Mengapa Kita Tidak Layak Menjadi Mujtahid?
Siapa yang paling faham mengenai hukum agama?
Secara umumnya, setiap umat Islam memahami bahawa orang yang paling memahami Al-Quran setelah Nabi ialah Para Sahabat. Ini kerana, mereka hidup bersama-sama Nabi dan telah menempuh pelbagai onak dan duri sehingga Allah redha kepada mereka. Daripada pengorbanan mereka itulah timbulnya kefahaman. Kefahaman tidak akan timbul tanpa pengorbanan. Kefahaman itu, Allah akan beri kepada sesiapa yang Allah suka asbab daripada pengorbanannnya.
Para Sahabat pula menumpahkan ilmu mereka kepada Para Tabien. Imam Abu Hanifah sendiri dikatakan pernah berguru dengan 30 orang Sahabat Nabi SAW. Ulama-ulama tabien ini pula berhujah berdasarkan Al-Quran, Al-Hadis dan pendapat Para Sahabat dalam menentukan sesuatu hukum fikah. Pada waktu itu, belum lagi muncul imam hadis yang kita kenali nama mereka sebagai Al-Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan lain-lain lagi. Mereka pun mengutip hadis daripada imam-imam mazhab.
Bagaimana menentukan sesuatu hukum?
Generasi selepas Tabien pula dipanggil tabi’ tabien (pengikut tabien). Pada zaman inilah, munculnya Imam Malik (pernah berguru dengan Imam Abu Hanifah), Imam As-Syafie (anak murid Imam Malik) dan Imam Ahmad bin Hanbal (anak murid Imam Syafie). Para ulama mujtahid ini telah menggunakan seluruh kepakaran mereka menyimpulkan semua hukum fikah berlandaskan Al-Quran, Hadis dan Ijmak Para Sahabat. Mereka memperincikan kaedah dalam menetapkan fatwa serta diperkukuhkan dengan disiplin ilmu yang mantap. Untuk membuat fatwa untuk satu masalah sahaja, mereka akan mengkaji setiap isi Al-Quran, Hadis dan Atsar Sahabat dan BUKANNYA MENGAMBIL TERUS SATU HADIS TERUS JADI HUKUM seperti yang dibuat oleh orang jahil yang berlagak alim pada zaman ini.
”Sebaik-baik umat adalah pada kurun aku, kemudian yang mengikuti mereka, kemudian yang mengikuti mereka.” (Bukhari dan Muslim)
Ini bermakna, umat yang terbaik ialah pada 300 kurun yang pertama iaitu zaman Nabi dan Sahabat, zaman Tabien dan zaman Tabi’ Tabien. Para ulama yang lahir selepas kurun tersebut mengambil langkah berhati-hati untuk mengikut mujtahid-mujtahid yang muktabar yang telah diyakini keilmuan mereka. Contohnya Imam Al-Ghazali dan Imam An-Nawawi yang bertaklid dengan pendapat Imam A-Syafie walaupun mereka layak untuk bermazhab sendiri. Inilah yang dikatakan adab dalam berilmu.
Siapa yang layak mentafsirkan Al-Quran?
Untuk menjadikan seseorang itu layak mentafsirkan Al-Quran, dia perlu memiliki 15 cabang ilmu termasuk nahu/sorof, ilmu hadis, ilmu balaghah, bahasa Arab, ilmu bayan dan ilmu mauhub. Ilmu mauhub ini bukannya semua orang mampu memilikinya kerana ia adalah ilmu ladunni yang terus daripada Allah SWT. Ada hadis Nabi SAW mengenai perkara ini iaitu, ”Sesiapa yang beramal dengan ilmu yang diketahuinya, maka Allah akan berikan kepadanya ilmu yang belum diketahuinya.”
Tanyalah diri kita, adakah kita belajar Bahasa Arab? Jika tidak, janganlah berangan-angan untuk buat fatwa sendiri sekadar berlandaskan Al-Quran dan hadis yang telah dialih bahasa! Itu belum lagi mengenai ilmu nahu/sorof yang membolehkan seseorang itu mampu meletakkan baris pada ayat Al-Quran dan Hadis yang tidak ada baris.
Siapakah Imam As-Syafie?
Imam As-Syafie memiliki ilmu fikah Madinah (daripada Imam Malik), ilmu fikah Iraq (daripada Imam Al-Syaibani) dan ilmu fikah Mekah (kerana beliau tinggal di sana). Beliau menyedari setiap perdebatan yang berlaku antara mereka. Lalu, beliau menulis sebuah kitab yang bernama Ar-Risalah sebagai satu method kepada ilmu usul fikah. Tradisi tersebut diteruskan lagi oleh ulama-ulama yang bermazhab dengannya dengan lebih terperinci dalam mentafsirkan hukum daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka berijtihad berdasarkan kaedah-kaedah tersebut. Pada zaman tersebut, dikatakan munculnya ramai orang jahil yang mengaku alim dan sesuka hati membuat fatwa tanpa ilmu. Jadi, sebagai jalan penyelamat, ulama menyarankan agar orang awam bertaklid kepada imam-imam mazhab.
Mengapa kita tidak layak menjadi mujtahid?
Imam Al-Ghazali berpendapat, adalah mustahil untuk setiap orang awam menjadi mujtahid (mengambil terus hukum daripada Al-Quran dan Hadis) kerana bukan semua orang mampu mencapai tahap tersebut. Sedangkan hadis pun kita tidak hafal dan tidak tahu sanadnya, inikan pula hendak menjadi ahli hadis.