CATATAN PERJALANAN BENGKEL PENULISAN NOVEL DI KUANTAN
Saya menulis catatan ini ketika berada di dalam bas, pulang dari Kuala Lumpur. Dan, saya akan mulakan catatan pada kali ini bermula dari stesen bas Guar Chempedak, Kedah.
“Tiket bas abang pukul berapa?” soal isteri saya yang melihat saya masih relaks bermain Samsung Tab.
“Pukul sebelas setengah,” jawab saya sambil mula berkemas-kemas.
“Abah, nak hantaq abah,” kata puteri kesayangan saya, Nur Humaira.
“Kalau nak hantaq, pakai tudung,” jawab saya.
Humaira kemudian memakai tudung, siap dengan purdah. Mungkin kerana dia sering melihat umminya memakai purdah, maka dia pun mahu memakainya pada malam itu.
Kemudian, kami berjalan kaki dari rumah ke stesen bas kerana rumah sewa kami tidak jauh dari situ. Selepas menanti beberapa minit, bas pun datang. Saya tinggalkan anak dan isteri kesayangan dengan lambaian.
***
Keesokan pagi, lebih kurang pukul 4.30, saya tiba di Puduraya. Tapi, surau di Plaza Rakyat belum dibuka. Ramai orang tidur di kaki-kaki lima, tepi jalan dan di perhentian bas.
Mungkinkah mereka juga seperti saya? Datang dari jauh dan sementara menunggu siang, mereka tidur di situ. Tapi, pakaian mereka nampak seperti pengemis.
Pagi itu, saya cuba untuk menjadi gelandangan lalu saya tidur di atas sebuah kerusi panjang berdekatan Menara Maybank. Ketika jam pukul 5.45, setelah pintu Puduraya dibuka, barulah saya bergerak ke surau.
Selepas mandi dan mengerjakan solat Subuh, saya meluangkan masa untuk beriktikaf sehingga matahari terbit. Kemudian, dengan hanya bersarapan air mineral dan kacang, saya melangkah keluar dari Plaza Rakyat, mencari bas Metro untuk ke Kota Damansara. Bas bernombor 99 itu berada dekat dengan CIMB Bank. Memang saya sudah sering menggunakan bas itu jika mahu ke pejabat Galeri Ilmu.
Sesampainya di pejabat, Tuan Amir membawa saya berjumpa staf yang lain. Rezeki saya pada pagi itu, dihidangkan dengan nasi lemak dan teh.
“Ada urusan apa hari ini?” soal Puan Aliyah Siyari.
“Dia dah hebat la ni,” sampuk Puan Norhasyimah.
Sambil tersenyum, saya menjawab, “Saya dan Amir akan ke Kuantan untuk buat bengkel penulisan novel.”
Kemudian, selepas selesai makan, saya mengikut Tuan Amir ke biliknya dan di situ kami berbincang mengenai pelbagai perkara berkaitan NOVEL.
Saya juga mendapat hadiah berupa beberapa buah buku daripada pihak Galeri Ilmu sebagai penghargaan kerana saya menyunting buku-buku tersebut.
***
Selesai solat Jumaat, Tuan Web Sutera dan Puan Dissa Azmin datang ke pejabat. Mereka datang untuk mengambil stok novel. Tidak sangka pula hari itu saya dan Tuan Web dijemput untuk sesi fotografi. Ia adalah untuk menyiapkan banner kami sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014. Mengikut jadual, kami akan berduet di booth Galeri Ilmu pada 30 April 2014, bermula pukul 3.00 petang.
Sebelum itu, saya menerima pesanan ringkas daripada seorang pembeli yang mahu membeli buku-buku saya. Ditakdirkan, dia tinggal di Shah Alam, dan memang saya dan Tuan Amir akan ke Shah Alam pada malam itu. Justeru, saya sempat mengambil stok buku untuk dibawa kepadanya dan untuk bengkel di Kuantan. Kami ke Shah Alam untuk menjemput seorang lagi rakan kami iaitu Tuan Azlan Ismail yang akan menyertai kami ke sana. Saya meminta pembeli tersebut datang berjumpa saya di Seksyen 20 untuk mengambil buku. Akhirnya, terjadilah pertemuan di sebuah kedai mamak.
