Apakah Hakikat Zikir?


Maksud zikir pada bahasa ialah ‘mengingati Allah.’ Tujuan zikir adalah untuk mencapai sifat EHSAN iaitu berasa sentiasa ada hubungan dengan Allah SWT, setiap masa dan keadaan Allah melihat apa yang kita lakukan. Maka, jika kita sudah merasai seperti itu, masihkah kita berani untuk melakukan dosa?
MAULANA ILYAS (rah) berkata, “Maksud zikir di sisi kami ialah sebagaimana kami sentiasa mentaati perintah Allah SWT dan mengikuti sunah Rasulullah SAW pada setiap masa dan keadaan.”
Amalan zikir selalu dikaitkan dengan kesufian. Para ulama sufi menyatakan bahawa terdapat dua jenis ahli sufi iaitu:
1.      Golongan yang memisahkan diri daripada manusia lain untuk mendekatkan diri dengan Allah.
2.   Golongan yang bergelumang dengan manusia lain tetapi hatinya sentiasa dekat dengan Allah. Golongan ini lebih tinggi makamnya berbanding golongan yang pertama.
Zikir dapat mencuci hati yang kotor serta menghapuskan dan merawat penyakit-penyakit batin. Syeikh Abdul Wahab Syaarani berkata, “Orang yang selalu berzikir mampu memadamkan semua penyakit dalaman seperti sombong, ujub, riak, bersangka buruk, suka dipuji dan lain-lain.”
Orang yang banyak berzikir juga berkeupayaan untuk sampai kepada Allah SWT secepat burung yang meluncur tetapi orang yang kurang berzikir, bagaikan makhluk yang mengesot.
Orang yang sentiasa berzikir, akan mudah baginya untuk khusyuk dalam ibadah. Contohnya, Urwah bin Zubair (anak Zubair dan Asma’ binti Abu Bakar r.huma), suatu ketika perlu memotong kakinya kerana penyakit. Maka, orang ramai mencadangkan kepadanya ubat bius supaya beliau tidak merasa sakit ketika kakinya dipotong. Namun begitu, beliau enggan kerana tidak mahu terlibat dengan benda-benda yang menghilangkan akal. Sebagai alternatif, beliau meminta supaya tabib memotong kakinya ketika dia sedang bersolat. Maka, dia pun bersolat dan membaca ayat al-Quran yang panjang-panjang. Ketika itulah mereka memotong kakinya tanpa sedikit pun rasa sakit. Begitulah bagaimana para salafussoleh tenggelam dalam ibadah kepada Allah.
Imam Nawami (rah) merupakan seorang ulama yang suka menulis kitab. Baginya, menulis kitab adalah satu keasyikan yang dapat melupakan kelaparan. Pernah sekali ibunya risau melihatnya tanpa makan dan minum sehingga larut malam kerana asyik menulis kitab. Maka, ibunya telah datang kepadanya lalu menyuapkan beberapa keping roti sehingga habis sambil beliau masih asyik menulis kitab. Selepas beliau habis menulis pada malam itu, beliau bertanya ibunya, “Mana roti tadi?”
Rupa-rupanya, beliau tidak sedar bahawa ibunya telah menyuapkannya kerana terlalu asyik menulis kitab.
Maulana Ilyas (rah) berkata lagi, “Bidaah pertama yang berlaku kepada umat (akhir zaman) ialah berzikir dalam keadaan lalai.” Hari ini kita memegang biji tasbih dan lidah kita terkumat-kamit menyebut kalimah zikir tetapi hati kita melayang entah ke mana. Mata pun asyik memandang kiri dan kanan.
Ada ayat yang bermaksud, “Sebaik-baik zikir ialah LAILAHA ILLALLAH.” Maulana Saad (db) menyatakan bahawa, zikir kepada kalimah ini mempunyai dua pengertian.
1.      Berzikir dengan menyebut ucapan LAILAHA ILLALLAH sebanyak-banyaknya.
2.      Mendakwahi kalimah LAILAHA ILLALLAH kepada orang lain.
Pengertian yang pertama, ramai orang boleh buat tetapi untuk pengertian yang kedua, hanya orang tertentu sahaja yang mampu melakukannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

2 Responses

  1. Anonymous says:

    maulana saad (db)<br />apa itu (db)?<br />syukran

  2. db – damat barakatuhu (semoga Allah memberkatinya)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge