Menghadapi Perasaan Cinta yang Bertandang Sebelum Masanya
Aku menjadi semakin tidak keruan. Bak kata pepatah; Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Hendak diberitahu terasa malu, hendak disimpan terasa perit. Apabila cinta menguasai hati, jasad akan menuruti. Maka, aku terus memendam rasa. Orang kata; jika kita ikhlas kepada seseorang, nanti orang itu akan dapat rasa. Betulkah?
“Nuar, apa yang kau tahu mengenai ikhlas?” soal aku tatkala selesai solat Isyak pada malam tersebut. Nuar sedang menghadap komputer manakala aku duduk di sebelahnya.
“Ikhlas ialah melakukan sesuatu perkara yang disuruh kerana Allah dan meninggalkan sesuatu perkara yang dilarang kerana Allah,” jawab Nuar.
“Adakah ikhlas itu dapat diketahui oleh orang lain?”
Nuar memberitahu, “Tidak ada sesiapa yang mengetahuinya kecuali Allah. Kita sendiri tidak tahu sama ada kita ikhlas atau tidak. Apatah lagi hendak menuduh orang lain tidak ikhlas.”
“Habis, bagaimana pula dengan apa yang selalu kita lihat dalam masyarakat? Ada orang menulis pada sesuatu sedekah dengan perkataan – ikhlas daripada fulan bin fulan. Ataupun si penderma akan berkata – ini ialah derma ikhlas daripada saya. Bagaimana pula dengan hal begitu?”
Nuar tersenyum, “Mudah-mudahan Allah memberikan sifat ikhlas kepada si fulan bin fulan itu. Kita tidak bolehlah menuduh dia tidak ikhlas. Kita harus bersangka baik dengan orang yang berbuat kebaikan. Sama ada dia ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita. Itu urusan Allah.”
Nuar meneruskan, “Ikhlas itu bagaikan semut hitam yang duduk di atas batu hitam pada malam yang kelam. Mustahil dapat dilihat, bukan?”
“Ya. Pandai sungguh kau memberi aku faham.”
“Bukan aku yang memberi kau faham tetapi Allah. Aku sekadar menerangkan tapi Allah yang anugerahkan kefahaman.” Nuar merendah diri. Aku menyukai sifatnya itu.
“Erm … jika kita menyukai seseorang, perlukah kita beritahu dia?” Aku bertanya.
“Tidak ada salahnya jika kita beritahu ibu dan ayah kita, kita sayangkan mereka. Tidak salah juga jika kita beritahu pensyarah atau guru bahawa kita menyukai cara dia mengajar … .”
Aku mencelah, “Tapi, bukan itu maksud aku, Nuar.”
“Aku tahu apa yang kau maksudkan. Tidak lain mesti berkaitan perempuan, bukan?” Aku tersenyum dan mengangguk. Tekaannya tepat.
“Patutlah aku nampak kau asyik tersenyum seorang diri sejak tadi. Rupa-rupanya ada bunga yang sedang mekar dalam hati.” Nuar menggeleng sambil tersenyum. Tangannya kembali lincah mengetik papan kekunci.
“Mengikut apa yang pernah aku dengar daripada ustaz, jika seseorang lelaki itu menyukai seorang perempuan, dia boleh masuk merisik dan meminang. Beritahu ibu dan ayahnya bukannya meminta terus daripada si empunya badan. Dia ada wali,” jelas Nuar.
“Tapi, sekarang ini zaman moden, Nuar. Adakah masih ada golongan yang begitu bertertib seperti itu? Zaman sekarang, golongan ustaz pun cari jodoh sendiri. Balik-balik dari universiti, terus kahwin dengan rakan sekuliah dulu.” Aku sekadar menyatakan pendapat aku yang dhaif ini.
“Zaman bila-bila pun, syariat Nabi juga yang kita kena ikut. Apa yang Nabi telah ajarkan kepada kita adalah untuk kebaikan kita juga, bukannya untuk menyusahkan. Cuma, kita yang tiada kekuatan untuk menurut sepenuhnya sunnah Nabi. Walaupun kita lemah, kita tetap kena yakin bahawa cara Nabi itulah cara yang terbaik.” Nuar menerangkan panjang lebar.
Aku menyokongnya. “Betul, Nuar. Berpegang teguh dengan sunnah nabi tidak semudah menyebut ABC. Aku sendiri pun lemah. Janggut pun tidak mampu bela. Asyik hendak potong saja. Perkara yang ringan pun tidak boleh buat, apa lagi hendak buat perkara yang besar. Astaghfirullahal azim.”
“Berbalik pada masalah kau tadi, boleh aku tahu perempuan mana yang telah membuatkan kau begitu angau?” Nuar bertanya.
“Budak itulah … siapa lagi. Aku baru tahu yang dia ialah anak tauke restoran tempat aku dan Ali kerja. Ayah dia seorang yang berpangkat datuk, orang kaya. Bukan setakat restoran itu sahaja bisnes yang dia ada. Banyak lagi bisnes dia. Itulah yang membuatkan aku serba salah. Aku mana layak untuk dia tapi jika aku biarkan, mungkin dia akan terlepas ke tangan orang lain.” Aku beranikan diri untuk meluahkan.
“Kau yakin soal jodoh, rezeki dan ajal telah ditetapkan oleh Allah?” soal Nuar.
“Itu perkara yang wajib untuk dipercayai. Tidak percaya nanti tidak sempurna iman,” jawab aku.
“Jadi, mengapa kau perlu risau jika dia menjadi milik orang lain? Kau tidak yakin bahawa Allah telah tetapkan jodoh yang terbaik untuk kau?” Aku kelu dan tidak dapat menjawab soalan itu.
“Satu lagi perkara yang kau perlu fikir. Mengapa kau hendakkan dia?” Nuar meneruskan soalan.
“Aku juga seperti orang lain yang memiliki hati dan perasaan. Tidak mungkin aku mampu bertahan dalam sendirian. Jadi, aku berhasrat untuk jadikan dia pasangan hidup aku.”
“Nampaknya pegangan kau sudah berubah. Bukankah sebelum ini kau anti-couple?” Nuar mengingatkan aku kembali. Aku tersengih kerana menyedari hakikat tersebut.
“Barulah aku tahu, mengapa orang bercinta. Sekarang, ia sudah terkena dengan diri aku. Tapi, aku yakin jika aku bercinta nanti aku tidak akan melanggar hukum hakam. Aku akan jadikan ia satu perkara yang murni. Bercinta senyap-senyap saja, tidak perlu ber-dating. Aku akan bimbing dia ke jalan yang lurus. Hehe.”
Nuar membidas kata-kataku, “Aku bimbang jika kau yang akan karam. Jika kau ber-couple dengan dia sekarang, bila kau akan berkahwin dengan dia? Mungkin lambat lagi kerana kita masih belajar. Diploma pun belum habis. Selepas ini kau tidak mahu sambung ijazah?”
“Mestilah hendak,” jawab aku.
Nuar menasihati aku lagi, “Sanggup kau tunggu selama itu? Huh! Tempoh ber-couple sehingga ke jinjang pelamin adakah satu penyeksaan jika kau hendak tahu. Dalam tempoh tersebut, orang yang baik pun boleh bertukar menjadi iblis. Aku bukan hendak memandang keburukan orang tetapi aku sendiri melihat dengan mata kepala ini. Ada seorang budak perempuan kelas aku, sewaktu masuk universiti dulu bukan main lagi bertudung labuh dan berstokin kaki dan lengan. Sekarang, apabila sudah ada jantan, semuanya hilang … tudung pun tidak pakai!”
“Mungkin orang seperti itu tidak pandai menjaga diri. Asyik ber-dating saja ke sana ke sini. Mestilah iblis menghasut mereka untuk menjadi lebih teruk.” Aku menjawab.
“Ikut suka kaulah, Hakimi. Asalkan kau bahagia. Aku nasihatkan kau saja. Terpulanglah kepada kau sama ada hendak dengar atau tidak,” kata Nuar sambil keluar dari bilik dan menuju ke bilik air.
Untuk mendapatkan novel-novel ini, sila SMS 019-4702839
~Silakan share~