***
Perut sudah kenyang, buku sudah dijual. Kami memulakan perjalanan ke Kuantan secara bertiga menggunakan kereta Viva.
“Siapa nak drive?” soal Tuan Amir.
“Aku boleh drive selepas dah masuk Karak,” jawab saya. “So, untuk keluar dari sini, Azlan boleh drive kot.”
“Okey, let’s go!”
Disebabkan lama kami tidak bertemu, maka keluarlah bermacam-macam cerita sepanjang perjalanan. Tuan Azlan, setelah berhenti kerja dari Galeri Ilmu, kini sedang berniaga tudung wanita secara online. Saya pun baru sahaja berhenti kerja dan menjadi penulis dan jurulatih penulisan sepenuh masa, manakala Tuan Amir masih mencurahkan khidmat baktinya di Galeri Ilmu sebagai editor perolehan.
“Berapa jam nak sampai Kuantan ni?” soal saya.
“Dalam empat jam,” jawab Azlan.
“Kalau dah ngantuk, bagitaulah aku. Biar aku drive pula.”
“Takpa, aku biasa tidur pukul empat pagi, dok layan bisnes online. Kadang-kadang, tak tidur langsung.”
Kami berdua berborak sedangkan Tuan Amir yang duduk di belakang sudah tertidur, keletihan agaknya. Tapi, tidak lama selepas itu, saya pula tertidur. Tinggal Tuan Azlan bawa kereta seorang diri.
Tiba-tiba, kami semua tersentap!
“Weh, awat ni? Awat ni?” terkejut saya tatkala kereta tersentap dengan tidak semena-mena. Wajah Tuan Azlan agak pucat. Tuan Amir terbangun dari tidur.
“Hang mengantuk ka, Lan?”
“Sorry, aku tertukar gear. Dok biasa bawa manual, tetiba arini bawa auto. Haha!”
“Kita berhenti dululah. Pekena ayaq ka apa ka yang patut.”
Kemudian, kami berhenti di sebuah hentian sebelah untuk membeli minuman bagi menghilangkan rasa mengantuk.
***
Kami keluar dari Lebuh Raya Pantai Timur dan masuk ke Kuantan, kemudian terus mencari-cari hotel untuk menginap di Bandar Indera Mahkota.
“Tempat bengkel kita esok kat mana?” tanya Tuan Azlan.
“Mengikut maklumat, ia dok depan Hotel Sri Manja. So, aku rasa better kita tidur di hotel tu,” cadang saya.
Setelah kami menjumpai Hotel Sri Manja, kami pun dengan penuh keyakinan memarkir kereta dan terus ke kaunter.
“Encik, ada bilik kosong lagi?” tanya saya. Terlupa pula nak tempah bilik awal-awal.
“Maaf, dah penuh.”
Waktu itu sudah pukul 2.30 pagi. “Alamak! Nak tiduq mana malam ni?”
Justeru, kami mencari hotel lain. Namun, semua hotel di situ dah penuh. “Cuti sekolah. Orang ramai bercuti la ni.”
“So, nak tiduq mana?”
“Erm … tiduq masjidlah jawabnya.”
Mujurlah kami terjumpa Masjid Ampuan Afzan. Dapat juga tidur walaupun di luar masjid kerana masjid itu berkunci. Ketika saya sudah melelapkan mata, Tuan Amir dan Tuan Azlan masih bersembang. Dan, ketika saya terjaga dari tidur, mereka masih berbual.
“Hangpa tak tiduq ka?”
“Nyamuk banyak la, Khairy. Tapi hang boleh tiduq selamba ja.”
“Dah tiduq, mana sedaq apa dah.”
***
Keesokan pagi, setelah mandi dan solat Subuh berjemaah, semua jemaah masjid dijemput bersarapan di kantin masjid. Rezeki lagi!
Sambil bersarapan, kami beramah mesra dengan ahli jemaah yang lain.
“Datang dari mana?” soal seorang pakcik.
“Dari Shah Alam. Pagi ni kami akan buat bengkel penulisan.”
Kemudian, Tuan Amir dan Tuan Azlan terus melayani mereka sedangkan saya terpaksa ke tandas, sakit perut pula pagi ini. Mereka agak berminat untuk bertanya mengenai dunia penulisan sehinggalah akhirnya kami menunjukkan buku-buku yang kami bawa kepada mereka.
“Bagus buku-buku ni. Pakcik nak belilah. Bagi cucu baca.”
“Boleh, apa salahnya,” kata saya.
Pertemuan secara tidak langsung itu akhirnya menjadi sesi promosi buku dan tandatangan. Sebelum beredar, kami berikan kad kepada para jemaah sebagai kesediaan untuk terus berhubungan.
***
Pukul 9.00 pagi. Seorang demi seorang peserta sampai di lokasi bengkel. Ada yang masih mencari-cari jalan dengan bertanya saya melalui telefon. Saya pun bukan arif sangat dengan tempat ini. Ini kali pertama saya tiba di sini. Pada pukul 9.30 pagi, saya memulakan ceramah sehingga ke pukul 12.00. Kemudian, Tuan Amir meneruskannya sehingga ke pukul 1.30. Setelah itu, kami menjamu selera nasi kukus ayam goreng di sebuah restoran terdekat. Selepas solat Zuhur, Tuan Azlan pula mengambil slotnya. Bengkel ini selesai pada pukul 4.00 petang. Sambutan dan penglibatan peserta memuaskan. Mereka kelihatan sangat berminat bertanyakan soalan.
***
“Lepas ni nak pi mana?” soal Tuan Amir.
“Macam yang kita plan la. Pantai Teluk Chempedak.”
“Okeylah, kami ikut amersab.”
Saya kemudian menghubungi seorang rakan yang berasal dari Kedah, satu sekolah dan satu kelas dengan saya di Sek. Men. Sains Tuanku Syed Putra, Firdaus Ahmadi atau Fimad. Sebelum ini pun dia telah memberitahu saya supaya menghubunginya jika saya datang ke Kuantan.
Maka, petang itu kami mengisi masa di situ. Pengunjung sangat ramai. Terjumpa pula seorang mamat yang bermain alat muzik aneh menyerupai gading gajah. Di sisinya ada sudut “Library on Beach”. Buku-buku indie disediakan secara percuma untuk dibaca, bukan untuk dijual. Kami mengambil kesempatan menyelami dunia indie sambil makan donat.
***
Malam itu, Fimad bermurah hati belanja kami makan. Menunya sangat mengujakan. Ketam rebus telur masin, kailan ikan masin, sotong goreng tepung, ikan pari dan telur dadar sangat menggoda sehingga sengkak kami dibuatnya.
Selesai makan, kami meneruskan perjalanan ke Felda Jengka 17 untuk bermalam di rumah Tuan Azlan. Saya sangat letih pada malam itu, terpaksa tidur awal setelah sampai di rumahnya.
Keesokan pagi, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Sebelum mereka menghantar saya ke Puduraya, saya sempat membeli beberapa buah buku untuk dijadikan rujukan penulisan saya selepas ini.
Insya-Allah, kami bercadang untuk meneruskan sesi jelajah bengkel ke seluruh Malaysia. Justeru, sesiapa yang berminat sila berikan nama penuh dan lokasi sama ada menggunakan SMS atau Whatsapp ke +60194702839. Juga boleh menghantar private message ke Facebook saya.
Jemput SHARE … mungkin rakan-rakan anda berminat.
Sy brminat bgkel pnulisn d alor setar 0!32326580