Kenapakah dan Bagaimanakah Sayidina Abu Bakar r.a. Ditabalkan Sebagai Khalifah?

BAB 4: PEMILIHAN KHALIFAH
“Mana mungkin dua bilah pedang dimasukkan ke dalam satu sarung!”(Sayidina Umar)
Setelah Rasulullah SAW wafat, setiap orang Islam berada dalam kesedihan dan kebingungan. Bagaikan anak yang kematian ibu bapa, pastinya mereka menyimpan perasaan pilu yang sukar untuk digambarkan. Masing-masing terfikir, siapakah yang sepatutnya menggantikan tempat Rasulullah SAW sebagai ketua bagi kaum Muslimin.
Apakah kecelaruan yang timbul dalam proses pemilihan khalifah?
Kaum Muslimin pada waktu itu berkumpul dalam tiga keadaan. Sayidina Ali r.a., Zubair bin al-Awwam r.a. dan beberapa orang daripada ahli keluarga Rasulullah SAW berada di rumah Sayidatina Fatimah r.a.. Para ahli keluarga Rasulullah SAW masih lagi menguruskan beberapa hal berkaitan kematian Baginda. Beberapa orang Sahabat ternama daripada kalangan Ansar pula berkumpul di rumah Saqifah Bani Saadah manakala beberapa orang Sahabat Muhajirin berada di rumah Sayidina Abu Bakar r.a..
            Maka, datanglah seseorang memberitahu Sayidina Abu Bakar r.a. dan Sayidina Umar r.a. bahawa golongan Ansar sedang berkumpul di rumah Saqifah Bani Saadah untuk membaiat Saad bin Ubadah r.a. sebagai khalifah. Perkara tersebut menimbulkan kerisauan Sayidina Umar r.a. dan beliau bimbang mereka akan melakukan bid‘ah dalam Islam. Ketika itulah Sayidina Umar r.a. berkata kepada Sayidina Abu Bakar r.a., “Wahai Abu Bakar! Marilah bersama-sama kami menemui Sahabat-sahabat Ansar.”
            Kemudian, mereka yang berada di rumah Sayidina Abu Bakar r.a. pun berjalan menuju ke rumah Saqifah Bani Saadah. Abu Ubaidah bin al-Jarrah r.a. turut serta. Sampai di pertengahan jalan, dua orang lelaki Ansar menyapa mereka, “Ke manakah kamu hendak pergi wahai orang Muhajirin?”
            “Kami mahu pergi berjumpa kaummu untuk menasihati mereka dalam hal yang sedang mereka lakukan,” jawab Sayidina Umar r.a..
            “Janganlah kalian pergi ke sana. Mereka tidak akan buat keputusan yang bertentangan dengan kalian dan keputusan mereka tidak akan membuatkan kalian benci.”
            “Demi Allah! Kami tetap akan pergi berjumpa mereka,” tegas Sayidina Umar r.a..
            Maka, mereka pun meneruskan perjalanan. Sesampainya di sana, mereka lihat terdapat seorang lelaki yang terbaring berselimut. Di sekelilingnya terdapat para lelaki daripada kaum Ansar. Sayidina Umar r.a. bertanya, “Siapakah lelaki ini?”
            Para Sahabat yang lain menjawab, “Saad bin Ubadah.”
            “Mengapa dengan dia?”
            “Dia sedang sakit.”
            Para Sahabat daripada golongan Muhajirin pun masuk ke dalam rumah tersebut dan mengambil tempat masing-masing. Beberapa ketika kemudian, seorang wakil daripada kaum Ansar bangun dan berkata, “Kami adalah penolong-penolong agama Allah, tentera Islam manakala kalian adalah golongan Nabi kami (Muhajirin). Kami tahu bahawa kalian ingin mencabut akar umbi kami dan tidak mengambil kira pendapat kami dalam urusan ini (pemilihan khalifah).”
            Tatkala mendengar hal tersebut, Sayidina Umar r.a. ingin bangun untuk menjawab tuduhan itu. Beliau berfikir hujah yang sesuai untuk dipersembahkan agar setiap orang dapat menerima keputusan yang akan diputuskan.
Belum sempat Sayidina Umar r.a. menyatakan pendapatnya, Sayidina Abu Bakar r.a. bangun dan bercakap secara spontan, “Apa sahaja yang kalian katakan mengenai kebaikan, maka ia baik untuk kalian. Kami tidak akan mengabaikan keutamaan kalian dalam agama ini. Namun, sebagaimana yang diketahui oleh orang Arab, bangsa Quraisy memang layak memikul tanggungjawab sebagai khalifah. Orang Arab tidak akan taat melainkan kepada seorang lelaki Quraisy. Mereka lebih baik daripada keturunan dan tempat tinggal. Bertakwalah kepada Allah dan janganlah menimbulkan perpecahan atau pembaharuan dalam agama. Kami setuju jika kalian memilih salah seorang antara dua orang ini iaitu Umar atau Abu Ubaidah. Mereka akan memikul amanah sebagai khalifah.”
Kemudian, dengan spontan Sayidina Abu Bakar r.a. memegang tangan Sayidina Umar r.a. dan Abu Ubaidah al-Jarrah r.a. sedangkan Sayidina Umar r.a. sangat tidak menyukai dirinya dilantik menjadi khalifah. Baginya, lebih baik beliau mati dibunuh daripada menanggung jawatan khalifah yang di dalamnya terdapat orang bawahan bernama Sayidina Abu Bakar r.a..
Sayidina Umar r.a. bingkas menyanggah cadangan itu. “Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya orang yang paling layak di antara kita untuk menjadi pemimpin setelah Rasulullah ialah Abu Bakar. Dirinya disebut dalam al-Quran dan lebih dulu melakukan kebajikan.”
Seorang lelaki Ansar berkata, “Umar bagaikan sebatang pohon yang cantik di dalam taman dan dia digunakan untuk menahan pohon-pohon lain supaya tidak tumbang.” Maksud perkataan lelaki itu ialah Sayidina Umar r.a. adalah orang yang terbaik dalam membuat keputusan. (Tafsiran Imam Malik rah)
            Kemudian, lelaki itu berkata, “Daripada golongan kami seorang pemimpin dan daripada golongan kalian seorang pemimpin, wahai orang Quraisy.”
            Sayidina Umar r.a. tidak bersetuju lantas berkata, “Mana mungkin dua bilah pedang dimasukkan ke dalam satu sarung!”
            Suasana bertambah tegang. Masing-masing meninggikan suara. Sayidina Abu Bakar r.a. dan Sayidina Umar r.a. mulai bimbang masalah ini akan menimbulkan perpecahan. Lalu, Sayidina Umar r.a. berkata kepada Sayidina Abu Bakar r.a, “Hulurkanlah tanganmu wahai Abu Bakar (untuk dibaiat).”
            “Engkau lebih utama daripada aku!” jawab Sayidina Abu Bakar r.a..
            “Engkaulah yang lebih utama daripada aku!” balas Sayidina Umar r.a..
            Kemudian, Sayidina Abu Bakar r.a. mengulangi kata-katanya sehingga tiga kali. Akhirnya, Sayidina Abu Bakar r.a. akur tatkala Sayidina Umar r.a. memberikan alasan, “Sesungguhnya kekuatan milikku adalah satu kelebihan untukmu.”
Lalu, Sayidina Abu Bakar r.a. menghulurkan tangannya dan dibaiat oleh Sayidina Umar r.a.. Kemudian diikuti oleh Sahabat Muhajirin dan Sahabat Ansar.
            Namun begitu, ada juga sebahagian mereka yang masih menyebelahi Saad bin Ubadah r.a.. Maka, Saad bin Ubadah r.a. berkata kepada mereka, “Kamu datang kepada aku sedangkan ada di kalangan kalian seorang lelaki yang difirmankan oleh Allah,‘Sedang salah seorang daripada dua orang ketika kedua-duanya berada di dalam gua’.” (Surah At-Taubah: 40)
Maka, Saad bin Ubadah r.a. juga turut membaiat Sayidina Abu Bakar r.a. dan diikuti oleh para penyokongnya. Maka, kendurlah ketegangan itu.
___________________________________
Ini ialah sebahagian bab daripada manuskrip saya, “Bintang di Langit” yang masih belum diterbitkan (ketika saya membuat posting ini). Kisah di atas berdasarkan sumber daripada kitab Hayatus Sahabah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge