor nama tersebut.
            Aku bertanya, “Siapa Rossi?”
            “Valentino Rossi, jaguh litar. Kau tidak kenal?” Kata Joki.
            “Aku tidak minat lumba motor,” jawapku.
            “Skemalah kau!” Joki menyindir aku.  Joki menambah lagi, “Shawn ini siapa pula?”
            “S.H.A.W.N, Saya Hakimi Anak Warga Negara!” jawabku sambil berseloroh. Berderai tawa antara kami.
            Selepas itu kami diberi pesanan, “Mulai hari ini, kamu semua diwajibkan memakai tag nama ini ke mana-mana sahaja. Sesiapa yang enggan memakainya akan didenda.”
            Aku ingin bertanya sama ada tag ini perlu dipakai ketika tidur atau masuk ke tandas. Namun, aku membatalkan niat untuk bertanya soalan itu kerana bimbang dikatakan bodoh. Aku tidak rela dikatakan bodoh. Aku mahu ‘macho’.
            Pada petang itu, kami semua disuruh berlari pusing kampus. Inilah perkara yang paling aku tidak suka. Sewaktu di sekolah dahulu, berkali-kali aku mengelak untuk menyertai acara larian atau merentas desa. Aku memberi alasan bahawa aku menghidap penyakit lemah pinggang. Semua guru percaya. Aku bukannya berbohong. Memang betul aku pernah dimasukkan ke hospital ketika berumur enam tahun disebabkan penyakit itu.
            Kali ini, aku tidak mahu menggunakan alasan itu lagi. Memberi alasan sakit untuk mengelak daripada berlari adalah sifat orang yang tidak ‘macho’, fikirku. Sekarang, aku mahu berubah menjadi lelaki yang sihat. Jadi, aku teruskan juga berlari bersama-sama pelajar lain secara perlahan-lahan.
            Semakin lama aku berlari, pinggangku terasa sakit. Aku gagahkan juga berlari demi untuk menjadi lelaki ‘macho’. Dengan tidak semena-mena, aku rebah di tengah jalan. Aku sudah tidak sedarkan diri lagi setelah itu. maka, hilanglah ke‘macho’an aku pada petang itu.
      
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge