Khalifah Allah vs Khalifah Syaitan
Apa hebatnya manusia berbanding binatang?
Jika manusia kata, “Kami hebat kerana setiap kali kami bangun pagi, kami basuh muka,” kucing pun basuh muka setiap kali bangun tidur. Ada binatang yang apabila bangun pagi, ia akan ludah pada tangannya dan cuci muka. Ada juga binatang yang selepas makan, ia pandai untuk cuci tangannya. Jadi, membasuh muka bukan faktor kelebihan manusia berbanding binatang.
Jika manusia kata, “Kami mulia kerana kami sentiasa mandi,” binatang pun mandi. Ada burung yang mandi di sawah. Jadi, mandi bukan faktor kemuliaan manusia berbanding binatang.
Jika manusia kata, “Kami mulia kerana kami boleh mencari rezeki sendiri,” binatang pun pandai mencari rezeki sendiri. Bahkan mafhum hadis menyatakan, “Jika kamu ada sifat tawakal kepada Allah sepertimana sifat tawakal seekor burung yang keluar dengan perut yang kosong dan balik dalam keadaan kenyang maka Allah SWT akan beri rezeki sepertimana Allah SWT beri kepada burung.” Jadi, kemampuan untuk mencari rezeki bukan faktor kelebihan manusia berbanding binatang.
Jika manusia kata, “Kami hebat kerana boleh bina bangunan di tempat yang tinggi,” burung pun boleh membina sarang di tempat yang tinggi. Semangat untuk membuat kediaman di tempat yang tinggi sama sahaja seperti semangat burung membuat rumah. Jika manusia suka buat rumah yang pelik-pelik, burung pun boleh buat rumah yang pelik-pelik. Jika manusia suka buat rumah dengan pintu yang banyak, lebah pun boleh buat sarang dengan pintu yang banyak. Jika manusia suka letak lampu di dalam rumah, lebah pula akan menangkap kelip-kelip dan mengantungkan di rumahnya sehingga terang.
Manusia hidup berkeluarga dan beranak isteri. Binatang pun berkeluarga dan beranak isteri. Burung siak jantan dan betina sama-sama buat sarang. Kemudian, setelah bertelur, Allah keluarkan anak. Kemudian, pasangan burung tadi pun keluar mencari makanan untuk anak-anak mereka. Jika manusia memikirkan rezeki anak-anak, binatang juga memikirkan rezeki untuk anak-anak.
Apabila manusia semakin besar, mereka mahu menjadi orang besar dan berpengaruh. Ayam jantan juga memiliki keinginan dipandang besar dan berpengaruh. Ayam jantan sanggup bertarung demi menjadi ketua reban walaupun tuan mereka memberikan makanan yang sama banyak kepada mereka. Keldai juga suka bergaduh berebut kandang walaupun mereka tinggal di kandang yang luas. Apabila bergaduh, tentulah ada menang dan kalah. Ayam jantan jika menang, ia akan pergi berkokok dengan memanjangkan lehernya. Ayam lain pun kagum dengan kehebatannya. Jika ada makanan, ia akan terpa makanan itu dahulu dan sanggup menghalau ayam-ayam lain. Ia rasa dirinya besar. Samalah seperti manusia, berebut kuasa, harta dan wanita sama seperti binatang.
Kesimpulannya, jika manusia buat perkara yang binatang boleh buat, itu bukan satu kehebatan!
Meskipun begitu, ada satu kelebihan binatang ialah di hari akhirat kelak, mereka tidak akan masuk ke neraka seperti manusia yang ingkar. Di akhirat, mereka akan diberi peluang membalas dendam antara satu sama lain sehingga akhirnya masing-masing menjadi tanah. Namun begitu, manusia yang kafir terpaksa duduk dalam neraka untuk selama-lamanya.
Jadi, apakah kelebihan yang ada pada manusia berbanding binatang dan makhluk-makhluk lain?
Jawapannya, kerana Allah meletakkan kemampuan kepada manusia untuk menjadi khalifah! Masih ingatkan pada ayat, “Aku ingin mencipta manusia sebagai khalifah di muka bumi.”?
Bagaimana manusia menjalankan tugas sebagai khalifah Allah?
Manusia akan menjadi khalifah Allah apabila dia menggunakan dirinya dan hartanya untuk kepentingan orang lain. Orang itu dikurniakan sifat-sifat mulia oleh Allah (ar-Rahman). Dengan sifat itu, manusia memberi faedah kepada dirinya dan orang lain. Allah Maha Pemurah. Dia memberi kepada semua orang walaupun orang itu tidak sembah Allah. Itulah sifat mulia milik Allah yang Allah kurniakan kepada khalifah Allah. Allah gunakan manusia yang Allah sayang untuk menzahirkan sifat pemurah Allah itu. Itulah maksudnya khalifah Allah. Jika manusia hanya menggunakan hartanya untuk dirinya sendiri, sama saja seperti haiwan.
Allah tidak berkira. Jika isteri derhakai suami, isteri itu mungkin akan diceraikan. Jika pekerja mengkhianati majikan, mungkin pekerja itu akan dipecat. Jika askar membelot kepada tenteranya, mungkin dia akan dihukum atau dibunuh. Seorang menteri yang tidak patuh kepada Perdana Menteri, akan digugurkan jawatannya. Namun begitu, bagi Allah, sama ada orang itu taat atau tidak, Allah tidak pernah menghentikan rezekinya. Jika kita memberi sesuatu tanpa mengharapkan balasan, kita ialah khalifah Allah. Walaupun orang yang kita bantu tidak menghormati kita, kita tetap bina hubungan yang baik dengan dia. Jika sampai ke tahap itu, kita layak menjadi khalifah Allah.
Seluruh orang beriman ialah khalifah Allah di muka bumi. Allah melihat pada iman dan amal orang Islam. Jika amal kita baik, maka Allah akan turunkan kebaikan ke atas muka bumi. Jika amal kita buruk, maka Allah akan turunkan keburukan ke atas muka bumi. Pendek kata, jika amal baik naik, kebaikan akan turun. Jika amal buruk naik, keburukan akan turun. Oleh itu, seluruh orang Islam (terutamanya saya) perlu memperbanyakkan amal kebaikan dan menghindari amal keburukan. Di samping itu, seluruh orang Islam (terutamanya saya) perlu mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kerana, jika Allah ingin menurunkan bala atas sebab kemungkaran, semua orang akan kena tidak kira dia beriman atau fukur, soleh atau fasik.
Sayidatina Aisyah r.a ditanya, “Bilakah berlakunya gempa bumi?”
Jawab beliau, “Apabila penzinaan berleluasa.”
Sayidatina Aisyah r.a. tidak menjawab seperti jawapan ahli sains, “Gempa bumi berlaku disebabkan berlakunya geseran plat-plat bumi,” tetapi beliau menjawab berdasarkan sunnatullah.
Orang beriman akan sentiasa menghubungkan dirinya dengan Allah. Setiap apa yang berlaku ke atas dirinya, akan dikaitkan dengan Allah. Inilah tujuan sifat zikir iaitu mencapai sifat ehsan. Apakah itu ehsan? Merasai bahawa setiap masa dan keadaan kita melihat Allah atau sekurang-kurangnya Allah melihat kita.
Orang beriman yang berilmu akan faham, setiap masa dan keadaan, apakah perintah Allah terhadap dirinya dan bagaimanakah dia menjalankan perintah itu sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW. Apabila orang beriman ditimpa musibah, dia akan tahu, kepada siapakah dia harus memohon perlindungan. Jika orang beriman mendapat sesuatau, dia akan tahu kepada siapakah dia harus bersyukur.
Kisah 1:
Pada suatu hari, seorang lelaki pergi ke rumah saudaranya. Tuan rumah itu kemudian mengambil tongkat lalu mengait buah mangga di hadapan rumahnya lalu dijamu kepada tetamunya itu. Tetamu itu perlu berterima kasih kepada tongkat itu atau tuan punya tongkat?
Kisah 2:
Seorang lelaki melemparkan batu ke arah seekor anjing yang mengganggu ketenteraman. Anjing itu akan menyerang batu itu atau orang yang melemparkan batu?
Anjing pun tahu, kepada siapa ia harus tuju. Begitulah perumpamaan yang mudah untuk kita fahami. Fikir-fikirkanlah.
Apakah perbezaan antara khalifah Allah dan khalifah syaitan?
Khalifah syaitan sibuk untuk ambil hak orang lain. Contohnya, kerajaan sibuk hendak ambil harta orang awam dengan mengenakan cukai yang tiada dalam agama. Siapa yang mahir dalam kira mengira akan dilantik menjadi Menteri Kewangan. Pernah dengar kisah Firaun?
Firaun asalnya ialah seorang pencuri kain kapan. Waktu siang dia menjaga kubur. Jika ada kematian, dia akan kenakan bayaran kepada sesiapa yang mahu mengebumikan mayat di situ. Dia gembira dapat banyak duit dengan cara begitu. Kemudian, raja mendapat tahu kegiatan si Firaun ini. Raja memanggilnya dan meminta dia menjelaskan mengapa dia mengenakan bayaran. Firaun menjawab, “Di kampung, aku seorang penjual sayur menggunakan kereta lembu. Ada pegawai kerajaan ambil sayur aku sedikit demi sedikit. Aku fikir, kerja seperti ini tidak menguntungkan. Lebih baik aku menjadi pencuri kain kapan dan menjaga kubur.”
Raja menyedari kebijakan yang ada pada Firaun. Kata raja, “Beta lantik kamu menjadi Menteri Kewangan.” Lama-lama, Firaun naik takhta jadi raja pula. Itulah contoh khalifah syaitan, hanya tahu fikir bagaimana untuk rampas harta orang dan merosakkan orang. Apabila manusia fikir untuk merosakkan orang, maka Allah hantar bala untuk merosakkan mereka. Allah hantar banjir, gempa bumi dan bencana alam kesan daripada niat dan tindakan khalifah syaitan untuk merosakkan orang. Berhati-hati dengan niat!
Khalifah Allah pula sentiasa berfikir untuk membina kehidupan orang lain, maka Allah beri keberkatan. Khalifah Allah hanya tahu memberi tetapi tidak menuntut apa-apa daripada mereka. Khalifah Allah mendapatkan sesuatu daripada Allah dengan asbab amal. Dengan amal, Allah turunkan rezeki yang mencukupi untuk manusia. Amalan yang paling penting ialah solat lima waktu setiap hari.
Dengan beribadat, kita mendapat manfaat daripada Allah. Kita sebagai khalifah mengambil daripada khazanah Allah dan diberikan kepada makhluk serta tidak meminta apa-apa daripada mereka. Setiap manusia, Allah beri kemampuan untuk menjadi khalifah.
Selain menjadi khalifah Allah, satu lagi kemuliaan manusia ialah kita layak menjadi khalifah Rasulullah iaitu menyambung kerja-kerja kenabian. Kerja-kerja nubuwwah ini berpindah daripada seorang Nabi kepada seorang Nabi sehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW. Setelah kewafatan baginda, Para Sahabat pula menyambung tugas tersebut. Begitulah ia silih berganti daripada satu generasi kepada generasi yang lain sehinggalah ke zaman kita ini. Allah telah memelihara kesinambungan agama ini dengan perantaraan dakwah. Allah SWT juga telah berjanji bahawa tidak ada rumah sama ada di kampung atau di desa yang tidak didatangi dakwah ilallah (al-Quran, 35:24). Maka, orang Islam dijadikan asbab supaya dakwah ini sampai ke rumah-rumah dan perlulah kita sebagai umat Islam untuk mengambil peluang ini.
Umat Islam perlu sambung kerja-kerja kenabian ini kerana selepas ini tiada lagi Nabi. Pada diri umat Islam perlu ada perasaan risau dengan segala kemungkaran dan kekufuran yang berlaku di sekeliling kita. Setiap umat Islam perlu memberanikan diri pergi jumpa setiap orang Islam dan sampaikan kepada mereka peringatan-peringatan daripada Allah dan Rasul. Jika kerja ini ditinggalkan, maka kemungkaran akan berleluasa. Orang kuffar tidak segan silu untuk mendakyahkan agama batil mereka kepada orang Islam. Maka, akan berlakulah kemurtadan.
Meskipun amat sukar untuk melakukan dakwah, yakinlah bahawa setiap kepayahan itu akan dibalas dengan ganjaran yang tidak ternilai. Kerja dakwah ini akan menjadi ringan dan mudah jika setiap umat Islam berganding bahu untuk melakukannya. Kerja dakwah ini perlu dilakukan secara ijtimaie supaya kesannya dapat dirasai secara ijtimaie.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berpegang teguh dengan sunnah aku pada zaman kerosakan umat maka baginya pahala syahid.” Baginda turut bersabda, “Sesiapa yang menghidupkan sunnah aku bererti dia mencintai aku. Sesiapa yang mencintai aku, dia akan bersama-sama dengan aku dalam syurga.”
Dakwah adalah ibu kepada sunnah. Dengan adanya dakwah, maka sunnah-sunnah Nabi SAW yang lain akan hidup. Ibarat seperti ibu ayam, ke mana sahaja ibu ayam pergi maka anak-anaknya akan ikut sekali. Telah terbukti, orang yang berdakwah, dia ada kekuatan untuk mengamalkan setiap sunnah Nabi SAW dalam kehidupannya. Ini juga adalah janji Allah. Orang yang mendakwah manusia kepada Allah, Allah akan perbaiki amalannya dan ampunkan dosa-dosanya (al-Quran).
Persoalannya, adakah perlu buat dakwah sedangkan dia masih melakukan kemungkaran?
Setiap umat Islam perlu melarang orang lain berbuat kemungkaran walaupun dia masih belum meninggalkan semua kemungkaran. Setiap umat Islam juga perlu mengajak orang lain kepada kebaikan walaupun dia belum melakukan semua kebaikan. Orang yang sedang mencuri, jika dia nampak orang sedang berzina, dia juga wajib cegah penzinaan itu walaupun dia sedang mencuri. Dia tidak boleh kata, “Aku sedang mencuri. Tidak perlu cegah orang lain buat dosa kerana aku juga buat dosa.” Jika dia fikir begitu, dia akan dapat dua dosa. Satu dosa sebab mencuri dan satu lagi dosa sebab tidak mencegah orang berzina.
Jika hendak tunggu tidak ada dosa baru hendak buat dakwah, maka berapa ramai orang yang boleh buat dakwah?
Kesimpulannya untuk saya, saya wajib cegah orang buat dosa walaupun saya belum tinggalkan dosa. Saya juga perlu ajak orang buat baik walaupun saya belum buat semua kebaikan.