Apa Dosa Rohingya?
Tatkala membaca berita mengenai nasib yang menimpa etnik Rohingya, aku terfikir betapa bertuahnya hidup sebagai rakyat Malaysia yang bebas, memiliki kerakyatan, ada kerja, ada rumah, ada kenderaan, ada akaun. Etnik Rohingya, aku fikir, nak buka akaun Facebook pun tak mampu apatah lagi akaun bank. Tapi, kita ini, dua tiga akaun kita ada, tak termasuk akaun fake dan page.
Mereka hidup dalam kesengsaraan. Negara asal, Myanmar tidak mahu mengiktiraf mereka sebagai rakyat kerana mereka ini dianggap bukan bangsa Myanmar. Wajah mereka mirip-mirip orang Bangladesh tapi Bangladesh pun tak mampu nak terima mereka. Bahasa mereka tidak sama.
Terbaca mengenai nasib seorang remaja Rohingya belasan tahun yang mencari rezeki dengan bekerja dengan bot ikan. Pada suatu hari, dia diculik ketika berjalan-jalan di Pekan Rakhine.
“Kamu perlu ikut kami. Kami ada kerja untuk kamu di Malaysia.”
Dia terfikir, ‘Jika mereka mahu berikan aku kerja, mengapa perlu meletakkan pisau panjang di leher?’
Remaja itu tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menurut sahaja kehendak orang yang menangkapnya. Tubuhnya dihumban ke dalam bot bersama-sama 450 orang etnik Rohingya yang lain. Sepanjang sebulan berada di atas bot, mereka hanya diberikan segenggam nasi dan dua suap air sehari. Ramai antara mereka yang tidak tahan menghadapi derita lalu terjun ke laut membunuh diri.
Sesampainya di sempadan Thailand-Perlis, mereka semua dipaksa masuk ke dalam hutan sehingga sampai ke sebuah kem. Di situlah mereka dikurung dan dilayan seumpama haiwan. Para gadis dirogol dan para lelaki dipukul. Selama tiga bulan remaja tadi menjadi tukang masak dan menggali kubur. Sepanjang dia di situ, dia telah menyaksikan 3000 orang etnik Rohingya dibawa masuk dan keluar. Antara mereka, 20 orang telah mati lalu kubur mereka digali oleh remaja itu. Tiada upah diberikan seperti yang pernah dijanjikan. Mereka bagaikan hamba sahaya.
Suatu hari, remaja yang cerdik ini telah menjerit, “Polis! Polis!”
Semua yang ada di situ ketakutan. Penculik berbangsa Thai melarikan diri. Keadaan menjadi huru hara. 700 orang mangsa pemerdagangan manusia melepaskan diri daripada kurungan sehingga sampai ke ladang getah di Padang Besar, Perlis. Akhirnya mereka diselamatkan oleh orang tempatan.
“Saya mahu bebas. Saya mahu sambung belajar di Amerika supaya saya dapat menolong kaum saya mendapat kerakyatan di negara sendiri.”
Besarnya harapan seorang remaja Rohingya.