Nostalgia Mandi Sungai

 Ketika aku di alam kanak-kanak, aku agak nakal. Aku tidak mengerti maksud di sebalik setiap larangan ibu dan ayah. Setiap tegahan mereka kadang-kadang aku langgar kerana apa yang ditegah itu berlawanan dengan keinginan aku.
 Ibu melarang aku mandi sungai, aku tetap akan terjun ke sungai. Aku tidak peduli asalkan aku boleh berseronok-seronok. Sehinggalah pada suatu hari, aku dan Zaqyah pergi memancing ikan di sebatang sungai. Sebelum pergi, ibu telah berpesan sesuatu.
            “Nanti balik awal. Jangan mandi sungai.”
            Sungai itu terletak tidak jauh dari rumah kami. Setelah hampir sejam memancing, aku membilang ikan dalam baldi. Banyak juga yang kami dapat pada petang itu.
“Erm, buat masak kari mesti sedap!”
“Sudahlah, abang. Jom kita balik. Hari pun sudah hampir senja. Ibu pesan supaya kita balik awal.”
“Masih awal lagi. Abang hendak mandi sungai dulu!”
Lantas, aku berdiri sambil menghulurkan kedua-dua tangan ke hadapan persisi seorang perenang Sukan Olimpik.
            “Abang, jangan terjun! Bukankah ibu sudah pesan?”
            Aku tidak mempedulikan nasihat Zaqyah lantas menurut saja keinginan nafsu dan terus terjun ke dalam sungai. Kemudian aku ketawa sambil memandang Zaqyah yang sedang sibuk mengalihkan joran ke tempat lain.
            “Hah! Hah! Bukannya dalam sangat pun!”
            Kaki aku dapat memijak dasar sungai sedangkan air hanya sampai ke paras dada. Zaqyah masih memanggil-manggil aku supaya segera naik ke atas.
            “Abang, jomlah balik! Nanti ibu marah!”
            “Rilekslah! Jomlah mandi dulu!’
            Zaqyah bercekak pinggang dan mencerlung ke arah aku. “Jika abang tidak mahu naik, Zaqyah balik beritahu ibu!”
            Zaqyah meninggalkan aku sedangkan aku terus berseronok di dalam sungai yang agak jernih airnya. Sungai itu datangnya dari bukit. Belum lagi dicemari oleh sampah seperti kebanyakan sungai di pekan atau bandar.
            Tanpa diduga, aku berjalan-jalan di dalam sungai itu sehingga sampai ke satu tempat yang dalam. Kaki aku tidak lagi dapat memijak tanah dan aku terkapai-kapai mendapatkan sesuatu untuk berpaut. Tiada apa lagi yang mampu aku ingat melainkan lemas. Aku mungkin lemas kerana selama ini aku tidak pandai berenang!
            “Argh! Argh! Argh!”
            Aku terkapai-kapai lagi dan tidak mampu untuk menjerit. Beberapa kali air sungai itu masuk ke dalam hidung dan mulut. Aku membayangkan saat kematianku yang semakin dekat. Aku teringatkan ibu, ayah dan adik. Ya Allah! Ampunkanlah dosa-dosa aku.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge